Guru disyaki cabul murid kena tahan – Berita Harian


Guru disyaki cabul murid kena tahan

2011/03/16

GEMAS: Polis menahan seorang guru lelaki sekolah kebangsaan di sini, Jumaat lalu kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam.

Guru berumur 20-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu dua kali dengan kejadian pertama pada 8 Mac lalu.Guru terbabit menjemput dua murid perempuan ke rumahnya kira-kira jam 3 petang untuk menyusun jadual waktu.

Selepas selesai, seorang daripada murid disuruh pulang untuk menukar pakaian bagi menyertai kegiatan kokurikulum.

Ketika tiada orang lain di rumah, guru terbabit mencium pipi dan leher mangsa, meramas buah dada serta meraba kemaluannya.

Kejadian kedua berlaku keesokan hari apabila guru sama menjemput enam murid ke rumah dan dijamu minuman serta kek. Ketika kejadian, isteri guru terbabit tiada di rumah kerana bekerja.

Perbuatan guru itu terbongkar apabila rakan mangsa menceritakannya kepada guru tuisyen yang kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Gemas, Jumaat lalu.