Diarak dengan kereta klasik – Sinar Harian


Diarak dengan kereta klasik

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Julai 2013
Diarak dengan kereta klasik
Che Yah melambai tangan kali terakhir kepada murid-muridnya dengan menaiki kereta klasik Datsun 1954.

JOHOL – Bagi mencipta kelainan majlis persaraan wajib, seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol di sini, diraikan dengan menaiki kereta klasik Datsun 1954.

Che Yah Bachek, 58, yang juga guru cemerlang berkata, meskipun sudah bersara dalam dunia pendidikan, tetapi beliau akan terus mendidik murid tahun enam sekolah berkenaan yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini.

“Rasa ralat jika saya tidak terus mendidik anak-anak murid saya terutama tahun enam. Sebab sebelum ini, saya yang mengajar subjek Bahasa Malaysia untuk tahun enam. Jadi, lebih baik saya teruskan agar murid-murid dapat keputusan cemerlang,” katanya.

Menyingkap latar belakang kerjaya beliau, sebelum bertugas di SK Undang Johol, Che Yah berkhidmat di SK Air Hitam, Alor Setar Kedah pada 1981 hingga 1985.

“Kemudian saya berpindah ke SK Selama Kedah pada 1986 hingga 1990. Selepas berkhidmat selama empat tahun di sekolah berkenaan, saya pulang semula ke kampung halaman Johol dan bersekolah di sini.

“Saya berkhidmat di SK Udang Johol dari t 1991 hingga 2013. Ini adalah perkhidmatan yang paling lama iaitu 22 tahun. Saya sudah kenal guru-guru di sini telah menabur bakti kepada anak-anak murid di sini sehingga berjaya,” katanya yang mempunyai empat anak.

Iktiraf guru dalam perkhidmatan – NUTP


Iktiraf guru dalam perkhidmatan

Buat pertama kalinya sempena sambutan Hari Guru kali ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan hadiah penghargaan baru, Anugerah Ikon Guru bagi menghargai sumbangan guru yang masih berkhidmat dan menaikan imej kementerian di peringkat antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, penganugerahan itu berbeza dengan Tokoh Guru memandangkan anugerah itu hanya menghargai sumbangan guru yang sudah bersara daripada perkhidmatan.

Menurutnya, antara kriteria diperlukan bagi melayakkan guru menerima anugerah itu adalah menyumbang meningkatkan imej kementerian dalam pelbagai bidang pendidikan dan tiada had umur ditetapkan selagi guru masih dalam perkhidmatan.

“Ini merupakan salah satu usaha kementerian untuk menghargai jasa dan pengorbanan serta pencapaian guru di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

”Selama ini, sumbangan mereka seperti tidak dinampakkan dan usaha tersebut merupakan salah satu penghargaan kementerian untuk menghargai jasa guru yang masih berkhidmat dalam pelbagai bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Pra Pelancaran Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-42 di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilanbaru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Anugerah Ikon Guru khusus kepada guru yang masih berkhidmat dan paling utama, guru terbabit berjaya menaikkan imej perguruan.

“Kita mahu menghargai sumbangan guru kepada negara, misalnya, dia mewakili pasukan negara ke pertandingan sukan antarabangsa dan menang, tidak kira guru ini atlet atau pegawai.

“Paling penting, penyertaannya pada pertandingan itu berjaya menaikan imej negara dan kementerian dalam apa jua bidang,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian juga mengiktiraf sumbangan guru dengan memberi beberapa anugerah khas lain seperti Anugerah Guru Cemerlang OKU, Guru Pendidikan Khas, Guru Inovatif dan Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Dalam majlis penyampaian sambutan Hari Guru nanti akan disampaikan tiga anugerah tahunan iaitu Tokoh Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru Sekolah Swasta,” katanya.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, pelbagai program sambutan Hari Guru telah diatur bermula dengan majlis bacaan Yassin, tahlil dan solat hajat Hari Guru

Pada 14 Mei, acara sambutan Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru dengan kerjasama Kumpulan Utusan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan.

