Guru sekolah didakwa cederakan murid – Sinar Harian


Guru sekolah didakwa cederakan murid
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2013

BANDARAYA MELAKA – Seorang guru agama sebuah sekolah rendah di sini berdepan tindakan tegas selepas dia didakwa mengasari enam muridnya.

Guru berkenaan turut didakwa menyebabkan kecederaan kepada salah seorang daripada muridnya itu apabila membaling segumpal kunci dan mengenai bahagian sulit murid terbabit akibat berang kerana murid terbabit tiba lewat untuk kelasnya minggu lalu.

Difahamkan, ibu salah seorang daripada murid berkenaan membuat laporan polis sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya.

Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin berkata, bahagian bahu murid berkenaan juga didapati mengalami bengkak akibat didakwa dikasari guru terbabit.

“Pertemuan sudah diadakan dengan enam murid berkenaan. Tindakan guru ini adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian hanya kerana isu remeh.

“Jabatan sudah menjalankan siasatan selepas satu laporan dibuat ibu mangsa dan hasil siasatan, tindakan tegas diambil terhadap guru terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, Md Yunos enggan mengulas bentuk tindakan diambil terhadap guru berkenaan.