Ayah tidak jahat – Anak – Utusan


Ayah tidak jahat – Anak

 

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

 

PULAU PINANG 3 Jan. – “Ayah tidak sejahat yang disangka”.

Itu reaksi anak sulung kepada seorang bapa berusia 46 tahun yang direman polis bagi membantu siasatan kes mendera dan mengurung seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Jalan Perak di sini kelmarin.

Gadis berusia 20-an yang enggan dikenali itu berkata, tindakan ayah mereka memukul adik bongsunya merupakan perkara biasa bertujuan memberi pengajaran atas kenakalannya.

“Sebenarnya, adik saya tidak ditinggalkan bersendirian selama 10 jam seperti dilaporkan dan keadaan itu bukan selalu berlaku.

“Biasanya, saya yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di sini akan pulang pada waktu rehat untuk menjenguk adik kerana ibu bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dipukul dan dibiarkan menangis bersendirian di rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Perak lebih 10 jam selepas mengusik dompet bapanya dan mencicirkan beberapa kad.

Mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat pada kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin selepas dihubungi jirannya.

Gadis berkenaan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menjelaskan, pada hari kejadian dia tidak dapat pulang seperti biasa kerana cuti umum dan restoran tempat kerjanya dipenuhi ramai pelanggan.

“Saya ingin jelaskan bahawa kesan lebam yang terdapat pada badan adik bukanlah kecederaan lama akibat penderaan sebelum ini tetapi dia pernah terjatuh ketika bermain,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Pulau Pinang mendapati kanak-kanak berkenaan semakin sihat dan lebih ceria berbanding semalam.

Dengan berpakaian baju merah dan berseluar hijau, dia yang ditemani ibunya dilihat bermain- main di sekitar katilnya.

Suspek kes dera ditahan polis – Bernama


Suspek kes dera ditahan polis

2012/01/03

GEORGETOWN: Kurang dari 12 jam selepas menjadi buruan polis, seorang pekerja barang lusuh yang dipercayai terbabit dengan kes penderaan, berjaya ditahan polis dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Menurut jurucakap polis, suspek yang berumur 49 tahun itu berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri di Pasar Jelutong pada jam 12.30 pagi tadi.

Katanya, suspek turut cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepalanya untuk mengelak daripada dikenali namun cubaan itu tidak berhasil dan lelaki itu berjaya diberkas ketika sedang menunggang motosikal.

“Lelaki itu dibawa ke balai polis Jelutong untuk soal siasat dan dijangka dibawa ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan hari ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi di sini pagi tadi, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes itu akan di siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang dikurung dalam sebuah rumah di Jalan Perak.
Budak itu disyaki mangsa dera bapanya berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan, dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula jam 3 petang sehinggalah diselamatkan pada 1 pagi.

Kanak-kanak itu kini masih mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya. – BERNAMA

Budak 6 tahun didera – Utusan


Budak 6 tahun didera

 

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

 

PULAU PINANG 2 Jan. – Hanya kerana mengusik dompet bapanya dan mencicirkan beberapa kad, seorang kanak-kanak perempuan menerima hukuman keras apabila dipukul dan dibiarkan menangis bersendirian di rumahnya lebih 10 jam.

Dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Perak di sini, mangsa yang berusia enam tahun diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tiba kira-kira pukul 11.45 malam tadi selepas dihubungi jirannya.

Jurucakap polis berkata, mereka mengambil masa hampir setengah jam sebelum berjaya memasuki rumah itu yang berkunci untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika ditemui, mangsa kelihatan takut. Keadaan fizikalnya baik cuma terdapat beberapa kesan luka baru dan lebam lama yang dipercayai dipukul dengan tangan,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian ibunya tiada di rumah kerana bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang dan mangsa dijaga oleh suspek yang juga seorang penganggur.

Menurut jurucakap itu, beberapa jiran menyedari suspek pulang tetapi melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Kanak-kanak terbabit kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di wad hospital mendapati kanak-kanak tersebut masih dalam keadaan trauma selain matanya dilihat bengkak.

Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang – Bernama


Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang

2012/01/02

GEORGETOWN: Tangisan kanak-kanak perempuan yang berlarutan lebih 10 jam di rumah di Jalan Perak, di sini, awal pagi tadi, mengejutkan seorang jiran yang bertindak menghubungi polis.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata, beliau mendengar kanak-kanak itu menangis dan sesekali meminta tolong sejak jam 3 petang semalam hingga 1 pagi tadi.

“Saya menghubungi polis pagi tadi selepas mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan masih menangis,” katanya ketika ditemui di sini.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berkenaan.

Katanya, polis mengambil masa lebih setengah jam untuk masuk ke rumah berkenaan kerana ia berkunci.

“Selepas mendapat bantuan daripada jiran di flet berkenaan, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dalam keadaan takut dan trauma itu kerana ditinggalkan seorang diri,” katanya.

Jurucakap polis itu berkata, beberapa jiran menyedari bapa kanak-kanak itu pulang ke kawasan perumahan berkenaan tetapi lelaki terbabit melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.
Katanya, hasil maklumat jiran, polis cuba menghubungi anggota keluarga kanak-kanak malang itu tetapi gagal.

“Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu didera dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis juga sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berumur lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Pada 29 Disember lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda, Butterworth. – BERNAMA