Ambil langkah waspada – Metro


Ambil langkah waspada

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Guru dan pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, di sini, masih bimbang dijangkiti wabak penyakit batuk kering atau tibi apabila mereka menggunakan alat penutup mulut dan hidung ketika berada di kawasan sekolah.

Malah, kebanyakan pelajar menggunakan penutup mulut sepanjang mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas selepas dinasihati ibu bapa masing-masing sebagai langkah pencegahan.
Salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 16 berkata, walaupun khuatir terhadap penyakit berbahaya itu, dia terpaksa ke sekolah berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menjelang tidak lama lagi.

 

Menurutnya, dia mempunyai masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan diri sebelum menempuh peperiksaan besar itu kelak.
“Kami dimaklumkan penyakit tibi ini sudah berkurangan dan semua pelajar sekolah dinasihati segera memaklumkan kepada guru sekiranya mengalami simptom batuk atau demam,” katanya. Bagaimanapun, ramai pelajar sekolah itu didapati tidak menghadiri sesi persekolahan atas nasihat ibu bapa masing-masing berikutan bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan anak masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, meluangkan masa melawat sekolah berkenaan pagi semalam bagi meninjau keadaan dan mendapatkan maklumat terkini dari pihak sekolah.

 

 

Dia yang ditemui berkata, pelajar dan guru sekolah tidak perlu bimbang berikutan penularan penyakit itu berjaya dikawal segera dari merebak.
Menurutnya, salah seorang pelajar sekolah itu berusia 17 tahun dikenal pasti membawa wabak Tibi itu dan masih diberi rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

 

“Seramai 207 guru dan murid sekolah berkenaan yang mempunyai hubungan dengan pelajar terbabit sudah diberi ujian saringan perubatan,” katanya. “Sebelum ini, seramai 34 guru dan pelajar sekolah itu disyaki mengalami simptom Tibi berdasarkan pemeriksaan dan saringan kesihatan awal dilakukan. Namun 13 guru dan 21 murid terbabit disahkan tidak menunjukkan simptom penyakit Tibi dan dibenarkan meneruskan proses pembelajaran di sekolah,” katanya.
Beliau berkata, semua mereka diberi suntikan khas dan bacaan menunjukkan 34 sampel mereka negatif dan tidak mengandungi kuman tibi.
“Berdasarkan maklumat, tanda-tanda penyakit batuk kering adalah sering berpeluh tengah malam, kehilangan berat badan dan kerap batuk berkahak. Wabak ini mudah merebak melalui batuk dan selsema,’’ tambahnya.
Difahamkan wabak penyakit mencetuskan panik pada warga sekolah itu sejak Jumaat lalu apabila ratusan pelajar dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan.
Wabak berkenaan mula dibawa seorang pelajar tingkatan lima di sekolah itu selepas menerima jangkitan itu daripada bapanya yang juga seorang kontraktor berusia 47 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27

Noraini masih kekal pelat Mandarin – Sinar Harian


Noraini masih kekal pelat Mandarin

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
noraini-pelat mandarin

GONG MEDANG – Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Noraini Ismail, 17, tidak pasti kebolehannya bertutur pelbagai bahasa sebelum ini ber-punca daripada pengaruh filem yang ditontonnya menerusi televisyen.

Katanya, dia mengakui pernah menonton rancangan drama Korea dan Mandarin namun bukan selalu serta tidak terlalu fanatik.

Menurutnya, dia pernah menonton sebuah drama bersiri Korea sembilan tahun melalui cakera padat yang dipinjam daripada kawan.

“Saya hanya menonton cakera padat itu ketika belajar di tahun empat manakala drama Mandarin hanya sekali-sekala,” katanya.

Noraini berkata, sehubungan itu dia tidak pasti kebolehan bertutur dua bahasa itu secara tiba-tiba baru-baru ini ada kaitan dengan ranca-ngan televisyen yang ditontonnya berikutan sebelumnya dia langsung tidak boleh bertutur mahupun memahami bahasa tersebut.

Sementara itu, dia yang ditemui semalam menyatakan tidak sabar untuk kembali ke sekolah seperti biasa.

“Saya merancang ke sekolah esok (hari ini) tetapi perlu menghadiri temu janji dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Temu janji ini diatur oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Rahman Mokhtar,” katanya.

Menurut ibunya Mesina Daud, 48, anak keenamnya sudah tidak bertutur bahasa asing seperti dahulu lagi walaupun tidur semula selepas solat Subuh.

Namun, dia masih gagal bertutur loghat Kelantan dan hanya bercakap bahasa Melayu pelat Mandarin.

Sinar Harian minggu lalu melaporkan Ketua Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Ruhani Mat Minra tidak menolak kemungkinan kebolehan gadis itu berdasarkan pengalaman secara tidak formal ini boleh diperoleh melalui pembacaan dan menonton televisyen.