Maut di hari guru – Sinar Harian


Maut di hari guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2013
Lim Boey Kim
Lim Boey Kim

GEORGETOWN – Sambutan hari guru kali ini tidak bermakna buat seorang guru tuisyen, Lim Boey Kim, 43, yang ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Island Glade, Jalan Masjid Negeri, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari Hospital Pulau Pinang selepas melawat mayat ibunya yang meninggal dunia akibat sakit tua.

Menurut sumber, mangsa difahamkan terus berlegar-legar di kawasan koridor sebaik tiba di rumahnya dan perubahan sikapnya itu disedari oleh saudaranya.

Beliau berkata, ahli keluarga lain tidak sempat menyelamatkan mangsa kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Mangsa yang masih bujang itu dikatakan rapat dengan ibunya dan murung sebaik mendapat berita kematian ibunya. Mungkin dia tidak dapat menerima pemergian ibunya pagi tadi (semalam).

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian berkenaan.

Gan berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan  kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat sebelum tuntut ahli keluarganya,” katanya.

Guru tuisyen dakwa dibelasah bomoh wanita – Kosmo


Guru tuisyen dakwa dibelasah bomoh wanita

 

Oleh LILY YEAN
lily.yean@kosmo.com.my

 

CHIAN AI (kanan) menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya akibat dipukul seorang bomoh wanita sambil diperhatikan Wilson (tengah) dan rakan Chian Ai, Chan Woon Choy di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Gara-gara menemani rakan menghadiri upacara keagamaan, seorang guru tuisyen mengalami kecederaan di seluruh badan selepas dipukul seorang bomoh wanita berusia 30-an tahun di sebuah kedai kopi di Kampung Desa Aman, Kepong di sini pada 18 Februari lalu.

Lee Chian Ai, 38, mendakwa, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, dia dipukul bomoh itu dengan papan di dalam bilik sembahyang kedai berkenaan.

“Saya dipukul bertalu-talu selama 15 minit sehingga menyebabkan lengan, paha, punggung dan belakang badan saya lebam serta bengkak.

“Lebih menakutkan, bomoh yang dipercayai telah dirasuk memukul saya sehingga papan tersebut patah sebelum melepaskan saya keluar daripada bilik berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini semalam.

Dakwanya, kejadian berpunca daripada tuduhan bomoh berkenaan terhadap dia dan rakannya, Ah Fong yang dikatakan punca seorang pengikut bomoh itu demam selepas menjalankan upacara sembahyang di bilik berkenaan sehari sebelum kejadian itu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2MAm4OMNf
Hakcipta terpelihara

Kertas percubaan SPM bocor di FB – Sinar Harian


Kertas percubaan SPM bocor di FB

IZWAN ROZLIN
13 September 2012
Kertas percubaan SPM bocor di FB
Pautan kertas percubaan SPM yang tersebar di sebuah laman sosial Facebook.

KUALA LUMPUR – Soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagi Kuala Lumpur dan Selangor, yang berjalan dari 29 Ogos lalu hingga 21 September ini, didakwa  sudah tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada seorang guru tuisyen yang memberitahu bahawa pautan kepada soalan itu dimuat turun di Facebook sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek.

”Selalunya  mereka akan letak soalan itu  sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek, namun  apa yang menimbulkan tanda tanya sekarang mengapa tiada tindakan diambil meskipun ada guru sekolah yang mengetahui tentang perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sementara itu, semakan Sinar Harian di laman sosial  berkenaan pada awal pagi mendapati terdapat 23,000 orang telah menerima laman tersebut, namun  selepas maklumat mengenainya tersebar di media, laman itu telah  tiada pada jam 3 petang tadi.

Hasil semakan itu mendapati terdapat 10 subjek yang didakwa kertas percubaan SPM sebenar peperiksaan telah dimuat turun  di laman tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelajaran dapat menyiasat dan mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat kerana kertas percubaan yang dimuat turun adalah 99.9 peratus  tepat seperti soalan sebenar,” katanya.

