Hanya mampu lihat anak ditelan air – Metro


Hanya mampu lihat anak ditelan air

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA KINABALU: Seorang murid tahun dua maut selepas terjatuh dalam lubang yang tidak mempunyai penutup sedalam kira-kira lima meter di tepi Jalan Batu 7, Jalan Tuaran Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa, Chua Soon Lee, 8, bersama ibunya, Chua Mui Tse, 30, dikatakan sedang berjalan mencari besi buruk sekitar tempat kejadian sebelum terjatuh dalam lubang berkenaan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas.
Sebelum tragedi malang itu, mangsa yang juga anak sulung bersama ibunya keluar rumah kira-kira jam 2 petang untuk mencari besi buruk, namun ketika kejadian, mangsa berada di belakang manakala ibunya berada di depan.

 

Menurut Chua, sebelum kejadian, dia sempat melihat anaknya berjalan sambil membaling batu ke dalam parit.
“Ketika itu, saya terus berjalan untuk mencari besi buruk sebelum tiba-tiba terdengar suara meminta tolong dari belakang. “Saya terus menoleh dan terkejut apabila mendapati anak saya tiada. Ketika itu, saya begitu takut dan terus berlari mencari suara jeritan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam Katanya, dia terkejut apabila mendapati anaknya berada dalam lubang berkenaan dengan tangannya masih terkapai-kapai meminta tolong, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana lubang itu terlalu dalam.
“Ketika itu, saya hanya mampu melihat tangannya terkapai-kapai meminta tolong sebelum hilang daripada permukaan air.

 

 

“Saya terus meminta bantuan orang ramai menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta bantuan.
“Selepas itu, sepasukan anggota jabatan itu tiba dan menjalankan kerja menyelamat termasuk mengepam air keluar sebelum beberapa minit kemudian anak saya ditemui terbaring dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya. Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana ia begitu cepat hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

 

“Saya membawanya keluar untuk mencari besi buruk kerana hari ini, dia tidak bersekolah. ‘’Lagipun, semalam (kelmarin) dia meminta supaya dibelikan basikal baru bagi memudahkannya ke sekolah, namun hari ini (semalam) dia sudah tiada,” katanya sebak.
Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohamad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.40 petang sebelum tiba di tempat kejadian jam 3.53 petang.