Kanak-kanak 7 tahun kritikal didera bapa tiri – Utusan


Kanak-kanak 7 tahun kritikal didera bapa tiri

 

KUALA TERENGGANU 25 Jun – Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun bukan sahaja dipercayai dikurung dan sering ditinggalkan kelaparan malah turut teruk didera secara fizikal oleh bapa tirinya sejak beberapa bulan lalu.

Kanak-kanak malang itu ditemui bersendirian dalam keadaan sangat menyedihkan selepas rumah di Taman Perumahan Gong Badak dekat sini diserbu sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) petang semalam hasil maklumat daripada seorang pengadu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, terdapat kesan cucuhan puntung rokok di sekitar perutnya, kesan melecur, bengkak, luka di kaki serta lebam di bahagian mata malah sebahagian lukanya telah dijangkiti kuman.

 

Katanya, ketika tiba di rumah yang disewa kepada bapa tiri dan ibu kanak-kanak itu, pagar didapati berkunci dan pihak polis meminta pemilik rumah berkenaan membuka rumah terbabit dan mendapati seorang kanak-kanak di dalamnya.

Katanya, ketika ditemui, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan tidak bermaya dan mengadu kelaparan serta memaklumkan dia telah dikurung oleh bapa tirinya.

“Kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dirawat dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana keadaannya dilaporkan stabil.

“Kita sedang jalankan siasatan lanjut terhadap kanak-kanak itu dan suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan mangsa, anak sulung daripada tiga beradik merupakan anak tiri kepada suspek, Mohd. Shazwan Shari, 26, selepas ibunya, Nor Azira Abas, 29, yang telah kematian suaminya kira-kira dua tahun lalu berkahwin dengan buruh yang juga dipercayai penagih dadah itu sejak 10 bulan yang lalu.

 

Mengulas lanjut, Manoharan berkata, pihak polis turut difahamkan, ibu mangsa yang mengetahui anaknya didera itu bagaimanapun takut untuk berbuat apa-apa apabila dia dipercayai turut didera sehingga patah tangan dan telah dirujuk suspek ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan sejak beberapa hari lalu.

Tambah beliau, bagaimanapun, menyedari pihak polis telah menemui kanak-kanak itu, suspek kemudian bertindak melarikan isterinya yang sedang dirawat di hospital bersama dua lagi anak tirinya berusia lima dan dua tahun setengah.

“Polis kini sedang giat memburu suspek dan isterinya yang berasal dari Kampung Tanjung Surau Besar dekat sini kerana dipercayai terlibat sama dalam kes ini dan suspek dikatakan melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran TBE 8379.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak kerana mendera dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asistan Supritendan Najuri Saibol (016-398 9237) atau Pegawai Turus Bahagian Seksual Kanak-kanak, Asistan Supritendan Marina Hashim (012-676 6840),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130625/je_08/Kanak-kanak-7-tahun-kritikal-didera-bapa-tiri#ixzz2XDpQdwoM
© Utusan Melayu (M) Bhd

21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini – Bernama


21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini

20 Oktober 2012
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Seramai 21,610 murid Tahun 2 hingga Tahun 5 di Terengganu berjaya mengkhatamkan al-Quran secara serentak dalam majlis berasingan yang diadakan di setiap daerah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 6,383 murid melakukannya di Kuala Terengganu, 3,186 (Besut), 2,653 (Setiu), 2,551 (Marang), 2,555 (Dungun), 2,349 (Kemaman) dan 1,933 (Hulu Terengganu).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan itu adalah bukti keberkesanan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan syiar Islam.

Beliau berkata bagi Terengganu, sebanyak RM36 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan kelas Kafa dan sehingga ini, seramai 21,000 hingga 30,000 murid berjaya mengkhatam al-Quran setiap tahun.

“Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.- Bernama

Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah – Bernama


Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah

25 September 2012

KUALA TERENGGANU – Persatuan Golf Terengganu (PGT) mempelawa lebih ramai pelajar sekolah untuk menyertai akademinya yang dibuka bulan lepas.

Pesidennya, Ahmad Zubir Azhari berkata akademi tersebut yang terletak di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR), di Kampung Tok Jembal, Gong Badak dekat sini sudah mempunyai 20 orang pelajar.

“Akademi ini terbuka kepada pelajar-pelajar berumur antara 7 hingga 16 tahun lelaki dan wanita. Ia baru dibuka dan masih tidak ramai yang mengetahui mengenainya.

“Kita harap lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka menyertai akademi ini dalam usaha mencari bakat terpendam untuk diketengahkan suatu hari nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata akademi itu dibuka dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Katanya yuran panyertaan ialah RM30 sebulan dengan latihan diuruskan oleh beberapa orang jurulatih golf yang bertauliah serta berpengalaman.

Ahmad Zubir berkata akademi itu mendapat sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang turut menghantar pegawai untuk memantau latihan sebulan sekali.

Beliau berkata akademi yang pertama seumpamanya diwujudkan di Terengganu itu juga bertujuan untuk memperkenal dan mengkomersialkan sukan golf di kalangan pelajar di negeri ini.

“Pelajar akademi ini akan diasuh dari awal mengenai teknik-teknik sukan golf supaya mereka menjadi pemain yang mahir apabila keluar kelak,” katanya.

Latihan adalah seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan ibu bapa yang berminat dialu-alukan untuk menghantar anak mereka ke KTGR. -Bernama

Dua pelajar sekolah lemas di Air Terjun Sekayu – Bernama


Dua pelajar sekolah lemas di Air Terjun Sekayu

3 Jun 2012
HULU TERENGGANU – Dua pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu mati lemas di Air Terjun Sekayu di sini hari ini.

Mereka ialah Mohd Azrul Azmir Maidin dan Mohd Hanif Izuddin kedua-duanya bermur 17 tahun dan berasal dari Seberang Takir dan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Mangsa pergi ke air terjun itu bersama enam lagi pelajar sebelum kejadian berlaku kira-kira 11 pagi.

Seorang rakan mangsa, Mohd Arif Harun berkata pada mulanya Mohd Azrul Azmir yang turun mandi dan tiba-tiba dihanyutkan arus.

Mohd Hanif cuba membantunya tetapi dia juga lemas di dalam air sedalam tujuh meter itu.

Mohd Arif berkata kejadian itu kemudiannya dimakumkan kepada pihak bomba dan penyelamat yang menemui mayat kedua-duanya kira-kira 12.50 tengah hari tadi di celah batu di dasar air terjun itu.

Ketua Operasi Bomba Hulu Terengganu, Khairul Anwar Bidin berkata kawasan tersebut tidak dibenarkan untuk mandi-manda. – Bernama