Remaja lari dari rumah akibat didera bapa – Bernama


Remaja lari dari rumah akibat didera bapa

20 November 2012

GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan didera bapanya sejak dua tahun lepas.

Wen, 13, yang tinggal berdua dengan bapanya di Farlim, Air Itam dekat sini berkata perkara itu berlaku selepas ibu bapanya berpisah sejak dua tahun lalu.

“Setiap hari bapa pukul dan tampar saya tanpa sebab. Selepas habis waktu sekolah dia akan kurung saya,” katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Mangsa yang kini tinggal bersama ibu dan kakaknya sejak beberapa minggu lepas berkata dia tidak berani keluar dari rumah ibunya kerana takut terserempak dengan bapanya.

Ibunya Yam Mei Heai, 41, berkata semasa berpisah dengan suaminya, dia hanya membawa seorang anak bersamanya kerana tidak mampu menyara Wen dan kakaknya sekaligus.

“Saya pernah cuba mencari anak bongsu saya ini di sekolah tapi tidak berjaya kerana bekas suami saya sentiasa mengawasi kami,” katanya.

Dia mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kaki pukul.

Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata beliau telah membantu keluarga tersebut membuat laporan polis.

Katanya pihaknya akan membawa Wen berjumpa pakar psikiatri bagi mengatasi tekanan perasaan yang dialaminya. – Bernama

Pistol tiada kesan cap jari mangsa – Berita Harian


Pistol tiada kesan cap jari mangsa
Oleh Adnan Mohamad
bhkb@bharian.com.my
2012/06/20
NOOR HISHAM menunjukkan kad ucapan ‘Saya Sayang Bapa’ sempena Hari Bapa yang ditulis arwah anaknya tiga hari sebelum maut tertembak pistol milik bapa saudara di rumah neneknya di Ketereh, semalam.
Bapa mahu siasatan diteruskan

KOTA BHARU: Bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut tertembak pistol bapa saudaranya pada 15 Jun lalu, terkejut apabila diberitahu polis tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.
Noor Hisham Abdul Aziz, 50, berkata beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.
Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan. – Noor Hisham Abdul Aziz, bapa Muhammad Faris Faizal Sehubungan itu, katanya, polis perlu melakukan siasatan lanjut bagi mencari puncanya.

“Saya diberitahu ketika kejadian anak saya bermain dengan dua sepupu dan adik bongsunya. Apa yang saya ingin jelaskan ketika kejadian bukan mangsa seorang saja yang berada di tempat kejadian.

“Walaupun kejadian sudah berlalu saya berharap mangsa tidak dianggap bermain pistol itu berseorangan sehingga tertembak di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ketereh, di sini, semalam.

Katanya, pihak polis juga sudah menghubunginya bagi menyatakan hasrat bagi membawa tiga saksi ke Pulau Pinang bagi menjalani ujian poligraf.
“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana yakin dengan sepenuh hati arwah tidak memegang senjata api terbabit.

“Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau agak sedih mengenang kejadian itu terutama selepas dua hari kematian anaknya, beliau terjumpa sekeping kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri oleh arwah tersimpan di dalam beg sekolahnya.

Katanya, beliau diberitahu arwah mahu menyerahkan sendiri kad itu kepadanya walaupun ibunya sudah memujuknya beberapa kali untuk melihat kad yang dilukis itu.

“Walaupun kad dilukis itu agak ringkas amat besar maknanya kepada saya tambahan lagi dia kini sudah tiada,” katanya.