Guru sepatutnya bentuk sahsiah – Jamil Khir – Bernama


Guru sepatutnya bentuk sahsiah – Jamil Khir

KUALA LUMPUR 6 April – Guru di sekolah-sekolah agama sepatutnya membentuk sahsiah murid menjadi insan berguna bukannya bertindak sendiri menghukumnya dengan kejam sehingga menyebabkan kematian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, di zaman kegemilangan tamadun ketika ini, kes mencederakan murid tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang boleh diguna pakai.

Beliau diminta mengulas kejadian Jumaat lalu apabila Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid Sekolah Rendah Islam Al-Furqan yang meninggal dunia Ahad lepas setelah koma sejak Jumaat akibat dipukul selepas disyaki mencuri oleh ustaz berusia 26 tahun.

Jamil Khir berkata, kes itu akan disiasat secara lengkap dan mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya terbayangkan keadaan adik Saiful ketika itu, yang sakit dipukul dengan tiada peluang untuk melarikan diri, begitu berat ketakutan yang ditanggungnya.

“Sepatutnya, kanak-kanak dalam usia begitu perlu dipelihara bukan dipukul dengan teruk walaupun melakukan kesalahan. Kerana umurnya terlalu muda untuk diperlakukan sedemikian,” katanya selepas menerima cek zakat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Terdahulu, TNB menyerahkan cek zakat perniagaan bernilai RM584,929.97 kepada Jamil Khir yang mewakili Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah Majlis Agama Wilayah Persekutuan untuk tahun 2010.

Pada 2009, TNB membayar RM159,525.48 kepada PPZ dengan rekod pembayaran sejak 1997 hingga 2010 mencecah RM6,435,123.43.

Ditanya mengenai video aksi seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang, Jamil Khir berkata pihaknya kini menunggu kes itu selesai disiasat. – BERNAMA