Mangsa terakhir kes lemas di Cherating dijumpai pagi tadi – Bernama


Mangsa terakhir kes lemas di Cherating dijumpai pagi tadiĀ 

2012/02/13

KUANTAN: Mangsa terakhir dalam kejadian tiga sekeluarga lemas ketika sedang mandi-manda di Pantai Kampung Budaya Cherating Sabtu lepas dijumpai pada jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata mayat Muhammad Hairul Nizam Hasry, 14, dijumpai oleh anggota penyelamat berhampiran Teluk Kemboja, tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang anggota polis, Lans Koperal Asri Kamis, 28, serta dua anak tirinya, Muhammad Hasryzam Hasry, 15, dan Muhammad Hairul Nizam Hasry, 14, lemas ketika sedang mandi-manda di pantai berhampiran Chalet Duyung dekat sini kira-kira jam 4.45 petang. – BERNAMA