Buta ICT mudah ditipu anak – Metro


Buta ICT mudah ditipu anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Macam mana hendak tahu pergerakan anak jika ibu bapa mendidik anak menggunakan kaedah tradisional sedangkan zaman sudah moden,” kata Presiden Lembaga Kaunselor Profesional Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din.

Menurutnya, kejahilan segelintir ibu bapa dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini seperti facebook, twitter dan blog menyebabkan mereka mudah diperdaya anak yang terbabit aktiviti tidak bermoral.
Katanya, Rasulullah sendiri menasihati setiap Muslim supaya mendidik anak-anak mereka sama seperti di zamannya.

 

“Remaja zaman ini terdedah begitu banyak kemudahan di alam maya dan keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa pula buta ICT menyebabkan mereka mudah ditipu.
“Cuba kalau mereka bijak menggunakan Internet, sudah tentu mudah untuk memantau pergerakan anak atau tembelang anak akan dapat dihidu dengan cepat seterusnya menyelamatkan mereka terbabit kancah kejahatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam bertajuk ‘Pandu Angkut’ yang mendedahkan taktik terbaru ‘orang jual orang’ menggunakan sistem ala pandu lalu kepada lelaki hidung belang.

 

 

Urus niaga untuk memilih teman pengiring itu dijalankan di tepi jalan dengan pelanggan dikehendaki menunggu dalam kereta sebelum anak gadis dari flat berhampiran dibawa untuk dipilih.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15

Kurang interaksi punca terjebak – Metro


Kurang interaksi punca terjebak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Kekurangan interaksi antara ibu bapa dengan anak dikenal pasti antara punca utama remaja perempuan mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial atau terpengaruh dengan janji manis lelaki hidung belang yang bijak mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah berkata, ibu bapa perlu menggunakan beberapa pendekatan bagi membendung pelbagai gejala sosial yang makin tidak terkawal di kalangan remaja masa kini.
Antaranya ialah meningkatkan komunikasi dengan anak berusia 10 hingga 16 tahun yang sangat penting, terutama remaja perempuan, supaya mereka tidak memindahkan tanggungjawab itu kepada teman lelaki, seterusnya membawa pelbagai musibah.

 

“Anak pada usia beginilah yang perlu diberikan tumpuan kerana remaja perlukan bimbingan untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup. Pada usia begini juga anak pandai menyimpan rahsia.
“Sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa ada bersama anak, walau sesibuk mana sekalipun. Jangan bina batasan atau jurang dengan anak kerana ia boleh menimbulkan kesan buruk. Itulah pentingnya komunikasi dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Menurutnya, meskipun bilangan penghuni Baitul Fiqh tahun lalu berkurangan berbanding tahun sebelumnya, ia tidak bermakna kes membabitkan remaja, terutama hamil luar nikah, berkurangan.

 

 

“Remaja sekarang lebih berani dan agresif serta mampu bertindak di luar kawalan dan jangkaan ibu bapa. Gejala ini harus ditangani segera dan ia memerlukan kerjasama banyak pihak,” katanya.
Juhaidi berkata, selain pengaruh kawan, telefon dan Internet juga antara yang menyumbang kepada keruntuhan moral remaja.

 

“Berdasarkan kajian dibuat di Singapura, remaja tidak bersekolah lebih ramai terbabit dengan gejala sosial berbanding yang bersekolah.
“Ini disebabkan mereka yang tidak bersekolah ada lebih banyak masa terluang yang memberi lebih peluang melakukan kegiatan tidak bermoral.
“Apa pun, ibu bapa perlu mengawasi gerak-geri anak mereka dan jangan terlalu memberi kebebasan, terutama dalam pergaulan,” katanya.