Diserang 20 pelajar samseng Sinar Harian


Diserang 20 pelajar samseng

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Diserang 20 pelajar samseng
Selain lebam di mata dan paha, mangsa turut mendakwa cedera di siku.
Diserang 20 pelajar samseng
Keadaan mata mangsa yang lebam akibat dibelasah 20 lelaki.

SUNGAI PETANI – Ibu kepada anak bongsu berusia 13 tahun yang dibelasah sekumpulan lelaki di sini, bimbang dengan masa depan yang terpaksa ditanggung anaknya akibat menjadi mangsa pergaduhan dalam satu kejadian, Khamis lalu.

Fadziyah, 43, mendakwa, anaknya nyaris maut diserang 20 lelaki yang bersenjatakan kayu besbol, topi keledar dan sebatang besi yang diasah tajam dipercayai akibat perselisihan faham yang tercetus beberapa hari sebelumnya.

Dakwanya, dia dimaklumkan orang ramai yang menyaksikan kejadian di hadapan pintu pagar sekolah ketika anak lelaki tunggal dari lima beradik itu mahu balik selepas tamat sesi persekolahan.

“Orang awam hubungi saya memaklumkan supaya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membuat laporan polis,” katanya.

Fadziyah berkata, dia menemui anaknya di IPD dengan keadaan mata lebam, hidung berdarah dan paha serta sikunya cedera.

Seterusnya katanya, dia membawa anaknya membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan ditahan wad selama dua hari.

Dia berharap, pihak berkenaan perlu lebih prihatin terhadap pergaduhan melibatkan pelajar memandangkan kes sedemikian melibatkan nyawa pelajar dan yakin anaknya hanya menjadi mangsa keadaan.

Menceritakan kejadian, Fadziyah mendakwa, pergaduhan dikatakan tercetus apabila mangsa tersentuh bahu seorang suspek dalam tandas sekolah.

“Bermula insiden berkenaan, sekumpulan pelajar mengepung dan pernah bertindak kasar di padang sekolah iaitu memijak pinggang anak saya, namun memikirkan ia hanya gaduh biasa dan tidak mahu dibesarkan.

“Rupa-rupanya mereka berdendam dan akibat tidak puas hati tersebut, anak dibelasah 20 individu dipercayai geng suspek,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang turut diterajang di perut sehingga terjatuh ke dalam longkang dan seorang lagi cedera dalam kejadian Khamis lalu, sudah dibenarkan ke sekolah.

“Bagaimanapun, akibat kecederaan di kepala, muka, tangan dan paha, anak diberi cuti sakit sehingga 15 Julai depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan siasatan lanjut akan diteruskan.

Khalil turut menasihati ibu bapa dan pihak sekolah supaya bekerjasama dalam menangani isu pergaduhan melibatkan pelajar.