‘Elak dedah maklumat, gambar di laman sosial’ – Berita Harian


‘Elak dedah maklumat, gambar di laman sosial’
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/26
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mengelak mendedahkan maklumat peribadi, termasuk gambar anak mereka dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter kerana dikhuatiri digunakan penjenayah untuk menculik kanak-kanak terbabit.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok, berkata ramai penculik yang memiliki kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh mengeksploitasi maklumat itu untuk melakukan jenayah.
“Mungkin ibu bapa terbabit tidak sedar maklumat itu digunakan untuk melakukan kejahatan dan memerangkap ahli keluarga mereka,” katanya kepada Berita Harian selepas menyampaikan syarahan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.
Tengku Mohd berkata, bagi remaja pula ramai tidak sedar tindakan memasukkan pelbagai data termasuk masalah keluarga dalam laman sosial memudahkan kumpulan penjenayah mendampingi golongan itu untuk direkrut menjadi anggota kumpulan mereka.

Sehubungan itu katanya, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mengambil mudah penyaluran maklumat termasuk gambar menggunakan teknologi canggih itu kerana ada data tidak sesuai didedahkan serta boleh mengundang padah.

Beliau berkata, sebagai contoh ada kes pembunuhan berpunca daripada berang disindir dan dikutuk menggunakan Facebook dan suspek pembunuhan melakukannya kerana mahu membalas dendam.

“Selain itu ada kes penipuan membabitkan perniagaan dan pelaburan dalam internet sehingga berlaku transaksi wang kerana rakan mangsa mempercayai kenalan yang baru dikenalinya di laman sosial,” katanya.
Tengku Ahmad tidak menafikan ada kebaikan menggunakan ICT tetapi penggunanya hendaklah meneliti kesahihan maklumat berkenaan termasuk menemui pakar teknologi terbabit untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia benar atau sebaliknya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Daruis Lidin, berkata perkembangan ICT memudahkan musuh memantau dan membuat risikan kekuatan pertahanan sebelum menyerang sesebuah negara.

“Keadaan ini sudah berlaku di beberapa negara seperti Korea Utara apabila tenteranya dibekalkan dengan komputer riba untuk memudahkan mereka melakukan carian maklumat pertahanan musuh sebelum bertindak memusnahkan senjata berkenaan,” katanya.