Didik pelajar menabung – Metro


Didik pelajar menabung

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nor Adila Ab Kadir

Seremban: Gerai pameran Bank Simpanan Nasional (BSN) di Festival Pendidikan Hari Guru di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat sini, menjadi tarikan pengunjung terutama pelajar sekolah dengan kehadiran maskot Ally dan Amy yang mencuri perhatian ramai untuk bergambar.

Keletah Ally dan Amy membuatkan gerai pameran BSN dikerumuni pengunjung bukan saja untuk bergambar, malah tertarik dengan produk dipromosikan.
Pada festival diadakan sejak 14 Mei hingga 19 Mei ini, gerai pameran BSN memperkenalkan beberapa produk kepada orang ramai khususnya untuk pelajar dan guru antaranya, Sijil Simpanan Primium (SSP), Teacher Card, Pinjaman Peribadi dan Kelab Penabung Muda (KPM).

 

Pelajar, Harith Hisham, 12, berkata, dia teruja bertemu maskot BSN itu dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan.
“Saya sangat seronok dapat bersalam dan bergambar dengan Ally dan Amy yang sebelum ini hanya dilihat di televisyen dan tidak sangka hari ini (semalam) saya bertemu mereka berdua.
“Selain itu, saya tertarik dengan produk KPM yang ditawarkan BSN kerana bukan saja dapat mengumpul wang, malah berpeluang memenangi hadiah menarik,” katanya. Guru, Rozita Mustafa, 47, berkata, kehadiran maskot Ally dan Amy menarik perhatian pelajar di samping dapat memperkenalkan kepada mereka budaya menabung.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

BACAAN YASSIN, TAHLIL DAN SOLAT HAJAT HARI GURU


BACAAN YASSIN, TAHLIL DAN SOLAT HAJAT HARI GURU

09 May 2013

Bacaan Yassin, Tahlil dan Solat Hajat Hari Guru
9 Mei 2013 (Khamis), 6.30 Petang
Masjid Negeri, Seremban, Negeri Sembilan

SEMUA DIJEMPUT HADIR!

 

 

Diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korp

TOKOH KEPIMPINAN PENDIDIKAN SEMPENA HARI GURU KE-42


TOKOH KEPIMPINAN PENDIDIKAN SEMPENA HARI GURU KE-42

21 February 2013
Pencalonan Tokoh Kepimpinan Pendidikan sempena Hari Guru ke-42. Dilampirkan panduan dan borang pencalonan tersebut.

Muat Turun
Panduan Pencalonan
Borang Pencalonan

Guru diwajib kursus profesionalisme – Utusan


Guru diwajib kursus profesionalisme

Mohd. Puad Zarkashi (dua dari kiri) berbual dengan Abd. Azizi Mustafa (kanan), Kamariah Zainuddin dan Kamaruddin Mansor (tengah) sambil diperhatikan Abdullah Mad Yunus pada Majlis Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 24 Mei – Kementerian Pelajaran akan mewajibkan semua guru mengikuti Kursus Bina Upaya Profesionalisme Perguruan bagi memperkasakan mereka dari aspek inovasi dan profesionalisme bermula Jun ini.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, menerusi kursus tersebut kementerian akan memberi penekanan terhadap tiga perkara utama dalam membangunkan profesionalisme perguruan meliputi pengetahuan, kemahiran serta perwatakan yang harus ada pada setiap tenaga pengajar.

Menurutnya, kursus itu akan dijalankan secara berperingkat melibatkan seluruh warga guru dan ia bakal dijalankan di Institut Aminuddin Baki (IAB) serta Bahagian Pendidikan Guru (BPG).

Bekas presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dipilih tokoh guru Negeri Sembilan – Bernama


Bekas presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dipilih tokoh guru Negeri Sembilan

2012/05/23

SEREMBAN: Bekas presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Datuk Azam Md Atan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Sembilan 2012, pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Negeri Sembilan 2012, di sini, malam tadi.

Azam, 59, yang kini sudah bersara dipilih untuk menerima anugerah itu hasil jasa dan sumbangannya yang amat besar kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

Ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Azam berkata, memberi perhatian sepenuhnya terhadap murid adalah prinsip yang harus dipegang setiap guru.

