Mahkamah: Kes remaja dituduh bunuh bapa disebut semula 18 Julai – Bernama


Mahkamah: Kes remaja dituduh bunuh bapa disebut semula 18 Julai

8 Jun 2012
IPOH – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dituduh membunuh bapanya disebut semula pada 18 Julai depan.

Majistret Haslinda A.Raof membuat ketetapan itu apabila kes berkenaan disebut di dalam kamarnya di hadapan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Al-Hizan Al-Mahamad Akhir dan peguam yang mewakili remaja itu, K. Nahtan.

Sementara itu, Mohamad Al-Hizan ketika ditemui pemberita berkata remaja itu yang sebelum ini menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta telah dibenarkan keluar dari hospital itu dan kini menjalani proses tahanan biasa.

“Kita masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, remaja bawah umur terbabit dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Remaja itu dirujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan oleh mahkamah atas permintaan Nahtan. – Bernama

Remaja lelaki bunuh bapa didakwa – Bernama


Remaja lelaki bunuh bapa didakwa

10 Mei 2012

IPOH – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bapanya minggu lepas.

Remaja bawah umur itu dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof di dalam kamar Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Peguam tertuduh K.Nahtan yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk merujuk remaja itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba pada kira-kira 9.30 pagi di mahkamah tanpa ditemani anggota keluarganya.

Selepas pendakwaan dilakukan, remaja itu kelihatan bersahaja ketika jurugambar berpusu-pusu merakam gambarnya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang merupakan peniaga kayu ditemui mati dalam bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dengan pisau di bahagian perutnya. – Bernama