Hajat ke sekolah terhalang – Metro


Hajat ke sekolah terhalang

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SETIU: “Saya bersemangat memulakan sesi persekolahan baru dan membuat persiapan sejak awal pagi lagi tetapi hajat saya terhalang apabila sekolah ditutup berikutan masih kotor akibat banjir,” kata Nur Farhana Umar, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, Hulu Nerus, dekat sini, semalam.

Dia antara 53 murid yang tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan sesi 2012 apabila sekolah mereka belum sempat dibersihkan akibat dilanda banjir kelmarin selain tandas mengalami kerosakan.
Meskipun air sudah surut, namun kesan kekotoran akibat banjir yang dikatakan mencecah kedalaman satu meter di sekolah itu hanya dapat dibersihkan semalam.

 

Nur Farhana berkata, dia sedih kerana tidak dapat mengikuti kelas sedangkan sebelum itu semangatnya berkobar-kobar memulakan sesi persekolahan baru berikutan akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
“Saya harap kejadian banjir seperti itu tidak berulang kerana bimbang akan menjejaskan pembelajaran saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila guru besar memaklumkan sekolah akan dibuka esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam.

 

 

Muhammad Sayazman Abdullah, 10, berkata, walaupun tidak dapat ke sekolah hari ini, namun dia gembira kerana dapat memakai baju sekolah baru.
“Saya tidak sabar memulakan sesi pembelajaran dan akan bangun lebih awal untuk ke sekolah,” katanya.

 

Guru besar, Rohaya Harun, 55, berkata sekolah terpaksa ditutup sehari bagi kerja pembersihan dan memastikan keselamatan pelajar terjamin berikutan bimbang air Sungai Kampung Bukit melimpah naik kerana cuaca masih tidak menentu.
“Kami bimbang keselamatan murid di sekolah ini terjejas menyebabkan pengurusan sekolah kemudian memaklumkan permasalahan ini kepada pihak atasan sebelum mencapai persetujuan penutupan sekolah dilakukan.
“Memandangkan cuaca bertambah baik, sekolah akan dibuka esok,” katanya.
Selain SK Kampung Bukit, sebuah sekolah lagi yang terpaksa ditutup akibat masalah banjir adalah Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, di sini, yang mempunyai 201 pelajar.