Guru pusat tuisyen minta maaf – Kosmo


Guru pusat tuisyen minta maaf
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

LIM LEE YEE (kiri) dan Chong Yong tampil meminta maaf kepada umat Islam sambil diperhatikan oleh Mohd. Noor di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Guru dan pengusaha pusat tuisyen di Tangkak, Muar yang menimbulkan kontroversi apabila memaparkan karikatur menghina para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. dalam nota ringkas yang diedarkan kepada pelajar baru-baru ini tampil memohon maaf secara terbuka semalam.

Ku Chong Yoong, 22, yang merupakan guru dan individu yang bertanggungjawab menyediakan bahan tersebut serta pengusaha pusat tuisyen Indah Permai Jaya, Lim Lee Yee, 26, mengaku tidak berniat untuk menyentuh sensiviti umat Islam apatah lagi menghina sahabat Nabi.

“Saya kesal perkara ini berlaku. Niat saya hanya ingin membantu pelajar agar lebih mudah faham dan saya tidak berniat untuk menyentuh isu sensitif orang Islam.

“Di sini, saya dengan ikhlas ingin memohon maaf kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya di Tangkak serta di seluruh dunia. Saya mengaku, tindakan saya ini kurang matang dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata Chong Yoong yang sudah dua tahun mengajar di pusat tuisyen terbabit.

Sementara itu, Lee Yee pula mengaku tidak tahu mengenai bahan yang disediakan tenaga pengajarnya sehinggalah isu terbabit disiarkan di akhbar.

“Selepas ini, saya janji akan lebih berhati-hati dan memantau bahan-bahan yang digunakan oleh guru tuisyen untuk mengajar. Kami juga telah meminta balik semua nota tersebut daripada pelajar dan telah menerangkan hal sebenar kepada mereka,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Derita ditokak beruk jiran – Metro


Derita ditokak beruk jiran
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun nyaris maut diserang seekor beruk ketika pulang dari kelas tambahan di Bukit Payung, Marang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Muhammad Fathurrahaman Abd Salam tidak sempat melarikan diri apabila beruk peliharaan seorang penduduk di kampung berhampiran terlepas dan mengamuk serta mengejar hampir 30 kanak-kanak yang pulang dari pusat tuisyen berkenaan. Fathurrahaman hanya mampu meraung selepas beruk mempunyai taring tajam menggigit lengan kirinya sebelum diselamatkan guru tuisyen yang melarikan mangsa berlumuran darah dalam tandas berhampiran.
Bagaimanapun, tindakan guru menyelamatkan mangsa tidak bertahan lama apabila beruk yang masih mengganas di luar tandas kembali menyerang dan menggigit mangsa bersama gurunya ketika cuba keluar dari tandas berkenaan.

Ibu mangsa, Norliana Mohd Syamsu, 31, yang menetap di Kampung Rawai, Marang, ketika dihubungi berkata, anaknya cedera parah di bahagian lengan kiri dan kini dirawat di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Menurutnya, sebelum menjemput anaknya pulang dari pusat tuisyen, dia ada mendengar cerita dari penduduk kampung mengenai seorang kanak-kanak diserang beruk, tetapi tidak mengetahui yang menjadi mangsa anaknya sendiri.
Katanya, sebaik tiba di pusat tuisyen itu, dia melihat anggota Rela menembak mati seekor beruk sebelum terkejut melihat keadaan anak sulungnya berlumuran darah diserang beruk berkenaan.

“Tanpa berlengah saya bergegas menghubungi suami dan membawa anak ke Klinik Bukit Payung mendapatkan rawatan sebelum diminta rujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, bapa Fathurrahaman, Abd Salam Mohamad, 31, yang menemani anaknya di HSNZ berkata, terdapat dua kesan luka sedalam 5.08 sentimeter dan 3.81 sentimeter di lengan kiri anaknya akibat gigitan beruk itu.

