Hampir separuh tiada rumah – Kosmo


Hampir separuh tiada rumah

 

HARGA rumah yang semakin meningkat menjadi halangan utama kepada penjawat awam untuk memiliki rumah sendiri. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Katanya, kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.

Menurutnya, rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.

“Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2XYTgzfcA
Hakcipta terpelihara

CUEPACS gesa kerajaan kaji semula faedah pinjaman perumahan – Berita Harian


CUEPACS gesa kerajaan kaji semula faedah pinjaman perumahan

 

2013/02/19 – 15:55:23 PM Cetak Emel Kawan

GEORGETOWN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula faedah pinjaman perumahan kakitangan awam sebanyak empat peratus dengan menurunkan ia kepada satu peratus.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kajian semula perlu dilakukan kerana ia sudah lebih 30 tahun tidak dikaji dan harga rumah sekarang yang mahal berbanding dulu.

CUEPACS mahu dikaji semula – Utusan


CUEPACS mahu dikaji semula

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

PULAU PINANG 4 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji semula kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus yang dikenakan ke atas penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu berikutan kadar yang dikenakan tersebut membebankan kakitangan awam yang terpaksa membeli rumah dengan harga semakin tinggi.

Menurutnya, langkah Kementerian Kewangan membenarkan bank komersial menawarkan pinjaman perumahan kepada penjawat awam juga harus dikaji semula.

“Kadar faedah empat peratus yang ditetapkan itu berdasarkan harga rumah yang masih rendah tetapi tidak lagi sesuai kini kerana harga rumah semakin tinggi.

“Selain itu, jika sebelum ini pinjaman melalui Bahagian Pinjaman Perumahan Kementerian Kewangan boleh dibuat 100 peratus, tetapi jika diserahkan kepada bank, kita bimbang pembeli terpaksa membayar deposit antara lima hingga 10 peratus,” katanya.

Cuepacs harap bonus satu setengah bulan – Sinar Harian


Cuepacs harap bonus satu setengah bulan

RAZIATUL HANUM A RAJAK
26 September 2012
Bajet 2013
Menjelang Bajet 2013

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin Bajet 2013 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan menyediakan bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan sudah memberikan bonus setengah bulan kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri lalu.

“Kita tuntut bonus dua bulan gaji sebelum ini dan setengah bulan sudah dapat, jadi baki lagi sebulan setengah itu kita harap dapat diberikan dalam belanjawan kali ini,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Selain itu, Cuepacs juga menuntut agar kerajaan menyediakan lebih banyak skim perumahan mampu milik di kawasan bandar dengan membina rumah sekitar RM80,000 hingga RM200,000 dan RM80,000 hingga RM150,000 di kawasan pedalaman.

“Harga rumah yang ada sekarang ini tinggi dan tidak mampu dimiliki golongan berpendapatan RM2,000.

“Jadi, kita harap selepas ini kerajaan dapat menentukan juga harga rumah yang mampu dibeli oleh penjawat awam yang mendapat gaji RM2,000 hingga RM5,000,” katanya.

Omar berkata, elaun perumahan sewa bulanan yang ditawarkan ketika ini iaitu RM180 sudah tidak relevan pada masa ini, oleh itu, Cuepacs mahu ia ditingkatkan kepada RM350 hingga RM450.

Sementara itu, Omar juga menyatakan bahawa nasib 40,000 pekerja kontrak wajar diperjuangkan dengan mengubah status mereka kepada pekerja tetap.

Malah, Cuepacs juga mahu faedah pinjaman perumahan dikurangkan kepada satu peratus selain melakukan perubahan ke atas Sistem Saraan Malaysia.

“Kini, penjawat awam menikmati faedah pinjaman perumahan empat peratus, jadi kami mahu ia dikurangkan kepada satu peratus. Kita harap perkara ini diambil perhatian kerana ini memang ditunggu oleh penjawat awam,” katanya.

Utamakan rumah penjawat awam – Utusan


Utamakan rumah penjawat awam

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menjadikan isu perumahan antara keutamaan dalam pembentangan Bajet 2013 kelak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pembentangan tersebut dinanti-nanti seluruh rakyat negara ini termasuklah penjawat awam.

Menurutnya, isu perumahan diharap menjadi penekanan memandangkan situasi harga rumah yang melonjak dan di luar kemampuan, khususnya bagi 30 hingga 40 peratus penjawat awam.

“Ini situasi yang membimbangkan. Golongan tersebut masih sukar memiliki rumah bawah RM200,000 meskipun telah bekerja antara lima hingga 10 tahun serta menggabungkan gaji suami dan isteri.

“Ini menyebabkan ada segelintir yang tidak mempunyai kediaman sendiri walaupun tiba tempoh persaraan,” katanya.

Kaji semula elaun, insentif – Utusan


Kaji semula elaun, insentif

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 2 Ogos – Kerajaan diminta mengkaji semula beberapa jenis elaun dan insentif yang dibayar kepada anggota sektor awam memandangkan bayaran elaun sekarang masih di takuk lama.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada 24 cadangan dan 23 syor yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.

Katanya, cadangan kajian semula itu berikutan kos perbelanjaan seharian telah meningkat dan untuk memberikan transformasi kepada sektor perkhidmatan awam.

“Antaranya kita meminta kerajaan mengkaji semula elaun keraian, elaun tetap perumahan dan elaun khidmat awam serta memberi penekanan terhadap isu perumahan memandangkan lonjakan harga rumah berbanding gaji diterima.

Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras – Bernama


Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

2 Ogos 2012

Cuepacs
PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

“Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

“Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif,” katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

“Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012,” katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

“Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini,” katanya. – Bernama