Guru tadika berdepan tindakan disiplin – Sinar Harian


Guru tadika berdepan tindakan disiplin

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013

BANDARAYA MELAKA – Seorang guru tadika kini berdepan tindakan disiplin setelah dia didakwa menggunakan kemudahan komputer di tadika berkenaan untuk memuat naik video bogelnya.

Wanita berusia 48 tahun itu dikatakan melakukannya ketika bersembang dengan seorang kenalan laman sosial bulan lalu.

Perbuatannya itu terdedah apabila wanita berkenaan membuat laporan polis, kelmarin selepas kenalannya itu mengugut akan menyebarkan video berkenaan sekiranya dia gagal memberi sejumlah wang kepada lelaki berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan, Datuk Gan Tian Loo berkata, walaupun bersimpati dengan wanita berkenaan, tindakan disiplin tetap boleh dikenakan terhadapnya kerana menyalah guna kemudahan disediakan.

Air najis depan kelas – Sinar Harian


Air najis depan kelas

IZWAN ROZLIN
7 Oktober 2012
Narayanan (dua, kiri) dan beberapa murid tadika kemas menunjukkan air kumbahan air melimpah keluar d
Narayanan (dua, kiri) dan beberapa murid tadika kemas menunjukkan air kumbahan air melimpah keluar dari salurannya.

PETALING JAYA –  Murid Tabika Perpaduan di Flat Desa Ria PJS 7 terseksa dengan bau busuk dari air kumbahan yang melimpah keluar dari saluran di hadapan bangunan itu .

Masalah yang berlarutan sejak dua minggu lalu itu tidak menemui jalan penyelesaian malah keadaan bertambah teruk.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Flat Desa Ria, M.Narayanan berkata, aduan sudah dibuat kepada pihak pemaju namun tiada sebarang tindakan  diambil.

“Air kumbahan yang melimpah keluar bukan setakat busuk malah turut mencemarkan kawasan sekitar flat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian  kelmarin  mendapati air najis itu melimpah berikutan saluran utamanya tersumbat menyebabkan banyak program pembelajaran  luaran sekolah terbantut.

Sementara itu guru tadika Ani Nawan berkata sesi pembelajaran menjadi sukar apabila murid-murid terpaksa belajar di bahagian belakang kelas.

“Tingkap dan pintu terpaksa ditutup bagi mengelak bau dan suasana di dalam kelas juga merimaskan  kerana kami  terpaksa berkurung,” katanya.

Menurutnya sebagai guru dia mahu semua anak muridnya dapat belajar dalam suasana selesa tetapi apa yang berlaku  disebaliknya.

Difahamkan sekolah tadika itu yang  mempunyai 40 murid itu memulakan sesi pembelajaran jam 8 pagi dan berahir jam 12 tengah hari setiap hari.

Bagi penduduk Loh Foh Kuen, 40, bimbang jika sekiranya air kumbahan itu terus mengalir ianya menjadi pembawa penyakit berbahaya.

Polis kenal pasti suspek kedua kes babitkan bekas guru tadika – Bernama


Polis kenal pasti suspek kedua kes babitkan bekas guru tadika

14 Jun 2012
PETALING JAYA – Polis mengenal pasti identiti suspek kedua kes bekas guru tadika yang dilarikan dan disamun sebelum ditinggalkan dengan kecederaan teruk di kepala, di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pada 6 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias ia susulan siasatan berhubung gambar suspek yang diambil daripada kamera litar tertutup di sebuah stesen minyak.

“Kita sudah mengenal pasti suspek kedua dan tempat tinggalnya juga sudah dikesan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Polis menahan suspek pertama berumur 48 tahun di Taman Mas, Falim, Ipoh, Sabtu lepas.

Teoh Soo Kim, 51, dilaporkan hilang oleh suaminya setelah keluar daripada rumah di Bandar Kinrara, Puchong untuk berjoging dan mengambil anak seorang kawan untuk dijaga.

Namun, pada hari kejadian, wanita itu tidak muncul di rumah kawannya untuk mengambil kanak-kanak itu.

Siasatan polis mendapati Teoh disamun sebelum dipukul dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di ladang kelapa sawit berkenaan. Wanita itu kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh.

