Bernama diperguna siar berita palsu – Bernama


Bernama diperguna siar berita palsu

24 Julai 2013

KUALA LUMPUR – Bernama hari ini menafikan telah mengeluarkan berita mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian bonus Raya kepada kakitangan awam yang kononnya disiarkan melalui portal berita http://www.bernama.com.

Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata beliau percaya ada usaha pihak tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan dengan menggunakan Bernama ketika pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berlangsung hari ini.

“Bernama sering dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imej kerajaan memandangkan agensi berita nasional ini terkenal dengan kewibawaan dan kesahihan berita yang dikeluarkannya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ibu pejabat Bernama di sini dimaklumkan mengenai berita palsu itu yang disebarkan melalui laman sosial Facebook oleh wartawannya yang membuat liputan pilihan raya kecil berkenaan.

Berita palsu dua perenggan itu turut diselitkan gambar perdana menteri yang kononnya sedang bercakap pada sidang akhbar di Kuala Besut.

Yong berkata ada kemungkinan ia hasil manipulasi menggunakan aplikasi ‘Screenshot’ dan ‘Photoshop’. – Bernama

Turunkan bendera PM: Nasib pelajar UPSI diketahui 26 April – Utusan


Turunkan bendera PM: Nasib pelajar UPSI diketahui 26 April

KUALA LUMPUR 4 April – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim yang digantung pengajian selama tiga semester sehingga September 2013 setelah didakwa melanggar peraturan universiti, akan mengetahui pada 26 April ini sama ada prosiding tatatertib terhadapnya sah atau sebaliknya.

Hakim Datuk Zaleha Yusof menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohd. Afiq Mohd. Noor yang mewakili Adam Adli dan peguam Mohadji Selamat bagi pihak Jawatankuasa Rayuan Tatatertib dan UPSI menyerahkan hujahan bertulis masing-masing di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) KL.

Adam Adli dibicarakan oleh jawatankuasa itu ekoran tindakannya menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika perhimpunan haram pada 17 Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130404/ma_03/Turunkan-bendera-PM-Nasib-pelajar-UPSI-diketahui-26-April#ixzz2PTYFD5p5
© Utusan Melayu (M) Bhd