Penjawat awam perlu pantau fitnah terhadap kerajaan dalam media sosial – Dr. Rothiah Omar – Bernama


Penjawat awam perlu pantau fitnah terhadap kerajaan dalam media sosial – Dr. Rothiah Omar

 

24/09/2013 6:33pm

 

MELAKA – Penjawat awam perlu memainkan peranan memantau fitnah terhadap kerajaan yang dilontarkan dalam media sosial seperti blog, Facebook dan Twitter, kata Timbalan Ketua Setiausaha (I) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr. Rothiah Omar.

Beliau berkata, bagi merealisasikan usaha itu, penjawat awam terutama dalam kementerian itu, perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat terkini.

“Semua jabatan perlu usahakan pantau setiap media sosial antaranya blog yang suka timbulkan fitnah, supaya kita dapat menyangkalnya (fitnah itu),” katanya ketika berucap menutup Persidangan Pengerusi Lembaga Tatatertib Kementerian Komunikasi dan Multimedia 2013 di sini hari ini.

Persidangan selama tiga hari yang bermula Ahad lepas disertai kira-kira 100 pegawai dari jabatan dan agensi kementerian itu.

Pada majlis itu juga beliau melancarkan Buku ’Ringkasan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.’ Rothiah turut menggesa penjawat awam, terutama ketua-ketua jabatan, supaya mengekalkan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.

“Sistem pengurusan tadbir urus yang baik perlu mempunyai ciri-ciri akauntabiliti, telus, responsif, cekap, adil dan saksama, menjunjung undang-undang dan berintegriti,” katanya. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz2fo4ETI2t
Hakcipta terpelihara

Bapa rayu bantuan rawat anak – Sinar Harian


Bapa rayu bantuan rawat anak
SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
20 September 2013
  • Bapa rayu bantuan rawat anak  Vicneswaran (kanan) bersama Rupanaa ketika hadir di pusat khidmat BN, semalam.
< 1 / 1 >

IPOH – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu gambaran perasaan seorang bapa, M.Vicneswaran, 45, yang terpaksa menanggung jumlah perbelanjaan yang besar bagi menampung kos rawatan anaknya sejak tahun 2006 lalu.

Katanya, kos rawatan anak perempuannya, V.Rupanaa, 11 kini telah melibihi RM100,00 sehingga ke hari ini termasuk kos rawatan di Kerala, India pada tahun 2011 dan tahun 2012 lalu berjumlah RM61,000.

“Anak saya ini lahir sebagai bayi pramatang (tidak cukup bulan) dan didiagnosis sebagai bayi spastic diplegia oleh jabatan Pediatrik dan Nenonatology, Hospital Selayang.

“Sejak Februari 2006, anak saya telah menjalani rawatan setiap bulan di Hospital Selayang dengan kos RM1,500 bagi satu suntikan ‘botox’. Rawatan ini telah dijalankan sehingga Ogos, 2008 lalu sehinggalah saya disarankan untuk membawa anak saya menjalani rawatan di luar negara.

“Pada November  dan Disember 2011, anak saya telah dibawa untuk rawatan di Kerala, India dan difahamkan, kos bagi rawatan kali pertama adalah berjumlah RM29,000 sementara bagi kali kedua pula berjumlah RM32,000,” katanya kepada media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika hadir membuat pengaduan berhubung perkara berkenaan di Pusat Khidmat BN di sini, semalam.

Sementara itu, Vicneswaran berkata, pihak bank tidak dapat meluluskan pinjaman berjumlah RM33,000  untuk rawatan anaknya itu pada tahun ini berikutan baki pinjaman yang dibuatnya sebelum ini masih belum diselesaikan.

Kata beliau, pihaknya sangat mengharapkan bantuan kewangan daripada orang ramai bagi untuk membantu proses rawatan anaknya bagi tahun ini.

“Saya sangat berharap agar ada pihak yang sudi tampil ke hadapan bagi membantu meringankan beban yang saya tanggung ini,” katanya lagi.

Kepada yang mahu menghulurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 1080 20300457 atas nama Vicneswaran a/l Marana dan V.Rupanaa a/p Vicneswaran.  Untuk sebarang info lanjut, orang
ramai juga boleh menghubungi Vicneswaran di talian 016-5350565

Polis Putrajaya tahan lima remaja terbabit kes pecah rumah – Bernama


Polis Putrajaya tahan lima remaja terbabit kes pecah rumah

2013/09/20 – 15:53:39 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Polis menahan lima remaja lelaki dipercayai melakukan 12 kes pecah rumah di Presint 17 dan 18 di sini sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata kelima-lima remaja berumur antara 16 dan 21 tahun itu ditahan di kawasan berasingan pada Ahad hingga Rabu lalu.

“Polis berjaya merampas 24 barang yang dipercayai barang curi bernilai RM35,000 antaranya jam tangan jenama Omega, telefon bimbit dan kamera,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, kesemua suspek tiada rekod jenayah itu kini ditahan reman untuk siasatan.

