KUANTAN – Para pendidik dan golongan ibu bapa berharap kerajaan menjadikan Bantuan Persekolahan RM100 sebagai bantuan tahunan dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat dalam bidang pendidikan.
Mereka yang ditemui nyata bersyukur dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka terutama yang berpendapatan rendah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Hamidah Mansor ketika ditemui Bernama pada majlis penerimaan bantuan itu kepada ibu bapa murid sekolah berkenaan berkata usaha yang dilakukan kerajaan itu amat bermakna sekali kepada semua pihak.
“Harap bantuan khas ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang kerana ia dilihat sangat bermanfaat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Seramai 798 murid sekolah itu merupakan antara sekolah terawal di Pahang yang menerima Bantuan Persekolahan RM100 setiap seorang yang mula diagihkan hari ini.
Bantuan tersebut disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui berharap kerajaan dapat mengkaji semula jumlah bantuan itu dengan turut mengambil kira pendapatan keluarga.
Nur Sham Amir Hussin, 44, seorang peguam berkata bantuan tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu rakyat khususnya bidang pendidikan.
“Walaupun cuma RM100, duit itu dapat meringankan beban ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak ramai,” katanya yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah, dua daripadanya adalah murid sekolah tersebut.
Seorang pekerja swasta, Maizatul Salwa Mohamad Khudori, 34, pula berkata, dia akan manfaatkan bantuan tersebut untuk persekolahan dua anaknya.
“Duit ini akan saya gunakan untuk membeli kamus elektronik kerana kedua-dua anak saya berhajat memilikinya sejak tahun lalu bagi membantu mereka dalam pembelajaran,” katanya.
Sementara itu seramai 680 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar turut menerima bantuan itu hari ini.
Exco kerajaan negeri yang juga Adun kawasan Inderapura Datuk Shafik Fauzan Sharif ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan itu berkata bantuan persekolahan itu merupakan bukti kerajaan menepati janji yang telah dibuat.
“Kita berharap ibu bapa mengenepikan soal politik dalam usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak, terdapat mereka yang tidak bersyukur, mengambil bantuan itu dengan menyatakan bahawa itu adalah hak mereka sebagai rakyat.
“Kita bukan untuk menafikan hak berkenaan tetapi mereka juga perlulah berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Seramai 265,892 pelajar sekolah di Pahang menerima Bantuan Persekolahan RM100 membabitkan peruntukan RM26.58 juta yang akan diberikan secara berperingkat dan dijangka selesai 15 Februari depan.
Bantuan kali kedua di bawah Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memperuntukkan dana RM540 juta bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun melibatkan 4.98 juta pelajar di seluruh negara. – Bernama
hong seong
Tahap keselamatan pelajar terjamin – Sinar Harian
Tahap keselamatan pelajar terjamin
13 Januari 2013

Pemandu perlu memandu perlahan jika terdapat pelajar sedang melintas jalan.
KUANTAN – Kebimbangan sesetengah pihak berhubung aspek keselamatan pelajar ketika berulang alik ke sekolah di sini dilihat bukan satu isu yang perlu diperbesarkan kerana situasinya masih selamat dan sentiasa diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa.
Keyakinan itu berdasarkan situasi semasa yang terkawal dan tiada laporan berhubung kejadian yang boleh dikaitkan dengan isu tersebut kecuali kes-kes terpencil yang tidak begitu serius.
Bagaimana pun, isu itu perlu diberi perhatian kerana pengabaian aspek keselamatan boleh mengundang pelbagai risiko termasuk kemalangan, jenayah dan sebagainya.
Kesedaran berhubung aspek keselamatan ini perlu diterapkan kepada murid atau pelajar secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat khususnya semasa dalam perjalanan pergi balik sekolah.
Usaha itu perlu digembleng bersama oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat secara amnya.
Adun Teruntum, Datuk Chang Hong Seong ketika ditanya berhubung isu itu, beliau jarang menerima aduan atau laporan berhubung kebimbangan ibu bapa atau pihak sekolah berhubung tahap keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah.
Menurutnya, sebagai ibu bapa, mereka memang mengambil berat aspek ini dan tidak akan sesekali mengabaikan keselamatan anak-anak.
“Bagaimana pun dalam sesetengah kes yang berlaku terutama kejadian kemalangan melibatkan pelajar, ibu bapa mungkin terlepas pandang beberapa aspek yang akhirnya membawa musibah kepada anak-anak mereka.
“Pada saya, ibu bapa perlu mengutamakan aspek keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah sama ada yang menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah, kenderaan sendiri, bermotosikal, berbasikal atau berjalan kaki,” katanya.
Menurutnya, paling baik, ibu bapa menghantar sendiri anak-anak ke sekolah atau menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah berdaftar.
“Secara peribadinya saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal atau berbasikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal.
“Selain melibatkan isu keselamatan, ia juga satu bentuk pelanggaran peraturan jalan raya jika anak-anak yang dibenarkan menunggang itu tiada lesen memandu yang sah,” katanya.
Beliau berkata, bagaimana pun ibu bapa mungkin ada jawapan tersendiri namun pada masa yang sama mereka perlu memantau supaya anak-anak mereka tidak menyalah guna kemudahan yang diberikan.