Katanya, cabaran guru yang semakin bertambah hari ini dengan kepesatan teknologi juga memerlukan kesabaran guru dalam mendidik setiap anak muridnya.

“Guru perlu bersabar, cabaran hari ini semakin bertambah dan murid sekarang memerlukan perhatian yang lebih daripada guru untuk memastikan mereka berjaya,” katanya.

Azam yang berasal dari Nilai, dekat sini berkhidmat sebagai guru selama 34 tahun di 10 sekolah dan menjadi pengetua selama 19 tahun di sembilan sekolah.

Terdahulu Mohamad dalam ucapannya berkata, tanggungjawab guru adalah amat penting dalam membangunkan modal insan dan melahirkan golongan cerdik pandai yang akan mentadbir negara ini suatu hari nanti.
“Membangunkan negara bukan hanya inftrastruktur dan kemudahan lain tapi yang lebih penting adalah membangunkan modal insan. Di sinilah letaknya tanggungjawab guru,” katanya.

Pada majlis yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Seremban itu, Mohamad turut menyampaikan empat anugerah lain termasuk Anugerah Khas Lonjakan Akademik, Anugerah Terbaik Akademik dan Anugerah Guru Cemerlang serta Anugerah Guru Inovatif.

Lebih 10,000 guru, guru besar dan pengetua dari semua sekolah di negeri itu diraikan pada majlis yang diadakan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu.

– BERNAMA

Sabar, minat pendinding guru – Sinar Harian


Sabar, minat pendinding guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mei 2012
Sabar, minat pendinding guru
Sabar, minat pendinding guru

Cikgu, ustaz, ustazah, teacher dan pensyarah adalah gelaran individu yang bertungkus-lumus mendidik murid, pelajar dan penuntut dengan harapan dapat melahirkan generasi berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Justeru, tanggal 16 Mei saban tahun, pasti menjadi tarikh istimewa kepada mereka apabila diumumkan sebagai Hari Guru iaitu hari meraikan segala pengorbanan pendidik demi menabur bakti untuk anak bangsa tercinta.

Namun bukan mudah menggalas tugas sebagai guru yang perlu berhadapan dengan 1001 karenah anak didik yang semakin hari semakin mencabar kesabaran pendidik. Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik Shah Alam, Hamidah Jantan berkata, memang tidak dinafikan menjadi seorang guru, cabaran besar adalah menahan kesabaran.

Menurutnya, bukan mudah untuk mendidik anak bangsa menjadi orang berguna dalam menangani karenah pelajar dengan harapan berjaya memacu negara.

“Bergelar guru, kesabaran akan sentiasa teruji apabila berhadapan dengan murid, ibu bapa dan rakan sekerja yang pelbagai perangai. Sebab itu, minat untuk menjawat jawatan sebagai guru itu amat diperlukan.

“Mungkin sudah sebati dalam diri seorang guru itu ada sifat sabar, walaupun anak murid kadang-kadang kurang ajar dengannya, guru tetap sabar mendidiknya, katanya kepada Sinar Harian.

Hamidah yang bergelar guru sejak 1979 berkata, mendidik anak murid dahulu dan kini banyak berbezaannya terutama dari segi disiplin murid.

“Pelajar dahulu, jika melanggar disiplin seterusnya dikenakan hukuman atau didenda. Mereka tidak berdendam dengan guru, tambahan mereka berterima kasih dengan guru kerana hukuman tersebut dijadikan pengajaran seterusnya menjadi orang berguna pabila dewasa.

“Saya pernah mengetuk tangan seorang pelajar kerana melakukan kesalahan ketika kelas berlangsung. Selepas kejadian itu, pelajar berkenaan mengucapkan terima kasih atas tindakan saya itu, yang membuatkannya mahir dalam subjek tersebut,” katanya.

Di sebalik hukuman

Hamidah berkata, boleh dilihat kini apabila guru mengenakan tindakan disiplin kepada anak didik, ibu bapa seakan tidak dapat menerima tindakan dikenakan.

“Bukan guru mahu menyalahkan ibu bapa sekarang, tetapi usaha kami adalah mendidik pelajar agar menjadi insan berjaya. Jika tidak dikenakan hukuman atas kesalahan dilakukan mungkin mereka akan terus melakukan kesalahan sama.

