Guting rambut percuma kepada pelajar sekolah di Kuala Kedah – Bernama


Guting rambut percuma kepada pelajar sekolah di Kuala Kedah

18 Disember 2012

ALOR SETAR – Gagasan Generasi Gemilang (Gagah) Parlimen Kuala Kedah menganjurkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada pelajar di sekitar Kuala Kedah bermula hari ini hingga esok.

Pengerusinya Datuk Abdul Muthalib Harun berkata program itu diadakan bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar kawasan itu.

“Penduduk di kawasan ini kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani. Jadi dengan adanya program ini sekurang-kurangnya kita dapat membantu meringankan beban mereka terutamanya yang mempunyai anak ramai,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata program itu yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang terbuka kepada semua pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan tahun depan terutama murid prasekolah sehingga darjah enam.

“Esok kita akan adakan di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru,” katanya.

Abdul Muthalib yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, berkata program itu mendapat kerjasama pemilik kedai gunting rambut dari Jalan Kepala Batas, Mohamad Adam Ismail yang telah menyediakan empat tukang gunting rambut sepanjang program tersebut berlangsung.

Sementara itu, seorang kanak-kanak yang mengambil peluang daripada program tersebut Fakil Hidayat Amran, 11, berkata dia berasa seronok apabila dapat menyertai program berkenaan bersama rakan-rakannya.

“Sebelum ini, saya gunting rambut di kedai dengan dikenakan bayaran RM3 tapi kali ini percuma sahaja. Saya harap program seperti ini dapat diadakan setiap tahun terutama apabila sesi persekolahan baru akan bermula,” katanya.- Bernama

Pelajar gagal SPM boleh ikuti kursus GiatMara – Bernama


Pelajar gagal SPM boleh ikuti kursus GiatMara 

2012/03/27

RAUB: Pusat GiatMara menawarkan kursus dan latihan kemahiran kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusi Pusat GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab Moin, berkata 36 jenis kursus jangka panjang dan pendek serta latihan untuk 20,000 orang dianjurkan tahun ini.

Katanya, kursus itu antaranya melibatkan bidang kimpalan, pertukangan, jurubina, mengecat, mekanik, elektrik, masakan, gunting rambut dan persolekan.

Shahiruddin berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.2 juta pekerja mahir dan terlatih menjelang 2020.

Katanya, peluang yang disediakan itu perlu dimanfaatkan kerana ia dapat menjamin masa depan belia daripada segi pendapatan. – BERNAMA