Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian – Metro


Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012
Remaja maut ketika ke KL saksi Malaysia lawan Thai
Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di km 55.9 Jalan Pontian-Johor Bahru, dekat Taman Pontian Jaya, disini, malam kelmarin.
Mohd Sauki Amri Hassan
Arwah, Mohd Sauki Amri Hassan, 17.

PONTIAN – Hajat seorang remaja menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Malaysia menentang Thailand bersama rakannya malam kelmarin tidak kesampaian apabila terlibat dalam nahas di kilometer 55.9 Jalan Pontian-Johor Baharu, berhampiran Taman Pontian Jaya, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, motosikal yang dibonceng Mohd Sauki Amri Hassan, 17 bersama rakannya, Mohd Raushad Azhar, 17, dilanggar sebuah kereta dari belakang ketika hendak membelok ke kanan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain.

Mohd Sauki Amri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Raushad yang cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Bapa arwah Mohd Sauki Amri, Hassan Khalid, 51 berkata, anaknya itu baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 25 November lalu.

Menurutnya, pada pagi hari kejadian, Mohd Sauki yang merupakan anak keenam dari lapan beradik itu keluar bermain sepak takraw.

“Tiada perubahan yang ketara pada arwah, saya tak sangka kelmarin adalah hari terakhir dia bersama saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Sungai Bunyi, di sini, semalam.

Hassan yang tidak dapat menahan kesedihan memberitahu anaknya itu ada berhajat untuk melanjutkan pelajaran di kolej kemahiran selepas mendapat keputusan SPM kelak.

“Saya terkejut apabila seorang rakan arwah datang ke rumah memberitahu mengenai Amri terlibat dalam kemalangan.

“Ketika diberitahu, saya seolah-olah tidak percaya kerana arwah baru saja keluar 30 minit dan masih lagi terbayang kata-katanya yang meminta izin daripada saya untuk keluar dari rumah,” katanya.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Wakaf, Jalan Medan Sari, selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, menurut rakan karib arwah, Fakrul Faiz Abd Rahman, 17, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihat di depan mata melibatkan dua rakannya.

“Saya lihat ada kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan menuju ke restoran, ketika itu saya tidak terlintas di fikiran Amri dan Raushad akan terlibat dalam kemalangan itu.

“Namun setelah menghampirinya, saya terkejut melihat nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang Raushad,” katanya.

Fakrul Faiz berkata, dia, Amri, Raushad dan seorang lagi rakan Mohd Nor Azwan, biasanya akan keluar menonton perlawanan bola sepak bersama di sebuah restoran di Taman Pontian Jaya.

“Pada petang itu, saya ada menghubungi Amri untuk ajaknya keluar bersama-sama bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Malaysia bertemu Thailand,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu salah sebuah kenderaan yang melanggar mangsa dilaporkan melarikan diri, dan polis kini sedang berusaha menjejakinya.