Pasangan kekasih culik budak dipenjara seumur hidup – Berita Harian


Pasangan kekasih culik budak dipenjara seumur hidup

2012/10/05 – 05:58:19 AMCetakEmel Kawan
Gao dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, semalam. - Foto BERNAMAGao dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, semalam. – Foto BERNAMA

Georgetown: Sepasang kekasih dihukum penjara seumur hidup semalam selepas didapati bersalah menculik seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun dan memperoleh wang tebusan RM200,000, tiga tahun lalu.

Lai Khan Mei, 35, dan teman wanitanya, Gao Bingju, 25, seorang warga China, didapati bersalah melarikan dan mengurung mangsa di rumah di Taman Gemilang Ria, Bukit Mertajam, jam 5.30 petang, 19 Disember 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Amin Firdaus Abdullah turut menjatuhkan hukuman 15 kali sebatan terhadap Khan Mei selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wang pemberian rakan

Beliau berkata, mahkamah menolak keterangan Khan Mei yang mengatakan wang yang ditemui ketika dia dan Gao ditangkap di Genting Highlands adalah pemberian kawan-kawannya.

“Mahkamah mendapati keterangan dikemukakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan identiti kedua-dua tertuduh terlibat dalam kes ini,” katanya. – BERNAMA

Pulangkan segera anak saya – Sinar Harian


Pulangkan segera anak saya

NOOR AZIANTY NORMAN
4 September 2012
Jun Han.
Jun Han.

KUANTAN – “Setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata, saya terlalu rindukan anak saya. Pulangkan anak saya!”

Begitulah rintihan seorang ibu yang kehilangan anaknya sejak 17 Ogos lalu, dipercayai dibawa lari oleh kakak iparnya yang dikenali sebagai Yoke Ken yang tinggal di Ampang, Selangor.

Siew Lai Yee, 29, berkata, pada 17 Ogos lalu, anaknya Pan Jun Han, 6, dibawa bercuti oleh adik iparnya ke Genting Highlands bersama kakak iparnya itu.

Namun, ketika adik iparnya itu pulang ke Kuantan, dia memberitahu Lai Yee bahawa anaknya itu dibawa pulang ke Ampang bersama Yoke Ken untuk menghabiskan cuti sekolah di sana.

“Pada mulanya saya tidak kisah serta tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini pun dia (Jun Han) sudah biasa tinggal bersama ibu saudaranya. Tetapi kali ini, lain pula jadinya.

“Saya telah menghubungi kakak ipar supaya dia menghantar Jun Han pulang berikutan sesi persekolahan akan bermula, tetapi dia enggan berbuat demikian dengan alasan dia mahu menjaga anak saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.

Tambahnya, dia cuba untuk mencari anaknya di Ampang pada 28 Ogos lalu, namun apabila menghubungi kakak iparnya itu, dia memberitahu Jun Han bukan di bawah jagaannya lagi.

“Saya tidak tahu alamat tempat tinggal kakak ipar, yang saya tahu dia tinggal di Ampang. Bila dia memberitahu bahawa Jun Han sudah tiada di rumahnya, saya bertindak membuat laporan polis.

“Sudah banyak kali saya tanya di mana mereka sorokkan anak saya, namun tidak pernah mendapat kerjasama. Demi keselamatan anak saya, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, sejak kehilangan Jun Han, dia tidak lena tidur serta tidak henti berusaha untuk mendapatkan semula anaknya itu.

“Anak saya seorang yang manja dan saya memang rapat dengannya. Sejak ayahnya terpaksa ditukarkan ke Australia atas tuntutan kerja empat bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan saya.

“Jadi, bila dia tidak ada, saya rasa sunyi kerana setiap malam saya tidur bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, beliau pernah cuba menghubungi Yoke Ken, namun panggilannya itu dijawab dengan kasar.

“Dia (Yoke Ken) enggan memulangkan Jun Han apabila saya meminta dia berbuat demikian dan pernah memberitahu ingin menukar sekolah Jun Han di Ampang.

“Bagaimanpun, kami tidak pasti di mana Jun Han berada sekarang. Justeru, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kanak-kanak ini menghubungi talian 09-5138300,” katanya.

Dijual rakan untuk melacur – Metro


Dijual rakan untuk melacur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia bukan saja ‘dijual’ rakan baiknya, malah dipaksa melacur sejak empat bulan lalu.

Jika mangsa enggan melakukan perbuatan keji itu, dia akan dipukul ibu ayam berusia awal 40-an selain dikurung dan tidak diberi makan serta minum.
Mangsa yang tidak tahan menanggung derita seksaan itu terpaksa akur arahan sindiket pelacuran terbabit selain menanti peluang melarikan diri.

 

Remaja itu mendakwa dia dibawa ke hotel di seluruh negara mengikut permintaan pelanggan selain dibayar RM200 hingga RM500 mengikut perkhidmatan diberikannya. Selain hotel di ibu kota, mangsa pernah dibawa ke hotel di Pulau Pinang, Genting Highlands dan Johor, oleh sindiket pelacuran yang mengawasi setiap pergerakannya.
Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran itu pada jam 7 pagi, 8 Januari lalu, sebelum membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, Rabu lalu.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari Melaka meninggalkan rumahnya pada jam 8 malam, 18 Ogos tahun lalu, selepas diperdaya rakan perempuannya untuk ke ibu kota.

 

 

“Rakan baik mangsa yang berusia 20-an menawarkan pekerjaan kepada mangsa selain berjanji mengahwinkannya.
“Lelaki yang dijanjikan untuk dikahwinkan dengan mangsa dikenali mangsa kerana mereka pernah berjumpa pada majlis kenduri di Ayer Keroh, Melaka, Ogos tahun lalu,” katanya. Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah Proton Wira bersama lima wanita lain yang tidak dikenali.

 

“Mangsa dan beberapa wanita itu dihantar ke sebuah flet di Damansara Damai. Tiga hari kemudian, mangsa dibawa ke sebuah hotel di Jalan Ipoh sebelum diarahkan melacur.
“Tersentak dengan itu, mangsa berkeras dan cuba melawan menyebabkan dia dipukul seorang wanita dipercayai ibu ayam. Dia juga tidak diberi makanan mahupun minuman,” katanya.
Sumber itu berkata, difahamkan, selepas dua kali cubaan melarikan diri gagal, remaja terbabit mencuba sekali lagi pada 8 Januari lalu dan berjaya.
Katanya, mangsa membuat laporan polis mengenai nasib itu dan difahamkan, dia kini berlindung di rumah keluarganya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.