Guru perlu lebih kreatif tarik minat golongan muda – Utusan Malaysia


Guru perlu lebih kreatif tarik minat golongan muda

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Guru Sejarah perlu lebih kreatif dalam menyampaikan subjek tersebut agar pelajar tidak bosan dan secara langsung menarik minat golongan muda untuk menghayati sejarah.

Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa berkata, rata-rata pelajar tidak menyukai Sejarah disebabkan penyampaian guru terlalu serius serta terlalu banyak fakta perlu dihafal serta difahami.

“Sejarah bukan seperti subjek Sains dan Teknologi yang mudah menarik minat pelajar, maka dengan cara penyampaian yang lebih menarik dan kemas, pelajar akan lebih mudah memahaminya.

“Pendekatan seperti bercerita, lakonan atau lawatan ke tempat sejarah menjadikan ia menarik untuk dihayati dan sekali gus membolehkan pelajar memahami sejarah tersebut,” katanya kepada¬†Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai hasil soal selidik yang dijalankan mendapati ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda buta sejarah.

Hasil kajian ke atas 200 responden itu, terdapat di kalangan mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan dan nama Perdana Menteri pertama.

Malah tiada seorang pun yang berjaya menjawab kesemua 10 soalan mudah berkaitan sejarah dan kenegaraan yang dikemukakan kepada setiap responden.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Rahman Tang Abdullah berkata, keputusan kerajaan melatih semula guru-guru Sejarah wajar bagi mengelak mereka hanya tahu membacakan teks kepada pelajar.

“Kebanyakan guru Sejarah di negara ini hanya membacakan teks yang terkandung di dalam buku kepada murid-murid mereka.

“Tambah menyedihkan apabila rata-rata mereka membiarkan murid-murid untuk memahami dan menilai sendiri sesuatu peristiwa sejarah itu. Ini tidak patut berlaku kerana murid-murid mungkin salah faham tentang sesuatu peristiwa sejarah,” katanya.