Sekolah dalam hospital ditambah – Sinar Harian


Sekolah dalam hospital ditambah

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013

MUAR – Sebanyak tiga lagi sekolah dalam hospital kerajaan bakal dibuka pada tahun ini sebaik kerja pengubahsuaian siap dilaksanakan.

Tiga sekolah berkenaan adalah di Sarawak, Sabah dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, di sini.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman berkata, kerja pengubahsuaian bangunan kini sedang giat dilakukan dan dijangkakan memulakan kelas pada akhir April ini.

“Sebelum ini, tujuh sekolah dalam hospital iaitu di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Krai,
Kelantan dan Hospital Temerloh di Pahang telah berjaya diwujudkan.

“Pembukaan sekolah ini bertujuan mengelakkan pelajar yang sedang menjalani rawatan jangka panjang di hospital tercicir dalam pelajaran,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Kasih HPSF di Jalan Salleh, di sini, kelmarin.

Menurutnya, program anjuran Yayasan Nurul Yakin dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan itu membolehkan pelajar yang terpaksa dirawat di hospital berpeluang meneruskan pelajaran mereka.

Mengulas berkaitan Rumah Kasih HPSF itu, Noorainee berkata, rumah tersebut membantu memudahkan keluarga pesakit yang terpaksa bermalam di hospital berkenaan yang jauh dari kediaman masing-masing.

“Mereka hanya perlu membayar RM10 semalam untuk tinggal sementara di rumah itu sehingga keluarga mereka yang dirawat dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyeru syarikat korporat supaya menyumbang kepada tabung yayasan berkenaan untuk membolehkan lebih banyak rumah seumpama itu diwujudkan di hospital di seluruh negara.

Selain itu, Noorainee yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, kemudiannya meninjau kerja pengubahsuaian dua bilik darjah sekolah dalam hospital di hospital berkenaan.

Merintih sakit di pangkuan abah – Metro


Merintih sakit di pangkuan abah

 0  0 Google +0  0  0

Gua Musang: “Sakit abah, sakit,” rintih pelajar 14 tahun kepada bapanya sebelum meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 45.7 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, Mohamad Shaffiq Ikhwan, 14, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 2 meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dekat sini, akibat cedera parah di badan.
Kemalangan berlaku apabila Mohd Shaffiq yang menunggang motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Mohd Hafiz Faadzil, 16, terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Proton Persona yang dalam perjalanan dari Ketereh, Kota Bharu ke Puchong, Selangor.

 

Mohd Hafiz cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta itu tidak cedera.
Mayat Mohamad Shaffiq yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RKT KESEDAR Paloh 2 pagi semalam.
Bapa Mohd Shaffiq, Zulkifli Daud, 49, dia berjumpa anaknya 10 minit di simpang tiga RKT KESEDAR Paloh 2 kira-kira 10 minit sebelum kemalangan.

 

Menurutnya, anaknya tidak memaklumkan hendak ke mana dan melihat anaknya itu menunggang motosikal bersama rakan ke arah Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Saya seperti tidak percaya kerana selepas 10 minit bertemunya, seorang rakan menghubungi saya memberitahu anak kemalangan. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dia terbaring di tepi jalan raya.

 

“Pilu hati kerana ketika memeluknya dia merintih sakit berulang kali. Selepas 20 minit dibawa ke Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dia meninggal dunia di depan saya,” katanya Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Lemas cuba selamat rakan – Berita Harian


Lemas cuba selamat rakan

2012/12/02 – 00:09:57 AM Oleh Rohaida OmarCetakEmel Kawan
Kuala Krai: Seorang budak lelaki yang cuba menyelamatkan rakannya daripada lemas ketika mandi, turut lemas di Sungai Durian di sini, semalam.

Mangsa murid Sekolah Pondok Sungai Durian, Muhammad Zarrin Mohd Amin, 8, dan Muhammad Abdul Latif Alias, 6, disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Difahamkan dua sahabat itu berjanji bertemu pada jam 6 petang untuk bermain bersama seorang lagi adik Muhammad Zarrin iaitu Muhammad Qiamuddin, 6.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Qiamuddin, berkata ketika kejadian beliau berada di tepi sungai dan membasuh rambut kerana takut untuk mandi di situ.