Antara aktiviti lain termasuklah Dialog Saranan Pendidikan, acara senamrobik Hari Guru, forum pendidikan, majlis Sepetang bersama KSU dan KPPM dan Jamuan Makan Malam dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan.

Peranan guru muda diiktiraf – Sinar Harian


Peranan guru muda diiktiraf

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
Peranan guru muda diiktiraf
Mansor (tengah) melakukan gimik pra pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah Tahun 2013.

ALOR SETAR –  Buat julung kalinya Anugerah Ikon Guru diperkenalkan demi mengiktiraf peranan guru muda kepada masyarakat meliputi pelbagai bidang hingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Pengiktirafan itu bagi menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang seperti sukan, kesenian, kokurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta kepimpinan tak kira sama ada di dalam mahupun luar negara kerana berjaya menaikkan imej sekolah dan juga negara.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata, keunikan sambutan hari guru kali ini apabila menyaksikan pengiktirafan turut diberikan kepada guru yang masih memberi perkhidmatan berikutan sumbangan mereka itu.

“Anugerah Ikon Guru ini tidak sama dengan anugerah guru sebelum ini seperti Tokoh Guru, Tokoh Akademik, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas mahupun Anugerah Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya (OKU).

“Hal ini kerana pada kebiasaannya anugerah diberikan kepada mereka yang tamat perkhidmatan mahupun bersara, bagaimanapun pada kali ini guru biasa yang masih berkhidmat juga berpeluang mendapatkannya, asalkannya berjasa kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pra pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah Tahun 2013 di Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kedah, semalam.

Mansor berkata, ia diwujudkan demi menyuntik semangat dan menjadi ikon kepada guru lain untuk turut sama aktif melibatkan diri ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah kali ini akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman pada 22 Mei 2013.

BORANG-BORANG PENCALONAN ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM TAHUN 2013


BORANG-BORANG PENCALONAN ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM TAHUN 2013

01 April 2013

Muat Turun
Kategori Murid Cemerlang Kokurikulum
Kategori Pasukan Badan Beruniform dan Kelab persatuan Cemerlang
Kategori Guru Cemerlang Kokurikulum
Ketegori Pengurusan Sekolah Cemerlang
Kategori Pengurusan Cemerlang Kokurikulum PPD-JPN-KPM
Kategori Sekolah Cemerlang Kokurikulum
Kategori Anugerah Juri Khas

Pantau sekolah berat sebelah – Sinar Harian


Pantau sekolah berat sebelah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2013

ALOR KEDAH – Kementerian Pelajaran diharapkan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan segelintir pihak mengenai sekolah di bandaraya ini yang dikatakan mengamalkan sikap berat sebelah terhadap pelajarnya.

Difahamkan sesetengah sekolah di sini hanya memilih guru dan kursus terbaik untuk diberikan kepada kelas terbaik, manakala kelas yang dipercayai kurang baik tidak mendapat perhatian sepatutnya.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, jika benar sesetengah sekolah mengamalkan konsep dan berdepan dengan sindrom ini maka satu tindakan harus diambil bagi menanganinya kerana ia merupakan perkembangan tidak sihat.

“Golongan pelajar harus menerima layanan adil dari segi pendidikan, malah tahap kebijaksanaan mereka tidak seharusnya dibeza-bezakan oleh mana-mana pihak. Seharusnya, seseorang pelajar yang lemah dalam pelajaran perlu mendapat bimbingan dari guru cemerlang dan perhatian yang lebih berbanding pelajar pintar.

“Jadi, jika isu berat sebelah ini timbul maka perkara ini berbalik semula pada tanggungjawab yang dimainkan guru, ibu bapa dan masyarakat dalam membangunkan pendidikan anak bangsa,” katanya mengulas laporan interaktif Sinar Harian, 9 Januari lalu.

Shamsul Bahar berkata, GPMS menyarankan pihak sekolah mengambil berat mengenai masalah ditanggung pelajar yang dikategorikan kurang baik ataupun bermasalah ini dan tidak seharusnya terus menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Menurutnya, jika pelajar lemah ini diberikan peluang dengan bimbingan dan kaunseling dari pihak berkaitan mengenai isu-isu tertentu, maka ia akan membantu mereka meningkatkan kebolehan diri sendiri.

