Tumor Adam semakin membesar – Sinar Harian


Tumor Adam semakin membesar
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – Sejak kisah Adam Akbar Ali, 10 menghidap penyakit tumor saraf tunjang disiarkan oleh Sinar Harian dua minggu lalu, sumbangan orang ramai kepada Adam meningkat kepada RM55,700 hingga petang semalam.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, sumbangan tersebut masih belum mencukupi untuk menampung pembiayaan pembedahan Adam di Hospital Johns Hopkins, Amerika Syarikat yang berjumlah RM175,000.

Menurutnya, beliau sekeluarga berterima kasih kepada penyumbang dan orang ramai yang sentiasa memberikan semangat, nasihat dan sokongan kepada mereka untuk menghadapi ujian itu.

“Saya berharap hasrat saya untuk memberikan rawatan terbaik kepada Adam akan tercapai.

Keadaan Adam sekarang membimbangkan kami sekeluarga kerana Adam kerap sakit kepala dan terpaksa diberikan ubat tahan sakit bagi mengurangkan sakit yang dialaminya.

“Adam dilihat semakin lemah dan kurang selera makan. Kami juga dimaklumkan oleh Pakar Neuro dari Hospital Johns Hopkins, Dr George Jallo bahawa tumor Adam sedang membesar atau air bertakung di dalam saraf tunjang Adam semakin banyak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, keadaan tersebut menyebabkan beliau mengambil keputusan membuat ujian Magnetik Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pantai, Bangsar, semalam untuk mendapatkan perkembangan Adam yang sebenarnya.

“Saya akan menghantar keputusan MRI tersebut kepada Dr. Jallo dengan segera. Saya juga berharap panel yang dilantik bagi menguruskan perubatan Adam dapat memberikan keputusan secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Adam, bolehlah disalurkan ke akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.

Adam bergantung ubat tahan sakit – Sinar Harian


Adam bergantung ubat tahan sakit
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – Sejak dibenarkan pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Isnin lalu, Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang kini bergantung dengan ubat tahan sakit.

Bapanya, Akhbar Ali berkata, sejak beberapa hari lalu beliau terpaksa memberi ubat tahan sakit bagi mengurangkan sakit kepala yang dialami Adam.

“Adam sering mengerang kesakitan dan setelah memberikan ubat berkenaan barulah keadaannya berkurangan.

Selera makannya juga semakin kurang sehingga badannya lemah tidak bermaya,” katanya.

Melihat keadaan anaknya yang semakin teruk itu, Akbar Ali menghantar e-mel kepada Pakar Bedah Saraf Onkologi Kanak-kanak, Dr George Jallo dari Hospital Johns Hopkins bagi memberitahu perkembangan anaknya itu.

Menurutnya, Dr Jallo menasihatkannya supaya segera membuat imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) bagi mengetahui perkembangan Adam dengan lebih jelas.

“Daripada laporan perubatan itu dan simptom-simptom yang dialami Adam kini, Dr Jallo memberitahu, kemungkinan tumor Adam sedang membesar atau takungan air di dalam saraf tunjang yang bertakung semakin banyak.

Disebabkan keadaan itu membuatkan Adam sering sakit kepala,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Akbar Ali semalam, membawa Adam ke Hospital Pantai, Bangsar bagi menjalani imbasan MRI, bagaimanapun berikutan cuti umum tarikhnya ditunda Isnin ini.

Akbar Ali berkata, Dr Jallo menasihatkannya segera mendapatkan nasihat pakar dan memberikan salinan laporan MRI itu kepadanya dalam waktu segera.

Setakat petang semalam, dana yang terkumpul bagi tabung Adam kini RM53,500.

Menurutnya, beliau sekeluarga sangat berharap panel yang dilantik bagi menguruskan perubatan anaknya segera membuat keputusan.

“Tidaklah niat saya untuk mendesak mana-mana pihak, malah saya amat berterima kasih kepada semua yang telah banyak membantu Adam selama ini,” katanya.