Penghawa dingin @ pendingin hawa? – Sinar Harian


Penghawa dingin @ pendingin hawa?
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Ogos 2013

Ada seorang rakan aju persoalan kepada saya tentang penggunaan bahasa yang tepat, sama ada ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’. Persoalan dikemukakan oleh rakan saya tadi mungkin juga menjadi persoalan bagi banyak pihak yang lain.

Kemungkinan persoalan-persoalan lain yang timbul ialah sama ada:
i.    ‘pisang goreng’ atau ‘goreng pisang’
ii.    ‘sos tomato’ atau ‘tomato sos’

Kesemua persoalan di atas berkaitan dengan Peraturan D-M (Hukum D-M). D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan atau hukum ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Hal ini bermaksud, perkara yang menjadi fokus utama disebut terlebih dahulu manakala unsur yang berfungsi menerangkan fokus utama hadir pada kedudukan kedua.

Contohnya, perkataan ‘kereta lembu’. Unsur yang diterangkan ialah ‘kereta’ kerana menjadi inti atau  fokus utama. Manakala ‘lembu’ hanyalah berfungsi menerangkan tentang ‘kereta’. Hal ini demikian kerana perkara yang hendak difokuskan dalam perkataan ini ialah ‘kereta’ dan bukannya ‘lembu’.

Berdasarkan definisi dinyatakan maka penggunaan perkataan yang tepat bagi ketiga-tiga persoalan di atas ialah:
i.    ‘pendingin hawa’ (kerana yang difokuskan ialah alat untuk mendinginkan hawa)
ii.    ‘pisang goreng’ (kerana yang difokuskan ialah pisang yang digoreng)
iii.    ‘sos tomato’ (kerana yang difokuskan ialah bahan cecair atau pekat digunakan  untuk menyedapkan makanan serta diperbuat daripada tomato)

Namun, perkataan ‘goreng pisang’ dan ‘tomato sos’ masih boleh digunakan tetapi membawa maksud berbeza. Contohnya:
i.    ‘goreng pisang’ (menunjukkan perbuatan menggoreng pisang)
ii.    ‘tomato sos’ (menunjukkan sejenis tomato yang digunakan untuk membuat sos)

Penggunaan bahasa Melayu yang melanggar Peraturan D-M ini terjadi salah satunya disebabkan pengaruh bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, unsur menerangkan hadir pada kedudukan pertama manakala unsur diterangkan hadir pada kedudukan kedua. Contohnya:
i.    ‘school bus’
ii.    ‘football player’
iii.    ‘English teacher’
iv.    ‘boarding school’
v.    ‘pretty woman’

Beberapa pelanggaran Hukum D-M dapat dilihat di beberapa tempat, khususnya pada papan-papan tanda serta dalam beberapa penggunaan bahasa harian. Sebagai contohnya:
i.    Nik Ali Noordin Syarikat Pembinaan (sepatutnya Syarikat Pembinaan Nik Ali Noordin)
ii.    Wan Amiruddin dan Norazian Restoran(sepatutnya Restoran Wan Amiruddin dan Norazian)
iii.    Lain-lain hal (sepatutnya hal-hal lain)

Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Peraturan D-M?
i.    ‘ayam telur’ atau ‘telur ayam’?
ii.    ‘biru laut’ atau ‘laut biru’?
iii.    ‘delima merah’ atau ‘merah delima’?
iv.    ‘daging lembu’ atau ‘lembu daging’?
v.    ‘anak baju’ atau ‘baju anak’?

Kedua-dua pilihan dalam kesemua contoh di atas boleh digunakan tetapi bergantung kepada unsur inti yang hendak diterangkan. Sebagai contohnya ‘ayam telur’ merujuk  sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala ‘telur ayam’ merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain tersebut.

Namun demikian, terdapat beberapa kekecualian Peraturan D-M, iaitu sesuatu yang berfungsi untuk menerangkan (M) mendahului sesuatu unsur yang diterangkan (D). Hal ini demikian berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, nama-nama jawatan, gelaran dan penjodoh bilangan. Sebagai contohnya:
i.    perdana(M) menteri(D)
ii.    ibu(M) pejabat(D)
iii.    Haji(M) Ahmad Shahru(D)
iv.    naib(M) presiden(D)
v.    lima ekor(M) kambing(D)

Sebagai penutup bicara, dapatlah disimpulkan bahawa kita semua perlu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul. Kita tidak boleh memandang mudah dalam aspek penggunaan bahasa Melayu kerana kadangkala akan menimbulkan salah faham dalam berkomunikasi.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Majlis Prapelancaran Perayaan Hari Guru 2012


Majlis Prapelancaran Perayaan Hari Guru 2012

Dirasmikan oleh YBhg Dato Sri Abd. Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Tarikh 11.00 pagi, 30 April 2012, Isnin
Tempat Sekolah Menengah Alam Syah, Putrajaya

Semua Dijemput hadir bagi memeriahkan majlis

Terima Kasih

CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua – Berita Harian


CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua

2012/03/01

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu peluang kedua diberi kepada kakitangan awam untuk memilih opsyen melanjutkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, walaupun tarikh penyerahan borang bagi tujuan itu berakhir 31 Disember lalu.

Gesaan itu dibuat Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berikutan masih ramai lagi penjawat awam berminat untuk memilih opsyen terbabit, tetapi terlepas peluang berbuat demikian sebelum ini.

“Saya dapat tahu ramai penjawat awam berminat selepas mendapat tahu kelebihan memilih opsyen terbabit yang ditawarkan melalui pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Namun, disebabkan kurangnya kefahaman terhadap opsyen terbabit ketika ia mula ditawarkan, termasuk faktor tempoh masa singkat diberikan kepada penjawat awam untuk memikirkannya sebelum ini, menyebabkan ramai yang terlepas peluang berbuat demikian.

“Justeru, saya harap ketua jabatan dapat memberi sedikit kelonggaran di peringkat dalaman kepada kakitangan masing-masing untuk menyertai skim terbabit.

“Ia terbukti membawa banyak faedah kepada penjawat awam dan saya sendiri percaya ia dapat dilakukan tanpa menjejaskan ketetapan sedia ada,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Seminar Pengurusan Kesatuan Pekerja anjuran bersama Kesatuan Pekerja Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden KPKSM, Ibrahim Ahmad.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Dalam skim baru berkenaan, hiraki perkhidmatan awam dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.