Menurut beliau, kebanyakan rumah yang dipecah masuk adalah rumah yang tidak berkunci terutamanya di bahagian dapur dan bilik air.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiga lelaki warga Nigeria ditahan pada 12 Sept kerana disyaki terlibat dalam jenayah “black money” dengan menipu seorang ibu tunggal membabitkan transaksi RM88,000.

“Mangsa yang berumur 55 tahun telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook sejak Julai lalu dan turut ditawarkan untuk berkahwin dengan salah seorang daripada suspek,” katanya.
Mangsa diperdaya untuk menyerahkan wang tersebut secara berperingkat selain turut memberikan nombor akaun serta kad bank miliknya, katanya.

“Polis bertindak selepas anak mangsa membuat laporan polis dan suspek kemudian berjaya ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor,” katanya.

– BERNAMA

Guru kritik PPPM secara terbuka dipantau – Bernama


Guru kritik PPPM secara terbuka dipantau
15 September 2013
  • pipp
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan meminta pengarah pendidikan negeri memantau tindakan segelintir guru mengkritik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) secara terbuka.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebarang kritikan seharusnya disampaikan menerusi saluran yang betul bagi memastikan kelemahan dapat diperbaiki.

“Kalau mahu mengkritik boleh, tetapi beritahu saya. Saya terbuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar PPPM di sini hari ini.

Beliau berkata guru yang mempunyai kemusykilan atau pandangan boleh memaklumkan kepada beliau secara langsung menerusi e-emel.

Pada masa yang sama beliau meminta rakyat memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan PPPM sebaik mungkin.

Sementara itu, Idris turut membidas sebuah portal berita propembangkang yang memutar belit kenyataannya berhubung sistem pendidikan negara baru-baru ini.

“Saya tidak pernah mengatakan kalau tidak suka sistem pendidikan kita, mereka boleh keluar negara, saya tidak pernah mengatakan demikian,” katanya.

Sebaliknya Idris berkata beliau maksudkan rakyat mempunyai pilihan untuk belajar di luar negara jika mereka berkemampuan.

“Saya harap pemberita dan penulis blog jujurlah…jangan apa-apa kenyataan kita buat, ditulis hinggakan banyak orang marah. Saya harap mereka membetulkan (perkara itu),” katanya. – Bernama

Ambil UPSR di hospital – Sinar Harian


Ambil UPSR di hospital
NORHAFIZA MUSA
11 September 2013
  • Ambil UPSR di hospitalWan Puteri Nur Hasyimah bersama ayahnya, Osmera manakala Mohd Alif ditemani ibunya, Rohani selepas menduduki UPSR, semalam.
< 1 / 2 >

KUALA TERENGGANU – Akibat terlalu seronok bergayut pada dinding sekolah ketika waktu rehat, seorang murid terpaksa menduduki UPSR di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas tangan kirinya patah akibat terjatuh, kelmarin.

Mohd Alif Abd Razak, murid SK Tasik berkata, memandangkan dia seorang yang aktif bersukan, bergayut pada tiang atau dinding sudah menjadi tabiatnya kerana ia salah satu caranya bersenam dan menjaga stamina.

Namun, dia tidak menyangka boleh terjatuh ketika melakukan aksi tersebut hingga mengalami kecederaan teruk sekali gus menyebabkannya terpaksa menduduki peperiksaan di hospital bersendirian tanpa ditemani rakan.

“Saya tawakkal sahaja.  Meskipun sakit tetapi saya tetap ingin menduduki peperiksaan hari ini (semalam).  Insya-ALLAH, saya berharap dapat menjawab soalan hingga habis,” katanya.

Menurut ibunya, Rohani Mohamad, 45, anak bongsunya itu memang seorang yang aktif bersukan sebab itu dia tidak terkejut mendapat berita anaknya terjatuh di sekolah tetapi sebelum ini tidaklah sehingga mengalami kecederaan yang teruk.

“Saya nasihatkan dia supaya tangguh dulu peperiksaan ini tetapi dia berkeras untuk tetap mendudukinya juga.

“Saya harap dia dapat jawab dengan baik,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Seorang lagi murid yang turut menduduki UPSR di HSNZ, Wan Puteri Nur Hasyimah Wan Osmera, 12 dari Segamat, Johor.

Dia terpaksa menumpang pusat peperiksaan apabila terlibat dalam satu kemalangan di Setiu ketika dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Segamat Johor, pada 3.30 petang pada 3 September lalu.

Menurut bapanya, Wan Osmera Wan Jusoh, 44,  kemalangan tersebut melibatkan tujuh lagi ahli keluarganya, termasuk isteri, Raja Normazlina Raja Husin, 39.

Dua anaknya termasuk Wan Puteri Nur Hasyimah dan anak sulungnya, Wan Puteri Nur Haziqah, 14, mengalami kecederaan teruk.

“Wan Puteri Nur Hasyimah mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dada memerlukan dia mendapat rawatan rapi.

