Guru pedalaman disaran lebih komited: Jeanne – Sinar Harian


Guru pedalaman disaran lebih komited: Jeanne

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Oktober 2012
Guru pedalaman disaran lebih komited: Jeanne
Jeanne (kanan) bersalaman dengan waris dan guru Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus sebaik tiba untuk merasmikan program ‘Learning is Fun’.

GEORGETOWN  – Guru di kawasan pedalaman disaran lebih komited melahirkan pelajar cemerlang khususnya kalangan golongan itu yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat belajar bagi sesi persekolahan 2013 nanti.

Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Tun Jeanne Abdullah berkata demikian kerana berasakan guru berperanan penting mencorak masa depan kanak-kanak ke arah melahirkan insan cemerlang.

“Guru perlu berani mengambil pendekatan sesuai menarik minat pelajar khususnya yang malas dan tidak berminat belajar untuk bersaing dengan rakan lain mencipta pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan.

“Ke arah mencapai matlamat itu guru mestilah mempunyai pengetahuan tinggi yang boleh didapati dari pelbagai segi seperti hasil pembacaan dan mengikuti kursus untuk mendapatkan cara menangani murid bermasalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat OUM ‘Learning Is Fun’ di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus di sini, kelmarin.

Hadir sama bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Program sehari bersama guru dan murid sekolah itu untuk memberi pendedahan dan menambah minat penggunaan bahasa Inggeris kalangan murid sekolah luar bandar.

Seramai 100 murid sekolah itu yang terdiri daripada tahun lima dan enam mengambil bahagian melalui penyertaan mereka dalam aktiviti kuiz, persembahan pentas penanaman pokok serta demonstrasi gubahan bunga.

Jeanne berkata, program itu juga bagi mendekatkan para pelajar sekolah di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.

“Bagi memahirkan murid, mereka perlu membuang perasaan malu untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian termasuk di sekolah dan rumah,” katanya.

Selain itu, beliau juga menekankan agar ibu bapa tidak terlalu memanjakan atau terlalu berkasar dengan anak-anak khususnya dalam memberikan pendidikan, sebaliknya menggunakan pendekatan meluangkan masa mendengar luahan perasaan mereka.

“Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa betul, fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat, mereka bukan sahaja akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat,” katanya.