Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan – Sinar Harian


Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2012

Azman menunjukkan cara yang mudah dan berkesan bagi membantu murid Linus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira
MACHANG – Dalam usaha membantu murid tahun dua dan tiga menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong menganjurkan Program Permata Hatiku, di sini, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Abdul Rahman Hussin berkata, bagi menangani masalah itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merancang bagi mengatasi masalah tersebut dengan mengadakan Program Literasi dan Numerasi (Linus).

Katanya, kerjasama dan kesungguhan guru mampu menjayakan program ini dan seterusnya melahirkan murid sifar Linus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang terlibat menjayakan Program Linus ini. Semoga usaha murni ini membuahkan hasil terbaik,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program, Noriah Che Soh berkata, program itu dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada murid pemulihan Linus tentang teknik pembelajaran menarik dan berkesan.

Katanya, pendedahan berterusan mampu meningkatkan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira.

“Unit Kurikulum SK Pulai Chondong menyedari bahawa isu asas Literasi dan Numerasi masih belum diatasi sepenuhnya walaupun telah dilaksanakan pelbagai program kesinambungan daripada program sedia ada.

“KPM menyasarkan semua murid tiada masalah pembelajaran berkeupayaan mengatasi asas Literasi dan Numerasi sebelum berakhir persekolahan tahap satu.

“Sehubungan itu, program ini dirancang untuk dilaksanakan bagi menyahut cabaran KPM tersebut,” katanya.

Noriah yang juga Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Pulai Chondong berkata, program itu melibatkan 20 murid dari kelompok literasi dan numerasi.

Katanya, program itu dikendalikan Guru Cemerlang Pemulihan, Mohd Azman Mohd Yusoff selain guru pemulihan dan guru Linus.

“Program ini juga adalah bagi memenuhi keperluan program, kelayakan profesional pendidikan kebangsaan (NPQEL) kohort 1/2012 anjuran Institut Aminuddin Baki, KPM,” katanya.

Bekas presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dipilih tokoh guru Negeri Sembilan – Bernama


Bekas presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dipilih tokoh guru Negeri Sembilan

2012/05/23

SEREMBAN: Bekas presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Datuk Azam Md Atan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Sembilan 2012, pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Negeri Sembilan 2012, di sini, malam tadi.

Azam, 59, yang kini sudah bersara dipilih untuk menerima anugerah itu hasil jasa dan sumbangannya yang amat besar kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

Ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Azam berkata, memberi perhatian sepenuhnya terhadap murid adalah prinsip yang harus dipegang setiap guru.

Katanya, cabaran guru yang semakin bertambah hari ini dengan kepesatan teknologi juga memerlukan kesabaran guru dalam mendidik setiap anak muridnya.

“Guru perlu bersabar, cabaran hari ini semakin bertambah dan murid sekarang memerlukan perhatian yang lebih daripada guru untuk memastikan mereka berjaya,” katanya.

Azam yang berasal dari Nilai, dekat sini berkhidmat sebagai guru selama 34 tahun di 10 sekolah dan menjadi pengetua selama 19 tahun di sembilan sekolah.

Terdahulu Mohamad dalam ucapannya berkata, tanggungjawab guru adalah amat penting dalam membangunkan modal insan dan melahirkan golongan cerdik pandai yang akan mentadbir negara ini suatu hari nanti.
“Membangunkan negara bukan hanya inftrastruktur dan kemudahan lain tapi yang lebih penting adalah membangunkan modal insan. Di sinilah letaknya tanggungjawab guru,” katanya.

Pada majlis yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Seremban itu, Mohamad turut menyampaikan empat anugerah lain termasuk Anugerah Khas Lonjakan Akademik, Anugerah Terbaik Akademik dan Anugerah Guru Cemerlang serta Anugerah Guru Inovatif.

Lebih 10,000 guru, guru besar dan pengetua dari semua sekolah di negeri itu diraikan pada majlis yang diadakan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu.

– BERNAMA

2,214 murid miskin, luar bandar diterima ke SBP – Utusan


2,214 murid miskin, luar bandar diterima ke SBP

BATU PAHAT 2 Mei – Seramai 2,214 murid daripada keluarga miskin yang mendapat 3A, 2B dan murid luar bandar memperoleh keputusan 4A, 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipilih memasuki sekolah

berasrama penuh (SBP) tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peluang yang diberikan itu bertujuan membolehkan mereka bersaing dengan lebih adil dalam merebut tempat untuk belajar di sekolah berkenaan.

“Berbanding murid-murid lain, golongan ini tiada kemudahan tuisyen, capaian Internet malah, guru-guru cemerlang juga sukar untuk sampai ke pedalaman. Saya difahamkan ada guru agama yang terpaksa mengajar bahasa Inggeris kerana kekurangan guru.

“Bagaimanapun, kita akan pastikan mereka dapat bersaing dengan rakan yang mendapat 5A. Kita akan berikan motivasi dan bimbingan tambahan supaya mereka dapat bersaing,” katanya selepas merasmikan majlis pendaftaran 170 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang mula beroperasi hari ini. – UTUSAN

130,000 guru tunggu KUP Time Based baharu – Utusan


130,000 guru tunggu KUP Time Based baharu

KUALA LUMPUR 6 Mac _ Kerajaan diminta segera melaksanakan skim kenaikan gred gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan Khas Untuk Penyandang (KUP) atau KUP Time Based yang baharu melibatkan kira-kira 130,000 daripada 430,000 warga pendidik di seluruh negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan (gambar) berkata, ini kerana warga pendidik di seluruh negara khususnya kumpulan guru cemerlang ketika ini ‘terbayang-bayang’ akan menerima manfaat daripada skim tersebut seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2012.

Selain itu, kata beliau, pelaksanaan KUP Time Based baharu itu nanti perlu merangkumi ribuan para guru cemerlang dan layak yang menamatkan perkhidmatan pada Januari dan Februari tahun ini.