Pelajar berkayak sejauh 175 km – Sinar Harian


Pelajar berkayak sejauh 175 km

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012
Pelajar berkayak sejauh 175 km
Peserta bersama guru di pantai Bukit Keluang sebelum memulakan ekspedisi berkayak menawan dua pulau sejauh 175 kilometer yang dilakukan sempena Hari Malaysia, semalam.

BESUT –  Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut termasuk 16 pelajar perempuan menyertai ekspedisi berkayak sejauh 175 kilometer dari sini ke Pulau Perhentian dan Redang Sempena Sambutan Hari Malaysia, semalam.

Ekspedisi mengharung gelombang Laut Cina Selatan yang mengambil masa 11 jam itu adalah anjuran sekolah berkenaan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Biro Pendidikan Umno Bahagian Besut.

Pengetuanya, Ramli Mat Amin berkata, kesemua peserta bertolak dari pantai Bukit Keluang kira-kira jam 9 pagi dan setelah empat jam membuat pendayungan, mereka tiba di Pulau Perhentian.

Menurutnya, mereka adalah yang berani menyahut cabaran tersebut menempuh gelombang demi menawan dua pulau pe-ranginan tersohor dunia itu.

“Peserta diawasi polis, Jabatan Laut dan tujuh guru yang mengiringi dengan bot bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang ekspedisi,” katanya pada majlis perlepasan yang disempurnakan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Ramli berkata, keseluruhan pergi dan balik ekspedisi adalah sejauh 95 batu nautika (175 kilometer) pada hari pertama berkayak ke Pulau Perhentian.

Manakala, pada hari kedua meneruskan cabaran ke Redang yang memakan masa dayungan selama tujuh jam.

Menurutnya, cabaran tersebut julung kali dilakukan pelajar di negeri ini mencatat sejarah dan rekod tersendiri.

Malah, sekolah berkenaan berjaya membentuk Skuad Berkayak Lasak.

“Bagi memantapkan stamina peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan enam itu telah menjalani latihan ketahanan fizikal selama dua minggu sebagai persediaan menghadapi cabaran itu sebelum ekspedisi bermula,” katanya.

Ekspedisi berkayak itu mendapat tajaan Bank Rakyat dan beberapa agensi lain.

Selamat Menyambut Hari Malaysia – 16 September


Selamat Menyambut Hari Malaysia – 16 September

Himpunan Berita (HB) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini. Semoga negara kita aman, maju dan makmur.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Salam Kemerdekaan,

Editor

Remaja berjalan 937 kilometer bawa Jalur Gemilang – Sinar Harian


Remaja berjalan 937 kilometer bawa Jalur Gemilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012
Remaja berjalan 937 kilometer bawa Jalur Gemilang
Nithya (kiri) bersama bapa, adiknya dan Heng Raee yang dilepaskan oleh Ketua Pemuda MIC Negeri, M Veeran di hadapan Hotel Panorama, Taiping, pagi semalam.

TAIPING – Bagi membuktikan semangat cintakan tanah air, seorang remaja dari Tambun, Ipoh,  sanggup berjalan kaki sejauh 937 kilometer mengibarkan Jalur Gemilang bermula 17 Ogos lalu.

R Nithya, 13, membuat kejutan apabila menyertai Misi Berjalan Kaki Kibar Jalur Gemilang bermula dari Melaka sehingga ke Kedah untuk membuktikana rasa cintakan Malaysia selain mahu memahat nama di Malaysia Book of Records pada 16 September sempena Hari Malaysia nanti.

Nithya berkata, tarikh 16 September itu adalah hari lahirnya, memandangkan ia sama dengan sambutan Hari Malaysia, dia ingin mengabadikan kenangan di dalam rekod Malaysia yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat.

“Selain itu saya mahu membuktikan yang slogan ‘Malaysia Boleh’ tidak terhad kepada sesiapa sahaja untuk membuktikan kebolehan diri sendiri.

“Jadi saya mahu dikenali sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa kental selain mahu melihat sejauh mana kebolehan dan kekentalan saya dari segi fizikal serta mental,” katanya ketika ditemui di hadapan Hotel Panorama, Taiping, pagi semalam.

Sementara itu, bapanya Ragu Rajamani, 37, berkata, hasrat yang disuarakan anak perempuannya itu sekali gus turut memberi kesedaran kepada dirinya sendiri.

“Memang pada mulanya saya terkejut dan tidak percaya dia mahu mengibarkan Jalur Gemilang dengan berjalan kaki sejauh hampir 1,000 kilometer.

“Namun demi cita-cita Nithya saya sebagai bapa harus memberi sokongan dan dorongan, dalam masa yang sama turut ingin menyertai misi itu disebabkan merasa kagum dengannya,” katanya.

Ragu berkata, bukan sahaja dia dan Nithya malah adik kepada Nithya, Nithya Darshini, 10, turut mahu menyertai misi itu termasuk seorang anak jiran yang agak rapat dengan keluarganya, Yueoh Heng Raee, 21.

Katanya, mereka mengambil keputusan untuk memulakan perjalanan berjalan kaki mengibarkan Jalur Gemilang bermula pada 17 Ogos lalu di Afamosa, Melaka dan akan mengakhiri kembara itu di Dataran Alor Setar, Kedah pada 31 Ogos 2012 ini sekali gus menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-55.

“Banyak juga destinasi sepanjang perjalanan ini termasuk di Taiping yang merupakan antara Bandar bersejarah di negeri Perak.

“Selepas Taiping kita akan singgah di Selama, Kedah sebelum bertolak ke Butterworth dan seterusnya dijangka tiba di Alor Setar pada tarikh yang telah ditetapkan dengan menggunakan jalan lama,” katanya.

Tambahnya, misi itu sekali gus membawa nama Perak termasuk mempromosikan tempat-tempat pelancongan yang menjadi tarikan pelancong, dalam masa sama adalah untuk Tahun Melawat Perak.