‘Ada hikmah di sebalik nahas’ – Metro


‘Ada hikmah di sebalik nahas’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SITIAWAN: “Saya bagaikan mati hidup kembali apabila terselamat walaupun tujuh rakan maut dalam kemalangan itu. Saya bersyukur kerana beg udara keselamatan menyelamatkan nyawa saya,” luah Khairul Faiz Mohd Noor, 18, salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas ngeri di Batu 6, Jalan Sitiawan-Lekir, di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, semua mangsa tercampak keluar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.
Rempuhan kuat menyebabkan tujuh mangsa yang duduk di bahagian belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mangsa mati di lokasi kejadian.

 

Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang luka parah di kepala meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.
Menceritakan detik nahas ngeri itu, Khairul Faiz berkata, dia masih lagi trauma dan terkejut dengan peristiwa semalam yang meragut nyawa tujuh rakannya serentak.
“Sebelum kejadian, saya sempat membeli baju untuk dipakai pada hari pendaftaran sebagai pelatih Pusat Giat Mara, Tanjung Tualang, Rabu ini (esok).

 

 

“Malah, kami semua begitu bersemangat mahu memulakan sesi baru persekolahan tidak lama lagi,,” katanya yang akan mendaftar sebagai pelatih kimpalan di pusat itu.
“Kemalangan berlaku ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli-belah dan minum bersama-sama,” katanya. Menurutnya, kemalangan berlaku sekelip mata apabila tubuhnya melayang dan tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki.

 

“Saya berusaha bangkit sebelum melihat Mohd Hisam yang sedang mengerang kesakitan, manakala beberapa rakan lain kaku tidak bernyawa,” katanya, ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurutnya, Hisam didapati berlumuran darah di kepala dan dalam situasi ‘nyawa-nyawa ikan’.
“Saya cuba menenangkannya dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun dia terus tidak sedarkan diri.
“Saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini. Saya terselamat kerana beg udara keselamatan pada kenderaan itu mengembang secara mendadak sebaik rempuhan berlaku,” katanya yang cedera ringan dan mengalami luka di lutut dan bahu.

Ajal lepas rai 2012 – Metro


Ajal lepas rai 2012

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MANJUNG: Mayat enam remaja belasan tahun bertaburan di sepanjang 30 meter jalan raya apabila kenderaan Honda Stream yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Batu 6, Jalan Sitiawan – Lekir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, semua mangsa baru pulang meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan.
Difahamkan ketika kejadian, seramai 10 orang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan sebelum bertembung sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG yang dalam perjalanan dari arah Teluk Intan.

 

Rempuhan kuat itu menyebabkan enam mangsa yang duduk di belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mati di lokasi kejadian.
Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala bagaimanapun meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi kereta model Honda Civic dipandu seorang lelaki.

 

 

Treler berkenaan turut melanggar kedai keropok lekor dan buah-buahan.
Menurutnya, semua penumpang MPV terbabit yang baru menyambut tahun baru dengan keluar minum di bandar Sitiawan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir di sini.

Meraung lihat jasad dua anak – Metro


Meraung lihat jasad dua anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Mohd Husni Mohd Noor dan Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HANCUR...kenderaan MPV yang dinaiki mangsa.
HANCUR…kenderaan MPV yang dinaiki mangsa.

MANJUNG: “Saya dan isteri hanya mampu meraung bila melihat jasad dua anak kami terbujur kaku berlumuran darah dan ditutup surat khabar,” kata Sulaiman Din, 42, bapa kepada Mohamad Hadi, 17, dan Badrul Isa, 19, yang maut dalam kemalangan meragut tujuh nyawa di sini, malam kelmarin.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang termasuk dua beradik itu terbabas dan dirempuh sebuah treler membawa gas memasak di Batu 6, Jalan Sitiawan – Lekir, berhampiran kawasan perumahan Taman Kiara, di sini, jam 10.30 malam.
Selain Mohamad Hadi dan Badrul Isa, empat lagi penumpang kenderaan itu yang terbunuh di tempat kejadian ialah Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.

 

Pemandu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini.
Sulaiman berkata, sejurus tiba di tempat kejadian dia terpaksa memeluk dan menghalang isterinya, Norakmar Osman, 44, daripada menyelak helaian akhbar yang menutupi mayat dua anak mereka kerana tidak sanggup melihat jasad yang tidak lagi sempurna.
“Darah keluar membuak-buak dari kepala anak saya, malah kulit tubuh mereka turut hancur. Saya sendiri tak sanggup melihat mereka selain hanya mampu menangis sehingga jenazah dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM),” katanya.

 

 

Kemalangan ngeri itu berlaku ketika semua mangsa baru meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir.
Tiga lagi penumpang MPV itu hanya cedera ringan manakala pemandu treler terbabit, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, dari Ayer Itam, Pulau Pinang, cedera di kaki dan kini dirawat di HSM.

 

Menurut Sulaiman, menambahkan lagi kesedihan dia dan isterinya, dua mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu iaitu Mohamad Shadan dan Mohd Hisam ialah anak saudara dan anak angkat mereka.
“Pada petang sebelum kejadian, dua anak saya ada memberitahu ingin ke Sitiawan bagi menyambut tahun baru. Kami memberi kebenaran kerana tidak mahu menghampakan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, kata Sulaiman, isterinya menghubungi mereka kira-kira jam 10 malam meminta pulang awal kerana Mohamad Hadi perlu berkumpul di Sitiawan bagi menaiki bas mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kedah.
“Ketika isteri saya telefon, mereka mengatakan sudah bersiap sedia untuk pulang. Itulah kata-kata terakhir yang kami dengar kerana sejam telefon mereka sudah tidak dapat dihubungi,” katanya.