“Penempatan guru bagi sesuatu kelas tidak boleh dilakukan secara diskriminasi, malah pihak berkaitan tidak seharusnya meletakkan kategori tertentu untuk pelajar tertentu sahaja kerana tindakan ini tidak wajar demi masa depan pelajar berkenaan,” katanya.

Katanya, masalah yang timbul bukanlah hanya terletak pada ibu bapa sahaja sebaliknya pihak lain termasuk masyarakat, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlu mengambil berat dan peka mengenai isu ini terutamanya apabila bidang pendidikan dibangkitkan.

“Kita perlu wujudkan budaya mengambil tahu dengan memberi perhatian lebih tidak kira di dalam ataupun luar kelas kerana jika betul konsep ini diamalkan sesetengah sekolah, sememangnya ia akan menyebabkan sesuatu masalah berlaku,” katanya.

30 guru Terengganu terima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012 – Bernama


30 guru Terengganu terima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012

23 Januari 2013

 

KUALA TERENGGANU – Seramai 30 guru cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012 di Terengganu sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi mereka.

Pada majlis penghargaan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini malam tadi, Pengerusi ExxonMobil Subsidiaries Malaysia, J Hunter Farris berkata pihaknya akan sentiasa memberi sokongan dari pelbagai aspek bagi memastikan sektor pendidikan di Terengganu terus unggul dan cemerlang untuk masa depan yang lebih gemilang.

“Insan penting yang menjadi tonggak utama kecemerlangan pendidikan di Terengganu ialah guru dan kami memperuntukkan RM45,000 pada program ini sebagai mengiktiraf peranan guru yang sangat berdedikasi selama ini,” katanya pada majlis itu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Kesemua guru terbabit menerima wang tunai RM1,050, sijil penghargaan dan plak setiap seorang.

Bagi Kamariah Jusoh, 52 seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, beliau menganggap anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk terus mencurah bakti kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya

“Saya memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk mengajar di kelas khas ini kerana mahu memastikan kanak-kanak istimewa ini mampu menguruskan keperluan diri sendiri dan menerima hak pendidikan yang sama seperti insan normal lain.

“Kenangan manis saya ialah apabila seorang murid yang pada mulanya langsung tidak tahu menulis, membaca dan mengira akhirnya dapat menguasai kemahiran itu selepas setahun belajar di kelas saya,” katanya yang pertama kali menerima anugerah itu.

Bagi Hong Ching Teck pula, pengalaman beliau mengajar Bahasa Inggeris selama 34 tahun akan dimanfaatkan untuk terus memberi khidmat terbaik kepada anak Terengganu menguasai bahasa utama dunia itu.

“Saya akan gandakan usaha dan fokus diberi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini supaya mereka mampu menguasai BI dengan baik,” katanya yang kini mengajar di SK Seri Geliga, Kemaman.  – Bernama

Sekolah band rendah dilonjak – Utusan


Sekolah band rendah dilonjak

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 16 Jan. – Kementerian Pelajaran menyasarkan 50 peratus daripada 1,847 sekolah yang berada pada band lima, enam dan tujuh dilonjakkan kepada sekurang-kurangnya band empat pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sasaran yang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 itu mampu dicapai berdasarkan pelbagai program yang dilaksanakan pihak kementerian.

“Kita telah wujudkan Program Penambahbaikan Sekolah (SIP) yang mana guru-guru cemerlang dihantar bagi mewujudkan penanda aras dan mengenal pasti kelemahan-kelemahan di sekolah tersebut, seterusnya membangunkannya supaya cemerlang.

