Guru terima enam jahitan – Sinar Harian


Guru terima enam jahitan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2012
Guru terima enam jahitan

BERKELEY – Seorang guru tadika swasta mengalami kecederaan serius di seluruh anggota badan selepas jatuh tersungkur atas jalan raya akibat diragut dua lelaki bermotosikal di sekitar Taman Eng Ann.

Berikutan kejadian itu, mangsa dikenali Agnes, 32, terpaksa menerima enam jahitan di bahagian kepala selain turut mengalami luka di bahagian siku, lutut, dan calar di bahagian belakang badan.

Mangsa yang masih trauma berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.15 petang sebaik dia keluar dari sebuah kedai runcit untuk menuju ke keretanya yang diletak hanya beberapa meter dari kedai berkenaan.

“Hanya beberapa meter sebelum tiba ke kereta, saya rasakan beg tangan yang tersarung pada bahu kiri direntap kuat dari arah belakang.

“Dalam masa yang sama, saya terus menarik kuat beg sambil menjerit meminta bantuan bagaimanapun rentapan kuat lelaki itu menyebabkan saya jatuh tersungkur ke jalan raya dengan kepala turut sama tersembam di atas permukaan jalan raya,” katanya.

Selepas itu katanya, dua lelaki bermotosikal itu terus melarikan diri dengan memecut motosikal.

“Kepala saya terasa berat dan pening secara tiba-tiba. Saya terus pitam dan tidak ingat apa yang telah berlaku.

“Dalam beberapa minit kemudian, sebaik sedar saya berada atas jalan raya dalam keadaan terbaring.

“Tiada sesiapa di situ yang membantu saya. Saya terus kuatkan semangat untuk berdiri dan saya bernasib baik kunci kereta yang sebelum itu berada dalam genggaman tangan tidak dikebas peragut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, dia terus memandu kereta menuju ke rumah keluarga mertuanya yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi itu untuk meminta bantuan.

“Sebaik tiba di sana, saya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) oleh suami untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Berikutan kejadian itu, wang sejumlah RM600, telefon bimbit, kad ATM dan beberapa dokumen pengenalan diri dan anak-anak yang tersimpan dalam beg tangan saya lesap dikebas peragut,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Bandar Baru Klang sehari kemudian.

Dalam pada itu, suami mangsa dikenali Sam Singh berkata, pihaknya kesal kerana tiada sesiapa di lokasi kejadian cuba memberikan bantuan kepada isterinya sejurus kejadian itu berlaku.

“Memang saya akui kawasan berkenaan sunyi kerana masing-masing keluar bekerja. Justeru itu, saya minta pihak polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan berkenaan,” katanya.

Sam Singh berkata, kaum wanita di luar sana juga diingatkan agar berhati-hati bagi mengelak kejadian yang sama berulang.