Polis mengeluarkan gambar dua suspek yang diambil daripada kamera litar tertutup di stesen minyak berkenaan. – Bernama

Suka duka tugas seorang pendidik – Kosmo


Suka duka tugas seorang pendidik


 

TULISAN yang tertera ayat berbunyi, ‘Saya ada rumah. Rumah saya cantik’ kelihatan ditulis kemas di atas papan putih. Kemudian, kedengaran pula suara nyaring sekumpulan kanak-kanak mengeja satu persatu huruf yang membentuk ayat tersebut.

“Baiklah, sekarang siapa yang mahu mengeja dan membacanya seorang diri?,” tanya Liza Mokhtar, 30, seorang guru yang bertugas di Tadika Ilham Bestari yang terletak di Ampang, Selangor itu.

Sebaik mendengar kata-kata rangsangan daripada Liza, masing-masing bersemangat untuk mencuba sambil mengangkat tangan dan menjerit supaya nama mereka dipanggil untuk melakukan tugas tersebut.

Namun, apabila ada dalam kalangan mereka nama tidak dipanggil cikgu, keluhan kecil terkeluar dari mulut mereka. Ternyata riak muka anak-anak itu menunjukkan kehampaan.

Itulah sebahagian gelagat pelajar tadika berusia enam tahun yang dapat disaksikan ketika mengikuti sesi pengajaran mereka di dalam kelas tersebut.

Menurut Liza, sepanjang empat tahun mengajar di tadika itu, banyak pengalaman manis yang diperoleh terutama dalam mengenali karakter setiap kanak-kanak yang belajar di sana.

“Memang seronok mengajar mereka. Apatah lagi, masing-masing mempunyai keletah tersendiri. Walaupun kadang-kadang mereka cepat bosan apabila belajar, tetapi apabila kita adakan kuiz atau permainan, semuanya berebut-rebut untuk mencuba,” ujar Liza sambil memberitahu guru perlu berbuat sesuatu yang kreatif apabila melihat fokus kanak-kanak mula hilang di dalam kelas.

Bagi Siti Zabedah Abu Bakar, 28, pula, sebagai seorang guru tadika, mereka perlu bijak menarik perhatian kanak-kanak. Justeru, praktik pembelajaran menggunakan peralatan tertentu amat penting untuk dilaksanakan.

“Contohnya penggunaan kad huruf, bentuk-bentuk objek dan sebagainya. Selain itu, teknik belajar sambil menyanyi dan menari juga mampu mengembalikan minat kanak-kanak ini pada pembelajaran,” kata Zabedah yang mula mengajar di Tadika Ilham Bestari pada tahun 2008.

Mencuit hati

PENDIDIKAN awal kanak-kanak di tadika mampu membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang lebih positif.

 

Tambahnya, meskipun ada waktunya kanak-kanak di tadika itu membuatkan dirinya tertekan, namun pada masa yang sama mereka juga yang menjadi penawar hati mereka dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati.

Sementara itu, Pengetua Tadika Ilham Bestari, Noor Azah Adnan, 50, memaklumkan bahawa, setiap guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

“Guru ialah satu pekerjaan yang mulia. Bahkan setiap kejayaan pasti bermula daripada didikan seorang guru. Justeru, amat penting untuk menanamkan sifat menghormati guru kepada anak-anak sejak kecil lagi,” tutur Azah yang sudah terlibat dalam pengurusan taska dan tadika sejak dua dekad lalu.

Berkongsi pengalaman, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, kanak-kanak yang dibesarkan di taska kendaliannya dan kemudian memasuki prasekolah di Tadika Ilham Bestari, mereka tidak segan silu berkongsi masalah dengan guru yang sudah dianggap seperti kawan.

“Bayangkan apabila seorang bekas pelajar tadika ini ketika didatangi haid pertama, dia bukan memberitahu ibunya sendiri, sebaliknya terus menceritakan masalah itu kepada guru yang pernah mengajarnya dahulu.

“Ia mungkin disebabkan rasa hormatnya pada guru tersebut sejak kecil. Kanak-kanak mempunyai hati yang bersih. Mereka tidak pernah berdendam apabila dimarahi, malah cepat lupa tentang apa yang telah dibuat kepada mereka. Lantaran itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam mencorak perilaku mereka yang akan dibawa hingga dewasa,” tegas Azah.

