Guru perlu rasional – TPM – Utusan


Guru perlu rasional – TPM

Oleh ZULKIFLI JALIL, ABDUL YAZID ALIAS dan FATIN AINAA FAUDZI
pengarang@utusan.com.my

KLANG 8 April – Seluruh 460,000 guru termasuklah 9,183 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara diyakini rasional dan tidak dipengaruhi sentimen peribadi dalam membuat keputusan soal memilih kepemimpinan kerajaan.

Sambil menyifatkan sikap sedemikian penting bagi memastikan segala perancangan pendidikan yang dirangka dapat diteruskan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu perlu dinilai sebaik-baiknya oleh golongan guru demi masa depan anak bangsa pada masa depan.

Malah, tegas beliau, memang menjadi sasaran kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan Malaysia negara maju yang tentu sekali untuk menjayakannya memerlukan kepimpinan yang berpengalaman dan mahir menguruskan negara.

“Sekiranya semua guru-guru di negara ini menyokong BN, saya fikir sayalah orang yang paling gembira hari ini. Apa yang kita (kerajaan BN) lakukan untuk rakyat hingga ke hari ini seharusnya dikekalkan.

“Kita mahu menjadi negara maju dan untuk itu perlu ada satu pihak (parti) yang mampu memikul amanah dan tanggungjawab, pihak yang boleh kita percaya. Malah, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan akujanji BN baru-baru ini) menyentuh mengenai kebolehpercayaan.

“Justeru, kita yakin kita mampu pikul tugas itu. BN mempunyai pengalaman berpuluh tahun selain memiliki ilmu, kemahiran dan visi,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di hadapan 5,000 guru SJKT yang hadir pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik SJKT di SJKT Simpang Lima, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Mengulas lanjut perkara itu, Muhyiddin yang merangkap Menteri Pelajaran turut menegaskan bahawa dalam suasana pilihan raya umum nanti, beliau mahu seluruh golongan guru membuat pertimbangan yang bijaksana apabila melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Apabila sampai masa pilihan raya umum nanti, kita sebagai pengundi sama ada guru atau pegawai kerajaan, tanggungjawab kita adalah untuk mengundi.

“Jangan berdiam diri dan berkata ‘tak apalah, tak payah undi…BN mesti menang’. Jika ada sikap begitu, saya khuatir BN boleh kalah.

“Maka, saya mahu sesiapa sahaja yang ada hak mengundi, laksanakan tanggungjawab, tentukan masa depan kita memilih parti dan kerajaan yang berupaya membentuk masa depan yang lebih cemerlang lagi,” tegasnya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan bahawa kerajaan BN sentiasa memberi perhatian penuh kepada usaha membela nasib guru selain memastikan bidang perguruan sebagai karier yang dihormati dan mempunyai masa depan cerah.

Antara perhatian yang diberikan kerajaan BN ialah mempermudahkan kenaikan pangkat, mementingkan kebajikan guru termasuklah menyelesaikan bebanan kerja yang ditanggung mereka melalui pelantikan pembantu pentadbiran di setiap sekolah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130409/dn_03/Guru-perlu-rasional—TPM#ixzz2PyGruUq3
© Utusan Melayu (M) Bhd