Guna susu segar ganti susu UHT – Berita Harian


Guna susu segar ganti susu UHT

2011/04/30

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggunakan susu segar menggantikan susu UHT untuk dibekalkan dalam program susu sekolah, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin.

Beliau berkata, susu segar mempunyai khasiat tinggi berbanding UHT dan ia lebih sesuai diberikan kepada pelajar.

“Di negara maju, program susu sekolah menggunakan susu segar tempatan kerana khasiat lebih tinggi selain membantu industri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Susu UHT adalah susu tepung yang dibancuh dan dimasak melalui proses UHT menggunakan suhu tinggi.

Program susu 1Malaysia diperkenalkan sebelum ini di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan murid mendapat sumber protein mencukupi untuk pembelajaran selain memiliki tubuh sihat dan cergas.

Dr Abd Aziz berkata, semua susu dari ladang akan diwajibkan dipasteur bagi memastikan tidak berlaku pencemaran yang boleh membahayakan pengguna dan arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada Pengarah JPV negeri dan akan dipantau Bahagian Pembangunan Tenusu.