Tidak perlu jadikan sastera sebagai subjek wajib – Puad Zarkashi – Bernama


Tidak perlu jadikan sastera sebagai subjek wajib – Puad Zarkashi

02/04/2012 1:59pm

 

KUALA LUMPUR 2 April – Pembelajaran sastera sebagai subjek elektif di sekolah menengah sekarang sudah mencukupi dan tidak perlu diperluaskan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem persekolahan kebangsaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selain sebagai subjek elektif di Tingkatan Empat dan Lima, sastera juga didedahkan kepada pelajar sekolah menerusi kokurikulum.

“Buat masa ini, saya tidak nampak keperluannya (untuk diperkenalkan sebagai subjek wajib),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield di Puchong, di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) semalam supaya sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah sehinga institusi pengajian tinggi.

Mohd. Puad berkata, pengenalan subjek itu sebagai mata pelajaran wajib memerlukan kajian terperinci kerana akan melibatkan kos dan perubahan jadual pembelajaran di sekolah.

“Bagaimanapun Gapena boleh menghantar kertas cadangan mereka kepada Kementerian Pelajaran,” katanya. – BERNAMA