Selepas menerima didikan awal di tadika, sekolah rendah pula menjadi medan untuk kanak-kanak meneruskan perjuangan mereka dalam menimba ilmu. Jika mereka cemerlang di tadika, pencapaian itu akan diteruskan di sekolah rendah.

Andai guru yang mengajar mereka cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil minat untuk belajar sentiasa subur dan mekar dalam jiwa masing-masing.

Perkara ini diakui oleh Gopinat Muthy, 30, Ketua Panitia Bahasa Tamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik di Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur.

Ujar Gopinat, proses pengajaran masa kini lebih cenderung menggunakan peralatan alat bantu mengajar seperti kaedah persembahan daripada perisian power point, kad imbas dan membawa pelajar keluar dari kelas untuk melihat persekitaran.

HUBUNGAN guru dan pelajar yang erat menjadikan suasana pembelajaran di sekolah berjalan dengan harmoni.

 

“Kalau dahulu, guru hanya statik belajar di dalam kelas dan papan hitam, tetapi sekarang kaedah sedemikian boleh membuatkan pelajar jemu sekali gus menghilangkan minat mereka untuk belajar,” ungkap graduan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya itu.

Dalam pada itu, memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin, Gopinat memberitahu, masalah atau kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah rendah tidak terlalu tinggi.

“Kes yang berlaku hanya melibatkan pergaduhan kecil disebabkan ejek-mengejek sesama mereka. Masalah itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh sehari atau paling cepat satu jam. Kes seperti ponteng sekolah pula, jarang berlaku di sekolah ini,” kata Gopinat yang rasa amat dihargai apabila ramai pelajar memberinya hadiah sewaktu sambutan hari guru atau hari lahir.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Anggerik, Sabariah Ali berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, pelajar kini semakin bijak dan lebih mengetahui banyak perkara berbanding guru.

“Situasi ini menjadikan cabaran yang dihadapi para guru semakin besar. Justeru, amat penting mereka berada setapak di hadapan pelajar agar tidak dipandang rendah kerana buta teknologi maklumat (IT) contohnya dalam memahami penggunaan gajet-gajet canggih,” ungkap Sabariah.

Guru tadika maut tercampak keluar MPV – Berita Harian


Guru tadika maut tercampak keluar MPV
Oleh Adnan Ibrahim

2012/01/17

KLUANG: Seorang guru tadika wanita maut apabila tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama lima rakannya selepas dirempuh sebuah kereta lain di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Simpang Renggam di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan jam 4.15 petang di Kilometer 58 Jalan Machap-Simpang Renggam, mangsa, Zainun Maas, 44, mati di tempat kejadian akibat tercampak kira-kira lima meter hingga memasuki laluan lebuh raya bertentangan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman, berkata ketika kejadian, mangsa bersama lima rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Johor Bahru selepas menyertai satu program di Parit Raja dekat Batu Pahat.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, Toyota Wish dinaiki mangsa dipandu seorang rakannya dikatakan berhenti secara tiba-tiba menyebabkan Toyota City yang mengekorinya tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan mereka.

“Rempuhan itu mengakibatkan pintu belakang Toyota Wish terbuka menyebabkan mangsa bersama seorang lagi rakannya tercampak keluar kira-kira lima meter,” katanya di sini, semalam.

Azmi berkata, mangsa mati di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kulai, sementara empat lagi rakan mereka cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Sementara itu, bapa mangsa, Maas Mohamad, 74, dari Pasir Panjang, Kulai, tidak menyangka akan menerima berita buruk mengenai kematian anak sulungnya selepas kali terakhir mereka bertemu akhir bulan lalu.
“Pemergian Allahyarham buat selama-lamanya pasti dirasai kami sekeluarga kerana beliau sering menjadikan suasana meriah di rumah setiap kali pulang bercuti ke kampung. Allahyarham rapat dengan saya dan selalu berhubung untuk melepaskan rindu,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan terakhir bulan lalu, anak perempuannya itu sempat menyerahkan cenderamata yang dibelinya dari China untuk mereka sekeluarga.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasir Raja, Kulai selepas bedah siasat di Hospital Kluang.