“Selain itu, kita terus memberi tumpuan kepada gred purata sekolah, sebab itu, kalau boleh sekolah-sekolah ini kita lonjakkan kepada band empat sebelum bergerak ke band tiga, dua dan seterusnya,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_05/Sekolah-band-rendah-dilonjak#ixzz2IBczaTf9
© Utusan Melayu (M) Bhd

KPM Fokus Pelaksanaan Empat Inisiatif PPPM Dalam Tempoh 100 Hari Pertama 2013 – Bernama


KPM Fokus Pelaksanaan Empat Inisiatif PPPM Dalam Tempoh 100 Hari Pertama 2013

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan memberi tumpuan utama terhadap empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan program ‘School Improvement Partners (SI Partners) Plus and School Improvement Specialist Coaches (SISC) plus’ di Kedah dan Sabah dalam usaha membimbing guru bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutamanya di sekolah-sekolah yang berada dalam Band lima, enam dan tujuh.

“Kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru. Misalnya melalui SISC plus guru berpeluang mendapat latihan in situ secara langsung mengikut keperluan mereka,” katanya semasa menyampaikan perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran di sini, Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan kemudian guru akan dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian mereka.

“Bagi guru-guru yang tidak mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini kementerian akan bersedia untuk melatih 5,000 guru BI,” katanya. Sambil menyifatkan awal tahun 2013 sebagai satu tempoh yang kritikal, Muhyiddin berkata inisiatif Sarana Ibu Bapa ke 10,000 sekolah untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan kerjasama dalam kalangan ibu bapa juga akan dilaksanakan.

Inisiatif kempat pula ialah melancarkan Video e-Guru untuk ditonton di semua sekolah dan akan mula diperkenalkan pada bulan ini menerusi program pembangunan profesionalisme baharu dengan mewujudkan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik.

“Menerusi video e-Guru, setiap guru akan mendapatkan gambaran bersifat amali tentang amalan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru cemerlang di bilik darjah dan berharap akan dimanfaatkan bagi menjayakan dasar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik,” katanya.

Muhyiddin berkata di samping empat inisiatif itu, kementerian tidak akan mengenepikan inisiatif PPPM lain yang sepatutnya dicapai dalam gelombang pertama 2013 termasuk usaha meningkatkan kemahiran berfikiran aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid.

Sehubungan itu, kementerian akan melaksanakan latihan HOTS kepada 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dan menerusinya diharapkan 20 peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah soalan pemikiran aras tinggi. Muhyiddin berkata program i-Think pula akan lebih fokus dalam pembelajaran, kemahiran penaakulan meningkat dan berupaya menjawab soalan aras tinggi dan untuk tujuan itu, 2,500 guru dan 500 buah sekolah akan diberi latihan.

Peningkatan pencapaian murid dalam kepimpinan sekolah dan kualiti guru juga akan diberi tumpuan menerusi Linus 2.0 merangkumi literasi BI, piagam dan pakej guru serta pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Profesional Berterusan baharu.

Katanya kementerian juga akan terus berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif melalui peningkatan infrastruktur sekolah dengan memberi tumpuan kepada murid berkeperluan khas. –BERNAMA

6,249 guru Kelantan naik pangkat, gred – Bernama


6,249 guru Kelantan naik pangkat, gred

4 Disember 2012

KOTA BAHRU – Seramai 6,249 guru cemerlang lepasan ijazah dan diploma dari seluruh Kelantan menerima kenaikan pangkat sempena pengumuman kerajaan ke arah penambahbaikan mutu perkhidmatan pendidikan di kalangan warga pendidik di seluruh negara dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Hussain Awang berkata guru di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Baharu, merupakan jumlah paling ramai menerima kenaikan pangkat itu iaitu 885 orang.

Peringkat kedua membabitkan seramai 387 guru yang menerima kenaikan pangkat itu diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Chat, Wakaf Mek Zainab, di sini hari ini.

Sebelum ini seramai 498 guru menerima memo kenaikan pangkat itu pada majlis dan tempat yang sama.

“Mereka yang menerima memo itu terdiri daripada guru cemerlang daripada beberapa kategori gred DG32 kepada DG48 dari seluruh sekolah menengah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan memo kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPS) itu.

Hussain berkata langkah Kementerian Pelajaran menaikkan pangkat dan tangga gaji ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani masalah guru sebagaimana pembentangan Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Ini adalah suatu penganugerahan kepada warga pendidik berdasarkan prestasi cemerlang mereka dalam perkhidmatan masing-masing,” katanya.- Bernama