Guru rangsang pelajar gagal dalam rayuan hukuman penjara – Bernama


Guru rangsang pelajar gagal dalam rayuan hukuman penjara

2 April 2012

PUTRAJAYA – Seorang guru sekolah gagal dalam rayuan terakhirnya berhubung hukuman penjara 16 bulan yang dihadapinya bagi kesalahan merangsang dua pelajar Tahun Enam melakukan perbuatan kelucahan melampau, lapan
tahun lepas.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk K.N.Segara menolak rayuan dikemukakan oleh Muhammad Nizar Shuib, yang juga merupakan guru tuisyen Bahasa Inggeris kepada dua pelajar lelaki itu.

Muhammad Nizar, 31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya berhubung hukuman penjara 16 bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 9 Mei, 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E, Kanun Keseksaan bagi dua pertuduhan merangsang dua budak lelaki itu yang berumur 14 tahun untuk melakukan perbuatan itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kubang Pasu, Kedah, antara Mei 2003 dan April 2004.

Terdahulu, peguam yang mewakilinya G. Ravishankar berhujah pertuduhan terhadap anak guamnya itu adalah tidak kukuh kerana tiada tarikh dan masa spesifik mengenai kejadian yang didakwa dalam pertuduhan.

Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan umur dua budak lelaki itu adalah di bawah 14 tahun serta tiada sijil kelahiran dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan untuk membuktikan perkara itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi dalam hujahannya berkata umur kedua-dua mangsa telah dibuktikan melalui keterangan lisan diberikan ibu mereka, pegawai penyiasat dan guru sekolah semasa perbicaraan.

Katanya, tidak diragui bahawa pertuduhan memegang kemaluan kanak-kanak merupakan perbuatan kelucahan melampau.

Katanya, ibu kepada seorang daripada mangsa menyedari yang anaknya beberapa kali pulang lewat ke rumah daripada kelas tuisyen. Apabila dia bertanya mengenai perkara itu, anaknya berkata guru telah memintanya menyusun buku.

Bagaimanapun, apabila ditanya sekali lagi, budak lelaki itu memberitahu ibunya yang guru meminta dia mengurutnya, kata Tetralina.

Katanya, selepas itu ibu budak lelaki itu telah melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah. Kemudiannya ibu seorang lagi budak lelaki turut membuat laporan kepada pihak sekolah mengenai kejadian serupa.

Hakim Segara yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Linton Albert berkata hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan betul apabila mensabitkan  Muhammad Nizar dengan kedua-dua pertuduhan itu.

Katanya, terdapat keterangan lisan yang mencukupi untuk menunjukkan mangsa berumur bawah 14 tahun.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, Muhammad Nizar dikerumuni anggota keluarganya sebelum dia dihantar ke penjara. – Bernama

Ibarat bawa guru tuisyen ke rumah – Kosmo


Ibarat bawa guru tuisyen ke rumah

 

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD
berita@kosmo.com.my

 

HISHAMUDDIN bersama kit pembelajaran matematik online dan video cakera padat milik syarikatnya di pejabatnya di Petaling Jaya semalam.

 

PETALING JAYA – Sebuah syarikat teknologi maklumat milik bumiputera menawarkan perkhidmatan tuisyen matematik secara online dengan konsep terbaharu yang terbukti mampu menjimatkan kos.

Pengarah Urusan On9Tuition.com, Hishamuddin Mohamed Amin berkata, konsep ‘bawa cikgu balik ke rumah’ melalui produknya dimaksudkannya ialah di mana pelajar seolah-olah belajar dengan guru walaupun tidak berada di sekolah.

“Ia berkesan dan menjimatkan kos perbelanjaan tuisyen ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen berbayar,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Program itu juga membuatkan pelajar boleh mengikut kesesuaian masa mereka sendiri.

“Mereka boleh mengulang seberapa kerap video pembelajaran dan boleh menghentikannya pada bila-bila masa.

“Kita boleh lihat kembali apa yang kita tidak faham tanpa perlu bertanya dengan guru,” katanya.