“Bagi guru seperti saya pun tahu batasan hukuman yang dikenakan atas kesalahan dilakukan. Ia tidaklah sehingga mendatangkan kecederaan. Asalkan hukuman berkenaan boleh mengubah pelajar tersebut menjadi lebih baik,” katanya.

Menjadi cikgu, kata Hamidah memang cita-citanya sejak kecil, tambahan berasal daripada keluarga susah menyebabkannya mahu mengubah hidupnya lebih senang.

“Pernah ketika tingkatan empat, saya bekerja mencuci pakaian dan menguruskan rumah pemilik berbangsa Cina setiap hujung minggu dengan pendapatan RM10 sebulan.

“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja di kilang sebelum diterima menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Perempuan Melaka. Betapa gembiranya perasaan saya diberitahu bakal menjadi pendidik ketika itu,” ujar anak sulung daripada lapan beradik.

Guru Besar SK Bandar Anggerik Shah Alam, Dahlia Abas berkata, memegang jawatan sebagai guru bukan mudah disangka terutama apabila dinaikkan pangkat menjadi guru besar.

“Bukan sahaja perlu menguruskan murid, tetapi perlu memantau semua warga sekolah termasuk guru, kerani, tukang kebun, keceriaan sekolah, prestasi dan hubungan dengan pihak luar.

“Tidak terbayang pun saya dilantik menjadi guru besar yang memikul tanggungjawab besar di sekolah. Tetapi kerana minat dan mahukan warga sekolah berjaya, saya teruskan usaha ini,” katanya.

Bentuk generasi

Siapa kata tugas guru ini mudah? Soal Dahlia kepada penulis. Tambahan dunia mencabar kini di mana murid lebih pandai daripada guru dalam dunia teknologi. Ini menjadikan guru perlu lebih berusaha menjadi mahir dalam bidang siber ini.

“Dahulu, mana ada komputer, mesin faks, pencetak dan telefon pintar yang boleh mengakses pelbagai maklumat dengan hanya hujung jari. Ketika mula menjadi guru, soalan murid hanya ditulis tangan sahaja, seterusnya baru muncul mesin taip.

“Kini, kerja lebih mudah dan pantas. Justeru guru perlu seiring dengan setiap perkembangan semasa ini,” katanya.

Ditanya ciri-ciri perlu dimiliki guru, Dahlia menyatakan perlu tinggi tahap kesabarannya. Jika tidak, ia boleh membuatkan guru tersebut mengalami gangguan emosi atau mental kerana cabaran dalam dunia pendidikan ini sangat mencabar.

“Sebab itu, setiap guru diberi penerangan menangani tekanan kerja pada satu-satu masa agar tidak terlalu tertekan dengan cabaran dihadapi dan boleh meneruskan kerja dengan dedikasi serta ikhlas.

“Memang terdapat kes di mana guru mengalami tekanan perasaan akibat bebanan ditanggung yang tidak dapat ditangani seterusnya terpaksa direhatkan. Oleh itu, minat dan sabar amat penting dalam dunia ini,” katanya.

Selain itu katanya, ciri guru yang diingini pelajar mestilah ada perasaan sayang pada mereka di samping jatuh cinta dengan pekerjaan guru itu sendiri untuk memikul tanggungjawab mendidik generasi akan menongkat dunia.

Oleh itu, sempena Hari Guru tahun ini bertemakan “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” diharap dapat direalisasikan pendidik sejajar dengan perkembangan semasa.

SELAMAT HARI GURU – HIMPUNAN BERITA


SELAMAT HARI GURU

16 Mei 2012

“TERIMA KASIH CIKGU!”

“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

 Ikhlas daripada:

Himpunan Berita

IKRAR HARI GURU SEMPENA HARI GURU


IKRAR HARI GURU SEMPENA HARI GURU

Bahawasanya kami

Guru-guru negara Malaysia

Dengan ini berikrar

Mendukung terus cita-cita kami

Terhadap tugas kami

Dan menyatakan keyakinan kami

Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti

Kepada masyarakat

Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung

Perlembagaan negara

Kami mengamalkan

Prinsip-prinsip Rukun Negara

Pada setiap masa.

“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”