Guru MRSM juga perlu diberi kenaikan pangkat – Idris Jusoh – Berita Harian


Guru MRSM juga perlu diberi kenaikan pangkat – Idris Jusoh

KUALA TERENGGANU 26 Mei – Majlis Amanah Rakyat (Mara) meminta kerajaan menimbangkan kenaikan pangkat dan skim gaji baru bagi guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti yang dinikmati mereka di bawah Kementerian Pelajaran.

Pada masa ini, terdapat lebih 3,000 guru yang berkhidmat di 45 buah MRSM di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam waktu terdekat.

Beliau memberitahu, sekiranya kerajaan bersedia memberi kenaikan pangkat kepada guru di Kementerian Pelajaran, guru-guru di MRSM juga layak menikmati faedah yang serupa.

Jelasnya, guru-guru yang berkhidmat di MRSM turut mempunyai kelayakan serupa selain dibebani tanggungjawab yang hampir sama dengan guru Kementerian Pelajaran.

“Memang patut guru-guru MRSM dapat kenaikan (pangkat) baru tapi perkara ini kena bincang dengan JPA terlebih dahulu. Ia perlu diselaraskan oleh JPA.

“Tiada sebab bagi guru-guru di MRSM tidak dapat gaji yang sama dengan guru-guru di Kementerian Pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pemuafakatan Pendidikan Mara (Muafakat) Ketujuh di MRSM Kuala Terengganu dekat sini hari ini.

Idris memberi reaksi berhubung pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat mengikut kaedah baru kepada golongan guru.

Menurut Idris, beliau akan memastikan kesemua guru MRSM sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya atas jasa dan sumbangan besar mereka selama ini dalam mendidik anak bangsa sehingga mampu melahirkan ramai tenaga profesional.

“Saya akan pastikan guru-guru di MRSM tidak dianak tiri, kita akan terus bela nasib mereka,” ujarnya.