Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa Bukan Kesalahan – Bernama


Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa Bukan Kesalahan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan polis menyoal siasat kanak-kanak tanpa kebenaran atau kehadiran ibu bapa atau penjaga tidak boleh ditafsir sebagai melanggar undang-undang.

Ini kerana katanya walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan perkara itu, ada kes tertentu membolehkan kanak-kanak disoal siasat oleh polis tanpa kehadiran penjaga mereka.

“Ada kes-kes yang mana kita perlu menyoal kanak-kanak ini tanpa perlu panggil penjaga atau ibu bapa mereka. Janganlah ada pihak-pihak yang nak ugut kita berkenaan isu ini,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan peguam hak asasi manusia, Edmund Bon yang menggesa ibu bapa menyaman pasukan keselamatan itu jika anak mereka disoal siasat tanpa kebenaran penjaga masing-masing.

Bon merujuk kepada beberapa laporan mengenai pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh yang mendakwa disoal siasat oleh polis tanpa kebenaran ibu bapa mereka berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu.

Mengulas lanjut Khalid berkata: “Kalau nak saman-samanlah… Ada sebab-sebab kita buat macam tu. Jangan takutkan kita.” BERNAMA

Pendidik bantah pindah guru – Sinar Harian


Pendidik bantah pindah guru

NORSHIKIN MOHD SALLEH
31 Mac 2013
Pendidik bantah pindah guru
Normala (depan, lima kanan) bersama-sama ahli Pendidik yang membantah kes pertukaran guru berkumpul di luar pejabat Jabatan Pelajaran Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dan dukacita tindakan yang dikenakan ke atas tiga guru di negeri ini yang dikatakan diarah berpindah ke daerah lain tanpa alasan atau mengikut prosedur yang ditetapkan.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, tindakan menukarkan tiga guru terbabit disifatkan zalim dan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes dan isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

“Ketiga-tiga warga pendidik yang cemerlang dalam perkhidmatan  itu diarah bertukar secara mengejut di tiga daerah berasingan di negeri ini tanpa alasan.

“Atas dasar ini, satu memorandum membantah pertukaran guru terlibat ditandatangani lebih 2,000 orang terdiri dari warga pendidik sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang berlaku,” katanya yang berkumpul di luar pejabat Jabatan Pelajaran Johor Bahru.

Normala berkata, tindakan menukar seseorang guru akan menyebabkan murid  menjadi mangsa.

Dia menggesa jabatan itu mengembalikan martabat profesion perguruan dan tidak membiarkan  maruah dan martabat guru dipermainkan.

“Prosedur pertukaran warga pendidik dalam perkhidmatan perguruan perlu dipatuhi supaya imej jabatan terus dihormati di mata masyarakat,” tegasnya.

Pihaknya kini sedang mengkaji beberapa kes dari sudut guaman dan perundangan terhadap isu yang melibatkan kebajikan dan hak warga pendidik dalam persada pendidikan negara.

“Saya menyeru  warga pendidik bangkit mempertahankan hak dan maruah mereka dari menjadi alat salah guna kuasa yang merugikan pendidikan negara,” katanya.