Kanak-kanak tiga tahun diseret 10 km – Bernama


Kanak-kanak tiga tahun diseret 10 km

19 Disember 2012

NIBONG TEBAL – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut apabila diseret sejauh 10 kilometer selepas tercampak keluar daripada kereta yang dinaikinya, dalam kejadian di Km 168.4 Lebuhraya Utara-Selatan malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata mayat Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam ditemui dalam keadaan menyayat hati di Hentian Sungai Bakap, tiga jam selepas kejadian pada pukul 8.45 malam itu.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47, cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang, menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan diheret kenderaan lain, sementara tiga lagi adik beradik mangsa tercampak ke dalam longkang, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mereka dikenali Zulqarnain Aslam, 14, Sharol Ramadhan, 12 dan Nur Aisyah Aslam, 2. Semua mereka termasuk bapa hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Menurut Mohd Shafien, dua lagi penumpang iaitu ibu mangsa Nuris Berutu, 40, dan adik perempuannya Nurjadi, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Difahamkan keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Ipoh dan polis yakin kereta itu dipandu dengan begitu laju,” katanya.

Menurutnya semua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilapor stabil.

Shafien berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan  1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10,000  serta digantung lesen memandu selama setahun, jika sabit kesalahan – Bernama

Kanak-Kanak Tiga Tahun Mati Ditindih Dalam Upcara Pemujaan – Bernama


Kanak-Kanak Tiga Tahun Mati Ditindih Dalam Upcara Pemujaan
BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati apabila lapan ahli keluarganya termasuk pembantu rumah warga Indonesia menjalankan upacara pemujaan dengan menindih tubuhnya di Bukit Minyak di sini malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah berkata kejadian pukul 10 malam itu disedari bapa saudara mangsa yang secara kebetulan berkunjung ke rumah itu.

“Saksi yang curiga melihat pintu utama rumah tidak berkunci segera naik ke tingkat atas rumah yang menempatkan bilik tidur utama.

“Apabila lelaki berkenaan mendapati pintu bilik itu berkunci dan penghuni yang berada di dalam enggan membuka pintu, dia segera memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Azman berkata polis terpaksa memecah masuk bilik itu sejurus tiba di lokasi kejadian dan mendapati kanak-kanak itu sedang ditindih kesemua suspek.

Azman berkata hasil siasatan awal, suspek yang berusia antara 16 tahun hingga 67 tahun sedang melakukan upacara pemujaan dan jampi atas sebab yang tidak diketahui.

“Polis yakin kanak-kanak itu baharu sahaja mati berdasarkan keadaan mayatnya yang masih panas dan sebab kematiannya dipercayai berpunca daripada sesak nafas,” katanya.

Katanya suspek yang terdiri daripada ibu, bapa, nenek, bapa saudara, ibu saudara, dua sepupu beserta pembantu rumah terbabit ditahan reman selama lima hari bermula hari ini di IPD SPT bagi membantu siasatan.

Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Dua beradik dirantai dalam tandas dijaga bapa saudara – Utusan


Dua beradik dirantai dalam tandas dijaga bapa saudara

BUTTERWORTH 3 Jan. – Mahkamah Majistret di sini hari ini menyerahkan hak jagaan sementara dua kanak-kanak yang dikurung dan kaki dirantai di dalam tandas rumah mereka di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini minggu lalu, kepada bapa saudara mereka.

Majistret Mohd. Zamir Suhaimee memutuskan demikian semasa kedua-dua kanak-kanak yang berusia enam dan dua tahun itu dibawa ke mahkamah oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara setelah mereka dirawat di Hospital Seberang Jaya sejak Khamis lalu.

Kanak-kanak malang itu akan berada di bawah jagaan bapa saudara mereka, Munawar Tan Abdullah selama sebulan sementara JKM menjalankan siasatan dan menentukan hak jagaan kekal sama ada terus dijaga Munawar atau diserah kembali kepada ibu bapa mereka.

Dua kanak-kanak tersebut diselamatkan oleh pihak polis dan pegawai JKM dalam keadaan separuh bogel dan kaki mereka dirantai di dalam tandas di rumah mereka ketika bapa mereka yang berusia 40-an keluar bekerja.

Sementara itu Munawar, 48, berkata, dia bersedia menjaga anak-anak saudaranya sementara menunggu keputusan sama ada adiknya akan didakwa atau tidak.