Bapa pilu hilang dua anak serentak – Utusan


Bapa pilu hilang dua anak serentak

IPOH 1 Jan. – Tahun 2012 yang membuka tirainya hari ini mengundang rasa pilu kepada Sulaiman Din, 42, apabila kehilangan dua anak lelaki serentak dalam nahas ngeri yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini malam tadi.

Dua anak lelaki Sulaiman iaitu Badrul Isa, 19, dan Mohamad Hadi, 17, serta anak angkatnya, Mohd. Hisam, 22, adalah antara tujuh penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream yang maut dalam tragedi itu.

Sulaiman memberitahu, Mohamad Hadi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10 di Lekir, sepatutnya melaporkan diri dan menaiki bas di Sitiawan untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.

“Kemalangan ini sungguh memilukan kami sekeluarga. Ini adalah ketentuan takdir dan saya reda dengan pemergian mereka,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Seri Manjung (HSM) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, tujuh remaja termasuk dua beradik itu terbunuh apabila MPV yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler ketika kebanyakan rakyat sedang menantikan detik menyambut tahun baru 2012.

Sementara itu, kemalangan tersebut menemukan Sulaiman dengan keluarga kandung Mohd. Hisam yang menjadi anak angkatnya sejak beberapa bulan lalu.

Sulaiman berkata, Mohd. Hisam tinggal dengan keluarganya sejak lima bulan lalu kerana bekerja di tempat yang sama dengan anaknya, Badrul di sebuah syarikat membuat kapal gerudi minyak di sini.

“Sebelum ini, saya tidak pernah berjumpa dan hanya bercakap dalam telefon dengan bapa kandung Mohd. Hisam, Mat Zaki Abd. Rahman. Selepas kejadian ini, barulah kami bersua muka,” katanya.

Mat Zaki, 58, pula memberitahu, dia mendapat tahu mengenai kejadian menimpa anaknya pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan terus bertolak dari Jeli, Kelantan dan sampai di sini pukul 7 pagi ini.

Katanya, Mohd. Hisam merupakan anak bongsu daripada enam adik beradik dan belajar di Yemen sejak berusia 16 tahun.

“Dia pernah berkahwin tetapi telah bercerai. Hasil perkahwinan itu, dia mempunyai seorang anak berusia setahun,” katanya.

Sementara itu, Yusuf Said, 46, bapa kepada seorang lagi mangsa, Muhammad Shafik Redzuan, 16, tidak menyangka keengganan anaknya itu membeli pakaian sekolah baru merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya suruh dia pergi beli baju sekolah baru kerana sekolah akan bermula tidak lama lagi tetapi dia cakap tidak perlu kerana baju lama masih boleh dipakai,” katanya.

(Tolong pakai mgshot Yusuf Said)

Tragedi menjelang Tahun Baru 2012 – Utusan


Tragedi menjelang Tahun Baru 2012

 

Oleh AMIZUL TUNIZAR
AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

 

Salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung, Lumut, semalam.

 

LUMUT 1 Jan. – Ketika seluruh masyarakat menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja termasuk dua beradik berlaku di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung malam tadi.

Nahas pada pukul 10.30 malam itu melibatkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Honda Civic dengan sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG.

Mereka yang maut ialah enam penumpang Honda Stream iaitu Mohamad Kamil Samsuri, 15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15; Mohamad Hadi Sulaiman, 17 dan abangnya, Badrul Isa Sulaiman, 19.

Kesemuanya dari Batu 15 Lekir, Sitiawan dekat sini.

Turut terkorban ialah Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dari Kampung Parit Haji Dollah, Sitiawan; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, dan pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, berasal dari Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Ketika kejadian, MPV dinaiki 10 penumpang itu dipercayai baru pulang dari membeli peralatan sekolah di Sitiawan sebelum terlibat dalam nahas.

Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Lebuh Padang Tembak, Pulau Pinang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, Mohd. Hisam meninggal dunia di HSM pukul 8.35 pagi ini manakala enam penumpang yang lain mati di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, Khairul Mohd. Noor, 17, dari Batu 15, Lekir yang berada di tempat duduk sebelah pemandu hanya cedera ringan.

“Dua lagi penumpang perempuan MPV itu belum dikenal pasti kerana mereka telah pulang ke rumah dan tidak membuat laporan polis. Salah seorang daripada mereka cedera ringan dan seorang lagi tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ismail, kesemua mangsa yang terbunuh mengalami kecederaan serius termasuk pecah dan putus kepala, mata tercabut dan perut terburai.

Menurutnya, nahas berlaku apabila MPV tersebut yang dari arah Sitiawan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta Honda Civic di laluan kecemasan.

Katanya, MPV berkenaan kemudian masuk secara mengejut ke laluan hadapan kereta Honda Civic itu lalu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

“Ia menyebabkan MPV itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga ramai penumpang kenderaan itu tercampak keluar. Seorang terjatuh di atas kereta Honda Civic berkenaan.

“Treler tersebut pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh gerai buah-buahan di tepi jalan.

Difahamkan, treler itu dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati MPV tersebut dipercayai dipandu laju melebih 120 kilometer sejam berdasarkan keadaan kenderaan yang tercabut bumbung dan tercampak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Katanya, keadaan jalan di situ lurus dan tidak hujan sewaktu kejadian. Ia agak gelap kerana tiada lampu jalan.

“Namun demikian kawasan itu sering berlaku kemalangan, mungkin disebabkan terdapat banyak gerai buah-buahan di tepi jalan dan menjadi punca banyak kereta berhenti di lorong kecemasan untuk membeli buah-buahan,” katanya.

Ismail memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Pengangkutan Jalan 1987.