Hilang lepas ponteng 61 hari – Metro


Hilang lepas ponteng 61 hari

Oleh Anas Hassan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang taksub dengan permainan komputer hingga sanggup ponteng sekolah selama 61 hari turut nekad melarikan dari rumah dengan alasan ingin hidup bebas dan tidak mahu dikongkong.

Difahamkan, Teo Guo Wei, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Pandan Indah , hujung tahun ini lari dari rumah sejak Sabtu lalu selepas meninggalkan nota kecil kepada ibunya, Yoong Sau Lin, 46.
Menurut Sau Lin, dia hanya menyedari anaknya hilang apabila Guo Wei tidak pulang ke rumah hingga malam sebelum menemui sekeping nota tulisan tangan yang ditinggalkan dalam biliknya.

 

“Dalam nota itu, anak saya mengadu tertekan dengan keluarga kami yang serba kekurangan dan mahu keluar mencari kerja selain mahu hidup bebas.
“Saya cuma berharap agar anak saya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat dan berjanji akan memberikan kebebasan penuh kepadanya selepas ini,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, seorang wanita yang dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga dihadapinya turut didakwa lari dari rumahnya di Perling, Johor sejak 9 Jun lalu.

 

 

Tan Hun Ni, 36, dipercayai lari dari rumah selepas kali terakhir berada di sebuah kafe siber berdekatan kawasan rumahnya.
Menurut ibunya, Geok Loo, 64, anaknya yang baru pulang dari Amerika Syarikat itu dipercayai lari dari rumah akibat tertekan dengan masalah rumah tangga dengan seorang suaminya yang juga warga Indonesia yang dikahwini lebih 10 tahun.

 

“Saya risaukan keadaan emosinya yang tidak stabil dan khuatir akan berlaku perkara yang tidak diingini terhadapnya,” katanya.
Dalam satu lagi kes, seorang warga emas berusia 71 tahun berasal dari China turut hilang dari rumah tumpangan di Jalan Petaling, di sini.
Sheng Xiao Zeng, dipercayai hilang sejak setahun lalu dan masih belum dijumpai hingga kini sejak kali terakhir dilihat berkeliaran di Stesen LRT Ampang Park, di sini.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 47 kes aduan kehilangan ahli keluarga sepanjang tahun ini.
“Daripada jumlah terbabit, 27 kes membabitkan kehilangan remaja perempuan dan wanita serta selebihnya adalah lelaki,” katanya.