“Saya nampak kawan abang macam tergelincir dan jatuh dalam sungai, abang (Muhammad Zarrin) nak bantu tapi dia pun terjatuh.

“Saya nampak mereka tenggelam dan timbul disebabkan air deras. Bimbang dengan kejadian itu saya lari naik untuk minta tolong seorang pak cik dan dia terus menyelam.

“Tidak lama kemudian pak cik berkenaan dapat mencari mencari abang dan kawannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mangsa segera dihantar ke HKK dengan menaiki kereta jiran untuk rawatan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal selepas tiba di hospital jam 7 malam.

Dua rakan karib bersemadi dalam satu liang lahad – Sinar Harian


Dua rakan karib bersemadi dalam satu liang lahad

1 Disember 2012

KUALA KRAI – Seorang kanak-kanak cuba untuk membantu kawannya yang tergelincir ke dalam sungai, namun dia sendiri turut dihanyut arus deras Sungai Durian di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Muhammad Zarrin Mohd Amin, 8, dikatakan cuba untuk membantu rakannya Muhammad Abdul Latif Alias, 6, yang tergelincir ke dalam sungai.

Namun kedua-duanya dihanyut arus deras.

Kedua-duanya sempat diselamatkan penduduk kampung kira-kira 30 meter daripada tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai, bagaimanapun mereka meninggal dunia pada 7 malam.

Adik kepada Muhammad Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, yang melihat kejadian itu berkata abangnya cuba untuk membantu Muhammad Abdul Latif yang terjatuh ke dalam sungai, namun abangnya juga dihanyut arus deras.

“Zarrin nak tolong bila Latif jatuh, tetapi dia hanyut juga. Bila nampak dua-dua hanyut, saya terus berlari ke kawasan pondok (tempat berehat) untuk minta tolong,” katanya.

Jenazah dua rakan karib yang tinggal berjiran itu dikebumikan di dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Pondok Sungai Durian kira-kira 9.30 pagi tadi.  – Bernama

Pelajar maut kemalangan – Sinar Harian


Pelajar maut kemalangan

AZMAN CHE MAN
4 Februari 2012
Kemalangan

KUALA KRAI – “Mek, kenapa Along jadi gini (Mak, kenapa Along jadi begini).” Itu luahan ibu pelajar Tingkatan Empat, Mohamad Amirfitri Nazri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Gertak Kangkung, dekat sini, kelmarin.

Perkara itu diceritakan nenek mangsa, Rahmah Awang, 57, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, malam kelmarin.
Rahmah berkata, pertanyaan menyentuh hati itu dibuat ibu mangsa sebaik sahaja mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya yang lebih mesra dengan panggilan Along.
“Saya hanya mampu jawab, nak buat macam mana, perkara dah nak jadi dan memintanya supaya banyak bersabar,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, Mohamad Amirfitri maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas di jalan menghala ke Sungai Pas, dekat Kampung Gertak Kangkung, di sini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang dan anak sulung daripada lima beradik itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Turut hadir menziarahi jenazah di Bilik Mayat HKK, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan datuk mangsa, Mohammad Yunus, 68.
Ibu bapa Mohamad Amirfitri bagaimana pun hanya menunggu jenazah anak mereka di rumah di Kampung Peria dan tidak dapat datang ke hospital kerana terlalu sedih.
Rahmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib kira-kira jam 7 malam selepas dimaklumkan bapa saudara mangsa.
Katanya, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, dia yang baru siap menyimpan peralatan menjual goreng pisang yang diusahakannya terus bergegas ke tempat kejadian.
“Masa saya sampai di tempat kejadian, cucu saya sudah tidak ada (meninggal dunia) dan mayatnya sudah ditutup dengan kertas surat khabar.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan Along dua hari lepas ketika keluar menoreh kerana rumahnya terletak dalam kebun getah datuk dia,” katanya yang menyifatkan Mohamad Amirfitri sebagai seorang cucu yang baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, saksi kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam daerah, Cif Inspektor Wan Azizi Wan Ahmad atau tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bagi membantu siasatan.