Remaja dipukul sebelum samun – Sinar Harian


Remaja dipukul sebelum samun

AHMAD NORMAN ABU TALIB
8 April 2013
Remaja dipukul sebelum samun
Wai Mun (kiri) bersama Poh Ping (tengah) dan Jia Sheng pada sidang media, semalam.

KEPONG – Empat sekawan lingkungan 14 hingga 19 tahun dikatakan bukan sahaja dipukul malah disamun sekumpulan lelaki setelah terbabit dalam kemalangan di Ampang, 29 Mac lalu.

Bapa mangsa, Mak Wai Mun, 38, mendakwa, anaknya, Mak Jia Sheng, 19, bersama tiga rakan dipukul kira-kira 20 lelaki dengan topi keledar selain menggunakan kaki dan tangan hingga menyebabkan kecederaan pada badan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, anaknya memandu Toyota Camry ke Menara Tinjau bersama tiga rakan.

Bagaimanapun, katanya, ketika Jia Sheng memberi isyarat membelok ke kiri, tiba-tiba kereta dilanggar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

“Disebabkan insiden itu, sekumpulan lelaki datang memukul anak saya dan tiga rakannya menyebabkan mereka cedera dan dirujuk di Hospital Ampang.

“Tidak cukup dipukul, empat telefon bimbit dan RM148 turut disamun kumpulan lelaki itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, Wai Mun hanya mengetahui insiden itu sebaik menerima panggilan telefon daripada seorang rakan anaknya yang memaklumkan mereka kemalangan di Ampang.

Menurutnya, dia menjadi lebih cemas apabila gagal menghubungi mereka semula ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

“Saya kemudiannya menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali memaklumkan Jia Sheng berada di Hospital Ampang.

“Ketika anak dirawat, saya melihat keadaan kereta dan mendapati semua cermin dipecahkan dan beberapa bahagian kemik, namun tiada barang yang dicuri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Jia Sheng membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya, 30 Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, jenayah itu tidak sepatutnya berlaku dan menggesa polis menjalankan siasatan segera kerana bimbang ia berulang.

Menurutnya, jenayah seperti itu sememangnya kerap berlaku di kawasan terbabit.

“Kita kesal dengan kejadian ini kerana bermula hanya dengan kemalangan namun menyebabkan mangsa dipukul, malah samseng turut mengambil kesempatan menyamun.

“Siasatan terperinci perlu dijalankan dan tindakan segera mesti diambil terhadap kumpulan samseng terbabit,” katanya.

Ketulan makin membesar – Sinar Harian


Ketulan makin membesar
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Jun 2012

Zainal sempat meluangkan masa melawat Muhammad Nizam yang terlantar sakit.
LUI BARAT – Seorang remaja lelaki di sini terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan persekolahan susulan ketulan bahagian belakang telinganya yang semakin membesar.

Muhammad Nizam Muhd Ta, 14, kini hanya mampu terlantar di rumah dan terpaksa berhenti sekolah disebabkan masalah itu.

Ibunya, Latiffah Jambari, 49, berkata, anaknya itu kini mendapatkan rawatan susulan di Hospital Ampang yang mempunyai kepakaran dalam masalah berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah membawa anaknya ke sebuah hospital di negeri ini.

“Oleh kerana menunggu laporan kesihatan yang terlalu lama, saya nekad membawanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan segera.

“Doktor di klinik itu memaklumkan bahawa ketulan itu adalah nanah dan perlu dibedah. Saya bersetuju memandangkan kos pembedahan itu hanyalah RM80,” katanya.

Namun katanya, pembedahan yang dilakukan pada 6 Oktober tahun lalu itu terpaksa dibatalkan apabila telinga anaknya itu dipenuhi darah dan doktor meminta dia segera dibawa ke hospital.

“Doktor berkenaan menjelaskan yang dia tidak boleh meneruskan pembedahan itu,” katanya.

Nasib remaja berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sempat berkunjung ke rumahnya, baru-baru ini.

Zainal berkata, doktor di klinik swasta seharusnya lebih berhati-hati merawat pesakit terutamanya dalam membuat sebarang keputusan kerana ia membabitkan nyawa.

“Jika tidak pasti atau yakin mereka seharusnya merujuk kepada doktor pakar kerana pesakit sememangnya mahu yang terbaik apabila menerima rawatan.

“Hal sebegini tidak seharusnya dipandang remeh dan diharap tidak berulang,” katanya.