Guru wanita mati melecur – Utusan Malaysia


Guru wanita mati melecur

 

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

 

PETALING JAYA 13 Mac – Seorang guru wanita maut akibat melecur teruk setelah pangsapuri studio yang disewanya di Damansara Perdana di sini, terbakar hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Elizabeth Wong, 25, dipercayai gagal melarikan diri sebelum mengalami sesak nafas dan ditemui mati dengan keadaan tubuh melecur 100 peratus di atas katil di rumahnya.

Penguasa Bomba dan Penyelamat (Bahagian Operasi) Selangor, Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zain berkata, kebakaran di satu unit rumah terletak di tingkat 7, Pangsapuri Ritz, Damansara Perdana itu dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 10.27 pagi.

Beliau berkata, dua jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara serta Sungai Buloh dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

“Apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 10.41 pagi, api sudahpun berjaya dikawal daripada merebak oleh penghuni pangsapuri terbabit dengan menggunakan paip pemadam api di situ.

“Namun, asap tebal masih memenuhi ruang rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, setelah asap berjaya dikawal, pihaknya yang menjalankan pemeriksaan menemui mayat mangsa di atas katil.

Wan Mohd. Hamizi berkata, mayat mangsa tidak rentung tetapi melecur 100 peratus pada seluruh badannya.

Tambahnya, siasatan mendapati kebakaran itu memusnahkan 70 peratus daripada rumah tersebut dan paling teruk terbakar adalah kawasan tempat tidur mangsa.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil memberitahu mangsa tinggal sendirian di rumah tersebut.

Sementara itu, seorang kakitangan di pejabat pengurusan pangsapuri terbabit ketika ditemui memberitahu, mangsa baru sebulan menyewa unit pangsapuri tersebut.

Dia yang enggan dikenali berkata, semalam, mangsa ada mengadu kepada pemilik rumah bahawa suis elektrik di rumahnya gagal berfungsi dan meminta ia dibaiki segera.

“Saya difahamkan, pemilik rumah ada datang membaiki kerosakan tersebut tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kebakaran berpunca daripada masalah berkenaan,” katanya.