Sekolah lama bertukar fungsi – Sinar Harian


Sekolah lama bertukar fungsi

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Sekolah lama bertukar fungsi

LUI MUDA – Bangunan lama Sekolah Agama Rakyat (SAR) di sini yang tidak digunakan sejak kira-kira empat tahun lalu akan dijadikan sebagai Rumah Komuniti kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sekolah terbabit tidak beroperasi akibat bilangan pelajar semakin berkurangan dan terpaksa ditutup.

Biar pun begitu, kawasan bangunan sekolah berkenaan masih berkeadaan baik tanpa semak atau lalang selepas dijaga dengan baik oleh penduduk setempat.

Pengurus Felda Lui Muda, Jamaluddin Nordin berkata, kelulusan menjadikan ia sebagai Rumah Komuniti diberikan pihak Pengurusan Felda Wilayah Raja Alias dengan sokongan Felda Lui Muda.

“Kerja pembersihan dan gotong-royong akan dijalankan dalam terdekat. Kita sarankan pihak AADK membuat satu permohonan sekiranya ingin baik pulih bangunan terbabit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menghadapi masalah dengan cadangan AADK itu, malah menyokong usaha murni berkenaan.

“Kita tidak menolak kerana ia untuk kebaikan bersama. Pendekatan yang diambil pihak terbabit amat baik dan kita yakin ianya mampu beri kesan yang positif terhadap penduduk sekitar Dun Lui,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, ahli jawatankuasa Rumah Komuniti terbabit akan mengadakan mesyuarat bagi mengatur pelbagai program di situ tidak lama lagi.

Sementara itu, penduduk setempat, Mokhtar Abd Rahman, 56, berkata, langkah mengaktifkan semula bangu­nan berkenaan dapat menghindarkan pembaziran.

“Kalau dekat tempat lain, kita sering dengar rumah atau bangunan tinggal mesti ada aktiviti tidak sihat.

“Mujurlah di sini tidak seperti itu. Sekurang-kurangnya anak muda dapat sertai aktiviti berfaedah,” katanya.