Guru tak mengaku cabul murid berusia lapan tahun – Utusan


Guru tak mengaku cabul murid berusia lapan tahun

21/10/2011 12:33pm

 

PETALING JAYA 21 Okt. – Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang murid perempuan yang berusia lapan tahun, Mac lalu.

Mohd. Radzi Misran, 55, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekolah tempat dia mengajar di Bandar Sunway, Subang Jaya di sini antara pukul 1.30 petang dan 6 petang, 29 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid membenarkan tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes. – Utusan