Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus – Berita Harian


Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/05/15

pix_gal0

UPSI guna pendekatan berkesan, inovatif jamin graduan berkualiti dan berdaya saing

HAMPIR 100 peratus daripada 53,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengikuti kursus dalam satu masa di 27 kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara berjaya menamatkan pengajian.

Rektor IPGM, Datuk Dr Haili Dolhan, berkata daripada jumlah itu, hanya satu peratus daripada mereka gagal menamatkan kursus antaranya disebabkan masalah kesihatan dan disiplin.

Katanya, semua yang menamatkan kursus pula mudah memenuhi pasaran kerjaya berikutan pengambilan pelajar mengikut unjuran keperluan guru setiap lima tahun yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, hampir 100 peratus guru terbabit juga memiliki jiwa pendidik dan meminati profesion keguruan, bukannya golongan yang terpaksa memilih kerjaya berkenaan bagi mengelak menjadi penganggur.

“Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Dengan Kepujian) yang ditawarkan di IPG juga memberi kesan positif hasil penilaian dua kohort yang berjaya menamatkan pengajian.

“Pengajian ini bukan saja diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), malah modul latihannya lebih seimbang melatih generasi muda cemerlang akademik dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di IPGM, Cyberjaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata kira-kira 96 peratus graduan universiti itu berjaya diserap sebagai tenaga pengajar sebaik menamatkan pengajian.

Katanya, UPSI menggunakan pendekatan berkesan dan inovatif bagi menjamin kualiti graduan supaya lebih berdaya saing dan berupaya mengajar lebih daripada satu subjek.

Mengulas isu berkaitan sistem pendidikan yang terlalu berorientasi peperiksaan, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik, berkata kaedah berkenaan dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan melahirkan modal insan seimbang akademik dan sahsiah.

Dasar seumpama itu kata beliau, menyebabkan pelajar hanya memikirkan peperiksaan hingga dibebani kerja rumah yang banyak bagi memastikan mereka memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.

Guru pula katanya, memberikan latihan berterusan itu menyebabkan mereka tidak ada masa beriadah dan mengenepikan aktiviti kokurikulum yang perlu diseimbangi untuk melahirkan generasi muda serba boleh.