Hadiah Nurul Janaah buat ibu, ayah – Utusan


Hadiah Nurul Janaah buat ibu, ayah


 

HULU TERENGGANU 17 Nov. – Setiap hari dia melihat ibu, juga ayahnya yang bekerja di depan mata, sebagai tukang sapu dan pengawal di Sekolah Kebangsaan Dusun di mana dia belajar.

Pandangan kerap kali terarah kepada mereka berdua ketika memberi tumpuan di dalam kelas yang secara tidak langsung mengingatnya agar tidak mensia-siakan harapan dan pengorbanan mereka.

Hari ini, Nurul Jannah Mohamed, 12, (gambar) menghadiahkan pencapaian cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang membanggakan ibunya, Noriah Abdul Rahman, 53, dan bapanya, Mohamed Ismail, 57.

Kata Nurul Jannah, memandangkan sekolah dan tempat kerja ibu dan bapanya sama, setiap hari dia dan ibunya membonceng bapanya ke sekolah tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah.

“Biasanya ayah kena kerja 12 jam sehari, jadi saya dan ibu sudah biasa jalan kaki dan tidak kisah pun jika ayah tak dapat hantar pulang ke rumah.

“Cuma sedih melihat emak menyapu di luar kelas dan ayah bekerja sehingga lewat petang, sedangkan pada waktu sama, saya berada di dalam kelas dengan selesa,” katanya.

Nurul Jannah yang bercita-cita menjadi seorang guru itu tekad untuk mengikut jejak kakak dan abangnya yang menyambung pelajaran ke universiti.

“Ibu dan ayah tak belajar tinggi tetapi saya bersyukur sebab mereka sering memberi semangat,” katanya.

Nurul Jannah merupakan antara tujuh murid sekolah tersebut yang memperolehi 5A dan akan menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, tahun depan.