Pelajar mati peha terputus – Sinar Harian


Pelajar mati peha terputus

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Che Ku Mohd Shafiq Asmawi
Motosikal yang ditunggangi Che Ku Mohd Shafiq Asmawi putus dua selepas bertembung dengan kereta BMW dalam kemalangan dekat Gerai Lemang Kijal.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.

KIJAL – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan mengerikan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta BMW, di Kilometer 136.2 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Gerai Lemang Kijal, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Che Ku Mohd Shafiq Asmawi Che Ku Mohd Sani, 16, beralamat di Taman Air Jerneh, Kemasik yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, mati serta merta di tempat kejadian.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 Dream, dipercayai berlanggar secara berdepan dengan kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan.

Sejurus kemalangan itu, motosikal ditemui kira-kira 42 meter dari tempat mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik terbaring.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, akibat pertembungan itu motosikal yang dinaiki mangsa terputus dua, sementara kereta BMW yang dinaiki seorang kontraktor remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan didapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada kanan dan paha kanan. Jenazahnya dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 pagi.

“Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan. Justeru kita harapkan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09-859 2222.

Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m – Metro


Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m

RAIHAM MOHD SANUSI
10 Ogos 2012
Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m
Che Ayup bersama motosikal yang dinaikinya tercampak ke dalam longkang setelah bertembung dengan Perodua Viva dalam kemalangan di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut.

CHUKAI – Seorang remaja lelaki maut tercampak sejauh lapan meter apabila motosikal yang ditungganginya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva di kawasan selekoh di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.15 petang itu, Che Ayup Aziz, 18, mengalami yang kecederaan parah dengan bahu kiri terbelah, patah paha kiri dan kaki kiri luka teruk meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, motosikal jenis Honda EX5 Dream yang ditunggangi si mati bertembung dengan kereta yang dipandu seorang pegawai teknologi maklumat wanita, berusia 27 tahun yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, yang dalam perjalanan ke Chendor untuk berbuka puasa.

Menurutnya, berikutan perlanggaran kuat berkenaan, Che Ayup yang bekerja sebagai juru selenggara dan beralamat di Kampung Paya Berenjut bersama motosikalnya, dipercayai terkena pengadang besi jalan sebelum tercampak ke dalam longkang.

Che Ayup kemudiannya tercampak sekali lagi sejauh lima meter dari motosikal yang dinaikinya sementara kereta tersebut pula tercabut tayar depan sebelah kiri.

“Pelanggaran kuat secara berdepan juga menyebabkan motosikal yang dinaiki si mati remuk teruk di bahagian depan. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat yang dilakukan pada jam 9 malam mendapati si mati meninggal akibat kecederaan dalaman,” katanya.

Mayat Allahyarham Che Ayup kemudian dituntut keluarga kira-kira jam 10 malam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.