“Saya dan isteri hanya berserah pada ALLAH, dengan keadaan dirinya begitu, tidaklah kami mengharapkan dia (Wan Puteri Nur Hasyimah) terlalu memaksa diri,” katanya.
Bagaimanapun sebagai bapa, dia tetap mendoakan agar anaknya itu dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Katanya, pada peperiksaan percubaan yang lalu, anak ketiga daripada enam beradik dari SK Segamat Baru itu mendapat keputusan 2A 3B.

Mayat pelajar lemas ditemui – Bernama


Mayat pelajar lemas ditemui
2 September 2013

KUALA LUMPUR – Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai di Batu 8 1/4, Jalan Klang Lama di sini semalam ditemui terdampar dekat bongkah batu hari ini kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

Komander Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Zaidi Ahtan berkata mayat Mohamad Zakier Rafi Mohamad Yusof, 16, dari Apartmen Desa Mentari 2, Petaling Jaya ditemui anggota pasukannya kira-kira 12.54 tengah hari.

Mangsa dikatakan sedang bermain di kawasan itu sebelum dilihat terjatuh ke dalam sungai kira-kira 5.15 petang ketika hujan lebat.

Gerakan mencari dijalankan tanpa henti sejak semalam yang membabitkan 28 anggota termasuk dari unit skuba dan anjing pengesan, katanya. – Bernama

Asrama di SMA Kunak akan dibina – Bernama


Asrama di SMA Kunak akan dibina
29 Julai 2013
< 1 / 0 >

TAWAU – Sebuah asrama baharu tiga tingkat bagi Sekolah Menengah Agama Kunak akan dibina segera bagi menggantikan bangunan asrama sementara sekolah itu yang musnah dalam kebakaran awal bulan ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Arifin Mohd Arif berkata bangunan asrama baharu itu yang dilengkapi dengan kemudahan dapur itu akan dibina di atas tapak asrama lama yang  musnah dalam kebakaran pada 2010.

“Apabila siap, asrama itu boleh menampung antara 150 hingga 180 pelajar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Arifin turut melawat sekolah itu hari ini dan diberikan taklimat mengenai sekolah itu oleh pengetuanya Mambang Yusuf Rafael.

Menurut Arifin, buat sementara waktu beberapa kelas digunakan pelajar sekolah itu sebagai tempat penginapan dan sebahagian pelajar lagi akan dipindahkan sementara waktu ke beberapa Sekolah Menengah Agama Negeri yang lain.

Asrama asal Sekolah Menengah Agama Kunak yang menempatkan pelajar lelaki terbakar pada tahun 2010 sebelum digantikan dengan asrama sementara pada tahun 2011. Bagaimanapun, asrama sementara berkenaan turut musnah dalam kebakaran awal bulan ini. – Bernama

Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa – Bernama


Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa
26 Julai 2013
  • Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli NoordinNaib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mempolitikkan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sebuah sekolah di Sungai Buloh.

Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin berkata sesetengah pihak mengambil kesempatan memfitnah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor, dengan mendakwanya bersikap rasis kerana menempatkan murid bukan Islam makan di dalam tandas.

“Yang jelas perkara ini telah diputar belit dan disulami dengan pembohongan, sedangkan faktanya sekolah itu mempunyai kantin yang kecil dan hanya memuat 600 pelajar.

“Keputusan (menggunakan bilik persalinan) itu dibuat hasil perbincangan bersama guru dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dan guru besar sekadar melaksanakan keputusan itu,” katanya ketika mengulas isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penubuhan Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antara Kaum Malaysia (Mirac) di sini.

Zulkifli turut menyatakan sokongan Perkasa untuk membela dan mempertahankan Mohamad Nasir.

Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda MIC P. Punithan turut memohon semua pihak supaya untuk tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai isu perkauman.

Perkara itu tidak harus dipolitikkan dan dipolemikkan kerana mampu menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin, katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Cabul: Pegawai polis dihukum penjara 14 tahun, 10 sebatan – Kosmo


Cabul: Pegawai polis dihukum penjara 14 tahun, 10 sebatan

 

28/07/2013 3:15pm

 

KOTA BHARU – Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu melakukan seks luar tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menyuruh mangsa melakukan oral seks dan mencabul kehormatan mangsa dalam kereta peronda polis empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati tertuduh, Ishak Mahmud, 49, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa melakukan seks luar tabii dengan menyuruh remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu melakukan seks oral tanpa kerelaannya di dalam kereta peronda polis jenis Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh pada pukul 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa pada waktu dan tempat yang sama. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2aKJ9dpOA
Hakcipta terpelihara

Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan – Kosmo


Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan

 

28/07/2013 3:48pm

 

KOTA BHARU – Seorang mekanik dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada awal Februari tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh Mohamad Arman Hairi Mat Hassan, 21 didapati bersalah.

Mohamad Arman Hairi didakwa merogol gadis berusia 16 tahun 5 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Badang, di sini, pada pukul 3 petang, awal Februari tahun lalu. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2aKIvE2IF
Hakcipta terpelihara