Ibu tuntut keadilan kes anak ditampar guru – Sinar Harian


Ibu tuntut keadilan kes anak ditampar guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.

AIR KUNING – Sebuah keluarga di sini menuntut pembelaan berhubung kes seorang pelajar tingkatan tiga yang mengalami masalah pendengaran setelah ditampar seorang guru disiplin penghujung Mei lalu.

Ibu mangsa, Norhayati Mansor, 40, berkata, sejak berita keadaan anaknya disiarkan, tiada pihak terlibat yang tampil berbincang bagi menyelesaikan kes itu.

Menurutnya, dia dan keluarga agak kesal apabila kes anaknya itu tidak diberi perhatian serius jabatan berkaitan.

“Setiap kali kami menghubungi mereka, pelbagai alasan diberikan, kami hanya mahu duduk berbincang mengenai kes ini, jika mereka bersalah, mereka harus bertanggungjawab,” katanya.

Dalam laporan 1 Ogos lalu, Syed Hafiz Al Raimi Syed Mohamad Amin, 15, ditampar dengan kuat dibahagian telinga kiri oleh guru disiplinnya pada hari terakhir persekolahan.

Insiden yang berlaku hanya kerana kesalahan gaya rambut itu menyebabkan pendengaran mangsa terjejas.

Norhayati berkata, buat masa ini, pihaknya sudah mengeluarkan kos lebih RM500 bagi pembiayaan rawatan anaknya di sebuah hospital swasta.

Katanya, dia dan keluarga menaruh harapan tinggi agar keadaan pendengaran anaknya kembali pulih.

“Saya harap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dapat membantu kami dengan segera mengatur satu pertemuan antara guru yang terbabit bagi menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.

Ibu dakwa anak ditampar guru hingga hampir pekak – Sinar Harian


Ibu dakwa anak ditampar guru hingga hampir pekak
SAIFUL BAHARIL BASERI
1 Ogos 2012

Syed Hafiz terbaring ketika menerima rawatan susulan di KPJ Taiping Medical Centre.
KAMPAR – Gara-gara memotong rambut mengikut trend terkini seorang pelajar tingkatan tiga didakwa ditampar oleh guru disiplin di sebuah sekolah, di sini.

Ibu pelajar, Norhayati Mansor, 40, berkata, anaknya Syed Hafiz Al Raimi Syed Mohamad Amin, 15, ditampar dengan kuat di bahagian telinga kiri oleh guru disiplinnya pada 25 Mei lalu, sehingga menjejaskan pendengaran.

Dia kesal dengan tindakan itu dan mendakwa anaknya dihukum hanya kerana gaya rambut mengikut trend terkini yang disembunyikan di sebalik songkok.

“Sikap guru yang tidak mahu bertanggungjawab di atas perkara yang dilakukannya itu menyebabkan saya sangat kecewa.

“Sudahlah permohonan maaf tidak diberikan setelah memperlakukan anak saya sebegitu, dengan saya juga dia tidak mahu berjumpa,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Norhayati, jika benar anaknya itu melakukan kesalahan tidak perlulah menghukumnya hingga cedera.

“Disebabkan kes itu saya meminta guru berkenaan memohon maaf atau membayar ganti rugi sebanyak RM6,000 sebagai memberi pengajaran kepadanya.

“Tetapi permintaan itu dibalas dengan kata-kata kesat oleh guru terbabit,” katanya. Mengikut cerita Syed Hafiz, pada hari kejadian sekitar jam 9.30 pagi dia berdiri berhampiran meja kantin sebelum ditampar secara tiba-tiba oleh guru disiplin dari arah belakang sehingga menyebabkan gegendang telinganya berdesing.

Laporan Perubatan dari Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Pembedahan Kepala dan Leher, KPJ Taiping Medical Center, Dr Lee Kean Teong mengesahkan menerima pesakit pada 16 Jun 2012 lalu.

Menurutnya, beliau telah memeriksa Syed Hafiz di Klinik Pesakit Luar Telinga Hidung dan Tekak pada 12 Jun lalu dan sekali lagi pada 15 Jun lalu di Taiping Medical Centre.

“Pesakit didapati ada masalah kurang dengar dan sakit di telinga kiri sejak 25 Mei lalu di mana pesakit mendakwa dia telah ditampar dengan kuat oleh seorang guru pada telinga kirinya serta mengemukakan satu laporan polis dari Balai Polis Changkat Jering.

“Pemeriksaan klinikal pada 12 Jun lalu mendapati masalah kulat (Otomycosis) pada telinga kiri pesakit,” katanya.

Masalah itu turut mendapat perhatian, Pegawai Pelajaran Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Kamal Mansur yang memohon maaf atas segala yang berlaku.

Bagaimanapun katanya, ketika kes itu berlaku, beliau belum bertugas di Pejabat Pelajaran daerah ini dan hanya dipindahkan sekitar Jun lalu.

“Beri saya masa untuk menyiasat ke semua data-data serta laporan kes ini. Saya berjanji akan mengadakan pertemuan antara ibu bapa mangsa dan guru terlibat bagi meyelesaikan kes ini,” katanya.