Air mata sebelah mayat anak – Metro


Air mata sebelah mayat anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih  melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
PILU…anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.

MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghadiri kelas tambahan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini, semalam.

Kejadian jam 10.28 pagi, Faizah Masbak, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Nurliyana Md Yusoff, 17, terjatuh.
Faizah maut di tempat kejadian selepas cedera parah di tengkuk dipercayai digilis lori berkenaan manakala rakannya, Nurliyana yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

 

Lokasi kejadian bertukar pilu apabila ibu mangsa, Rabiah Ahmad, 53, yang tiba tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah anaknya terbujur kaku.
Menurut kakak mangsa, Afifah, 23, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Tengkera keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
“Ibu kata, pagi tadi (semalam) Faizah minta izin ke kelas tambahan dengan membonceng motosikal rakannya yang menjemput adik di rumah.

 

 

“Namun, tidak lama selepas rakannya datang ke rumah dan memaklumkan Faizah kemalangan, pada awalnya ibu dan ayah menyangkakan ia kemalangan kecil,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi mereka terkejut melihat orang ramai berkumpul dan jenazah adiknya sudah ditutup.

 

Katanya, arwah yang juga anak kelima daripada enam beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
“Adik tidak menunjukkan perubahan, namun malam tadi (kelmarin) dia yang gemar memasak sempat menggoreng nasi goreng cili padi untuk kami sekeluarga.
“Ketika pengecaman mayat hanya ayah yang melihat kerana saya sedih dan tidak sanggup selepas dimaklumkan terdapat kesan tayar di bahagian tengkuknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari Tanjung Kling ke Tangga Batu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.
“Akibat bergesel dengan lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti, kedua-dua pelajar ini dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
“Faizah yang berasal dari Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga maut serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di ICU Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.

15 pelajar berkhemah dipanah petir – Kosmo


15 pelajar berkhemah dipanah petir

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

MOHD. ALI melawat pelajar yang dipanah petir dalam kejadian ribut di Bukit Katil, Melaka semalam.

 

MELAKA – Seramai 15 pelajar lelaki yang sedang mengikuti program perkhemahan di Kem Pengakap Bukit Katil di sini cedera disambar petir ketika berteduh di bawah khemah masing-masing sewaktu hujan lebat semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, pelajar yang menganggotai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dari Sekolah Menengah St. Francis, Bandar Hilir berusia 15 hingga 17 tahun tersebut menerima rawatan di jabatan kecemasan, Hospital Melaka.

Difahamkan, sebelum kejadian, semua pelajar yang berjumlah 584 orang dari sekolah seluruh negeri Melaka sedang menjalani sesi perkhemahan di kawasan terbabit sebelum hujan lebat dan petir berlaku.

Seorang mangsa, Mohd. Faisal Othman, 15, berkata, ketika kejadian dia dan rakan yang lain diarah masuk ke dalam khemah yang menempatkan enam pelajar lain kerana hujan lebat.

15 pelajar cedera dipanah petir di Melaka – Berita Harian


15 pelajar cedera dipanah petir di Melaka

2012/04/08

MELAKA TENGAH: Seramai 15 pelajar dari 17 sekolah di Melaka cedera dipanah petir ketiak mengikuti perkemahan di Kem Pengakap Bukit Katil dekat sini, petang tadi.

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika hujan renyai di kawasan berkenaan. Semua mangsa yang terbabit dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Murid tahun satu terbunuh – Utusan


Murid tahun satu terbunuh

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusankota@utusan.com.my

 

ALOR GAJAH 15 Feb. – Seorang murid tahun satu maut manakala abangnya berusia 12 tahun parah setelah kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 213.2 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan, di sini awal pagi ini.

Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala abangnya, Amir Haziq, 12 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setelah tercampak dari kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapanya.

Bapa dua beradik itu, Nordin Mohamad Shukor, 36, dan isterinya, Siti Aisyah Othman, 36, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

“Dua beradik itu yang berada di tempat duduk belakang dipercayai tercampak keluar melalui tingkap menyebabkan mereka cedera parah di kepala.

“Siti Nurnajwa meninggal dunia sejam kemudian semasa dirawat di Hospital Melaka, manakala abangnya, Amir Haziq masih lagi dirawat di ICU,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kedua ibu bapa mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah dikebumikan di Parit Sulong,Johor, petang ini.