”Adik saya mengakui kesilapan yang dilakukannya dan menyesal dengan apa yang berlaku namun menjelaskan tindakan berkenaan dibuat bukan untuk mendera tetapi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana tiada orang yang menjaga dua beradik itu ketika dia keluar bekerja.

”Dia seorang yang baik dan tidak akan tergamak untuk mendera anak-anaknya kerana dua beradik itu cukup manja dengan bapa mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, dia telah bersedia dengan peguam bela sekiranya adiknya didakwa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan mereka namun berharap adiknya tidak akan didakwa atau dihukum penjara.

Ujarnya lagi, dia berharap anak saudaranya akan meneruskan persekolahan seperti biasa kerana pendaftaran sekolahnya terbantut berikutan insiden terbabit.

”Saya juga menafikan laporan yang mendakwa adik saya berpisah dengan isterinya sebaliknya isterinya, seorang warganegara Thailand pulang ke kampung halaman di Cheang Rai kerana ibunya sakit tenat.

”Saya sedang berusaha menghubunginya di sana agar segera kembali ke sini dan menjaga anak-anaknya,” ujarnya.

Syor 2 beradik diserah pada bapa saudara – Metro


Syor 2 beradik diserah pada bapa saudara

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BUTTERWORTH: Penderitaan dua beradik yang dirantai bapa mereka dalam tandas bakal berakhir apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah mahkamah untuk hak jagaan sementara.

Dua beradik berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini bagi membolehkan mereka dijaga pihak lain yang lebih bertanggungjawab.
Pengarah JKM negeri, Zulkifli Ismail berkata, dua beradik berusia enam dan dua tahun yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejak 28 Disember lalu kini pulih sepenuhnya dan tidak menunjukkan sebarang trauma. “Kami akan mencadangkan kepada mahkamah agar memberi hak jagaan sementara kanak-kanak perempuan itu dan adik lelakinya kepada bapa saudara mereka,” katanya.

 

Dalam kejadian Rabu lalu, bapa dua beradik itu berusia 40-an bertindak mengurung dan merantai mereka dalam tandas rumahnya di Taman Mawar, Raja Uda, dekat sini, sebelum dia keluar bekerja jam 3 petang.
Tidak tahan diperlakukan begitu, dua beradik berkenaan menjerit meminta tolong sebelum diselamatkan polis dan JKM jam 8 malam.
Dua beradik itu yang kelaparan kerana dirantai selama lima jam dengan hanya diberi roti oleh jiran sebelum dihantar ke HSJ untuk rawatan. Bapa dua beradik itu dikatakan berpisah dengan isterinya, seorang wanita warga Thailand sejak sebulan lalu dan bertindak demikian kerana mereka dikatakan nakal selain tiada orang menjaga mereka.

 

 

Sementara itu, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap bapa dua beradik berkenaan selama tiga hari.

Dua beradik disyaki mangsa dera – Utusan


Dua beradik disyaki mangsa dera

 

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

 

Seorang kanak-kanak menunjukkan cara kakinya dirantai oleh bapanya di Taman Mawar Raja Uda Butterworth, semalam.

 

BUTTERWORTH 29 Dis. – Keprihatinan seorang jiran yang segera melaporkan kepada polis selepas mendengar tangisan kanak-kanak meminta makanan dari sebuah rumah di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini berjaya menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa dera bapa sendiri.

Polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU) yang mendapat maklumat kejadian itu segera menyerbu rumah yang didiami oleh kanak-kanak bersama bapanya, seorang buruh berusia lingkungan 40-an.

Ketika ditemui, dua beradik terbabit iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dan adik lelakinya berusia 2 tahun berada dalam keadaan letih dan lesu, dipercayai seharian tidak menjamah makanan.

Malah, lebih menyedihkan, terdapat kecederaan di kaki masing-masing dipercayai akibat dirantai dalam tempoh masa yang agak lama di dalam bilik air rumah kedai setingkat itu bagi menghalang mereka bergerak bebas.

Kedua-dua mereka yang dirantai dalam keadaan separuh bogel dipercayai diperlakukan sedemikian sejak sebulan lalu oleh bapa mereka setiap kali dia keluar bekerja.

Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit, seorang warga Thailand dikatakan telah menghilangkan diri sebaik berpisah dengan bapa mereka awal November lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Zulkifli Alias ketika ditemui berkata, dua beradik itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan dan kini berada di bawah jagaan JKM SPU.

Menurut beliau, bapanya ditahan sebaik pulang ke rumah kira-kira pukul 8.45 malam dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.